
Mana mungkin Umno boleh berbicara soal mendaulatkan Islam jika pemimpinnya sendiri terlibat dengan syarikat yang menganjurkan perjudian.
Apa mungkin Umno berbicara soal membela nasib bangsa jika pemimpinnya mendapat keuntungan daripada syarikat judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan kepada masyarakat.
Bagaimana mungkin Umno boleh berbicara soal membela negara jika pemimpinnnya sendiri terlibat dengan menganjurkan perjudian yang prinsip penjudi ialah sanggup menggadai apa sahaja asalkan mendapat keuntungan.
Dengan sebab itu, Umno sudah hilang hak dan kewibawaan untuk berbicara soal membela agama, banga dan negara.
Bagaimana Umno hendak menjustifikasikan mereka mempertahankan kod kedaulatan agama dan moral jika pada masa yang sama pemimpinnya begelumang dengan kegiatan tersebut.
Umno dan Genting
Genting Berhad yang merupakan pengendali kasino terbesar di Asia Tenggara diasaskan pada 30 Julai 1968.
Tiga tahun selepas ditubuhkan iaitu pada 28 Disember 1971, Genting Highlands Hotel Sdn. Bhd telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan pada tahun 1978 dikenali sebagai Genting Highlands Hotel Berhad.
Setelah itu namanya dikenali sebagai Genting Berhad dan menjadi pusat perjudian terbesar di rantau ini.
Di bawah bendera Genting, dua syarikat utamanya ialah Resort World Berhad dan Genting Berhad.Penglibatan Umno dalam syarikat perjudian ini telah berlangsung dan warisannya masih kekal sehingga ke hari ini.
Umno melalui bekas Pengerusinya, Tan Sri Noah Omar yang kini dikendalikan oleh Yayasan Noah memiliki 602,318,000 saham di dalam Resorts World Berhad yang mengendalikan perniagaan judi dalam dan luar negara termasuk di atas kapal peranginan.
Manakala sebanyak 3,334,600 saham Genting Berhad dipegang oleh Yayasan Noah yang mana syarikat berkenanaan merupakan syarikat pegangan ekuiti perniagaan judi dan kasino.
Yayasan Noah kini diwarisi oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang kedua-duanya adalah cucu kepada Tan Sri Noah.
Selain itu beberapa tokoh Melayu turut menjadi pengarah Resort World Berhad dan Genting Berhad.
Antaranya ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Amin Osman dan bekas pegawai bank, Datuk Paduka Nik Hashim Yusof yang menjadi Pengarah Genting Berhad.
Manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Alwi Jantan merupakan Pengarah Resorts World Berhad.
Ini memperlihatkan penglibatan Umno dalam aktiviti perjudian sudah bertaut sejak dulu lagi malah kini diwarisi oleh generasi kepimpinan muda dalam Umno.
Umno dan Magnum 4D
Magnum 4D Berhad sebelum ini dikenali sebagai Leisure Management Berhad. Ia kadang kala lebih popular di kalangan kaki ekor sebagai tempat pelaburan.
Magnum 4D mempunyai lapan wilayah Magnum 4D Sdn Bhd iaitu Magnum 4D Selangor, Perak, Penang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pantai Timur dan Malaysia Timur. Semua Magnum 4D wilayah ini menjadi anak syarikat Magnum 4D Berhad.
Syarikat ini mempunyai kepentingan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan. Ini berikutan pegangan saham Menteri Kewangan Diperbadankan melalui dua syarikat yang memegang saham di dalam magnum 4D.
Pertamanya ialah Multipurpose Berhad yang menyaksikan pegangan 7,723,285 saham oleh Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam syarikat itu dan Multipurpose pula memiliki 461,473,178 saham di dalam Magnum dan 60,502,000 saham dalam 4D.
Ini menjadikan menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai pegangan tidak langsung melalui Multipurpose di dalam `pusat pelaburan mingguan tersebut.
Keduanya, Menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai saham di dalam Kamunting Corporation Berhad iaitu sebanyak 3,055,069 saham. Manakala Kamunting yang pengerusinya ialah bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Haji Mohamed Al-Amin Majid memiliki 1,900,000 saham di dalam 4D.
Ini menjadikan lingkaran pegangan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam sayarikat judi dibuat melalui pegangan dua syarikat.
Menyentuh mengenai Magnum 4D Berhad, nama yag tidak boleh dipisahkan ialah Tan Sri Khir Johari yang merupakan pengarah syarikat itu. Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno memiliki 40,843 saham di dalam Magnum dan 6,666 saham di dalam 4D.
Lebih memeranjatkan bekas Peguam Negara yang kini Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut memiliki saham dalam 4D dengan pegangan sebanyak 1,666,666 saham.
Di samping itu Nor Anita Abu Talib dipercayai anak Abu Talib turut memiliki saham syarikat perjudian berkenaan iaitu sebanyak 680,334 saham.
Lingkaran dan putaran pemilikan saham syarikat perjudian ini menjadikan pemerintah Umno sebagai penggalak kepada aktiviti `pelaburan mingguan bursa empat nombor ekor atau singkatnya BENE.