GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, May 28, 2013

Amaran Mat Sabu : Jutaan rakyat di Dataran Merdeka

Oleh Amin Iskandar 

TAPAH, 27 Mei — Pakatan Rakyat (PR) akan menghimpunkan jutaan rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur jika tuntutan mereka agar pengerusi, timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan tidak ditunaikan, kata Mohamad Sabu. 

Menurut timbalan presiden PAS itu, jika desakan tidak ditunaikan, PR akan menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan Datuk Seri Najib Razak turun takhta. 

Para peserta yang turut hadir perhimpunan 
#Black505 di Tapah  — Gambar oleh Tajuddin Jawad

“Jutaan rakyat akan memenuhi Kuala Lumpur jika tuntutan kita tidak ditunaikan tidak lama lagi,” kata Mohamad dalam perhimpunan #Black505 di sini malam tadi. 

“Jika SPR tidak letak jawatan, kita akan terus mengadakan perhimpunan sehingga kerajaan Najib gugur,” tambah beliau lagi. 

Perhimpunan #Black505 di Tapah ini adalah yang kesepuluh bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013 dan julung kalinya dianjurkan oleh PAS. 

Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah pemimpin PR Perak seperti Datuk Seri Nizar Jamaluddin, V Sivakumar dan ramai lagi. 

Menurut Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu, penipuan pilihan raya telah menggugat kepercayaan rakyat Malaysia terhadap sistem demokrasi. 

“Kita kena ingat, rakyat memilih pilihan raya, rakyat memilih jalan demokrasi. Kenapa rakyat memilih jalan raya di Tunisia? Mesir? Jakarta? 

“Kerana mereka sudah tidak yakin dengan jalan demokrasi,” katanya disambut dengan sorakan daripada ribuan hadirin berpakaian hitam. 

Mohamad turut mengingatkan pasukan keselamatan, polis dan tentera agar bersikap profesional dan menjaga keselamatan rakyat. 

“Polis dan tentera saya ingatkan. Jaga keselamatan rakyat, jika gugur sebutir peluru kepada rakyat yang tidak bersenjata, bererti kamu sudah kalah. 

“Jangan usik rakyat yang memilih cara demokrasi ini,” katanya. PR menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular pada Pilihan Raya 2013. 

PR menang 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional (BN) yang mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. 

Walau bagaimanapun, buat pertama kali semenjak 1969, BN kehilangan undi popular apabila hanya mendapat 47 peratus undi keseluruhan berbanding PR yang mendapat 51 peratus. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan #Black505 pada Sabtu di Padang Timur, Petaling Jaya turut menegaskan beliau menolak idea untuk bekerjasama dengan SPR dan menyokong desakan untuk pesuruhjaya SPR meletakkan jawatan serta merta. 

“Kita tidak akan bekerjasama atau bekerja atau melibatkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menipu,” kata ketua umum PKR dan menambah “kata dua” akan dikeluarkan jika mereka tidak meletak jawatan.~ Malaysianinsider

Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...