JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Saturday, November 02, 2013

Siapa patut jadi Timbalan Presiden PAS - Khalid Samad

Satu rencana yang menarik untuk para perwakilan muktamar PAS memikirkan dan membuat pilihan nanti.Persoalan ini merupakan persoalan yang panas yang perlukan tindakan berani dan cerdik para perwakilan untuk memutuskannya.

 Saya bersetuju mengenai apa yang YB Khalid nyatakan disini yang lebih menekankan kepada persoalan integriti dan merit seseorang diatas perlantikan ke sesuatu jawatan.

 Satu persoalan yang sangat menarik telah dikemukakan oleh Khalid - "Bagaimana prestasinya? Kalau baik kekalkan, kalau tidak baik dan dirasakan ada yang boleh memberikan prestasi yang lebih baik, maka tukarlah ....

  Bagi saya,jawatan Timbalan Presiden ini tidak perlu dipertandingkan.Namun atas dasar  demokrasai amalan parti, sila lakukan dengan sikap ikhlas dan gentleman itupun kalau punya alasan yang wajar.

 Sebagaimna yang pernah diungkapkan oleh Husam Musa, " Saya tiada ada apa-apa alasan untuk menentang Mat Sabu..."

  Terpulanglah kepada para perwakilan untuk bersetuju atau tidak dengan kenyataan mereka yang mahu menyingkirkan Mohd Sabu dengan kata-kata berikut :

 “Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma barangkali yang kurang adalah faqeh (mendalam) soal agama.”

Sila ikuti tulisan Khalid seterusnya seperti berikut :

 Ada yang bertanya kepada saya, “siapa patut disokong untuk jawatan Timbalan Presiden?”

 Saya jawab, “Lihat pada yang ada. Bagaimana prestasinya? Baik atau tidak baik? Memuaskan atau tidak memuaskan? Kalau baik kekalkan. Kalau tidak baik dan dirasakan ada yang boleh memberi prestasi yang lebih baik, maka tukarlah”.

 Maka ditanya balik, “Bagaimana soal ulama atau tidak ulama?” Saya jawab lagi, “jawatan ini bukan sebagai suatu ‘penghormatan’, iaitu yang dihormati sebagai ulama maka diberi jawatan tersebut. Jawatan ini datang dengan satu amanah tertentu. Hendak diberi kepada yang boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut. Iaitu kepimpinan, kepengurusan, kebijaksanaan berpolitik, mampu membaca strategi lawan, keberanian, ketangkasan, keamanahan dan lain-lain yang perlu sebagai Timbalan Presiden”.

 Bukan kemampuan membuat hukum. Untuk buat hukum dan kawal perjalanan parti dari sudut dasarnya, sudah ada Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama. Di situ keahliannya mesti “ulama”.

 Akan tetapi untuk Timbalan Presiden perlu dipilih orang yang boleh memenuhi ciri tersebut. Ciri ini mungkin ada pada ulama, seperti Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor, TGNA dan juga TGHH. Dan ia mungkin juga ada pada yang bukan ulama. Yang penting yang dipilih mesti atas dasar siapa yang lebih mempunyai ciri ini di kalangan barisan calon yang diketengahkan.

 Memilih Timbalan Presiden sesebuah parti politik adalah seperti memilih panglima perang yang akan memimpin tentera dalam medan perang. Khalid Al-Walid bukan yang paling alim ketika dilantik menjadi panglima.

 Bahkan semasa perang Mu’tah beliau baru sahaja memeluk Islam. Namun setelah Zaid, Jaafar dan Abdullah Ar-Rawahah gugur, Khalid yang dipilih untuk memimpin tentera Islam kerana kemahirannya memimpin walaupun ada yang lebih alim fiid-dinn darinya. Begitu juga semasa kempen di bilaadil Syams. Khalid Al-Walid menjadi panglima utama sehingga digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah atas arahan Umar kerana terlalu berjaya sehingga dianggap menjejas I’tiqad umat Islam! 

 Dalam soal memilih Timbalan Presiden, kita memilih Panglima memimpin “perang” di “medan perang” politik. Maka saya harap, jangan dipilih seseorang atas sebab semata-mata kerana beliau ulama ataupun bukan. Jangan juga menolak seseorang kerana semata-mata dia ulama. Jangan menyokong seseorang kerana semata-mata dia bukan ulama. Jangan juga menolak seseorang semata-mata kerana dia bukan ulama!

 Pilih seseorang kerana dia mampu memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden secara yang terbaik!

 Memimpin parti mengharungi liku perjuangan politik melalui lembah fitnah dan tribulasinya, meredah paya penipuan dan kejahatan lawan serta menggalas cabaran ketinggian puncak kemenangan dan kejayaan.

 Orang yang tidak mudah dikelirukan dengan fitnah dan tribulasi, malahan mampu membacanya dan menangkisnya sebelum ianya melanda. Orang yang tidak mudah termakan kata memuji dan janji kosong malah mampu membaca kejahatan disebalik kata manis itu. Orang yang mempunyai wawasan kemenangan yang jelas dan kaedah realistik untuk mencapainya.

 Pilihlah orang seperti Sallahuddin Al-Ayubbi atau Muhammad Al-Fatih, atau Nuruddin Az-Zanggi atau Saifuddin Qutus. Mereka bukan dari golongan Juhala’ walaupun bukan juga dari golongan ulama’ namun mereka merupakan pimpinan yang mendepani cabaran zaman mereka dan mengatasinya dengan bantuan seluruh alim ulama dan cendiakawan Islam serta dokongan umat dan rakyat mereka.

 Atau pilih orang seperti Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim atau Shah Wali Allah Delhi. Mereka ulama mujtahidiin wa mujahidin, yang mampu memutuskan hukum tetapi pada masa yang sama mempunyai ketangkasan dan kepimpinan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak.

 Dan kepimpinan mereka berserta dengan ketajaman bacaan politik mereka menyebabkan mereka dilihat sebagai ulama mujahid yang memberi inspirasi kepada umat Islam sepanjang zaman.

 Pilihlah, bukan atas dasar klasifikasi dan kelompok, tetapi atas dasar kesesuaian dan kemampuan seseorang itu untuk jawatan yang mencabar sebegini rupa, iaitu Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia! 

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD – SUMBER /  Graphics by Dayang Norazhar/The Mole
Comments
6 Comments

6 comments :

Mansor bin Junus said...

Sebagai ahli biasa, saya berpendapat jawatan Timbalan tak payahlah dipertandingkan. Mat Sabu tu sudah cukup bagus. Yang lainnya kalaulah mereka rasa ada kebolehan yang lebih baik, bantulah beliau. Perkukuhkanlah parti.

cikmatgelap said...

lain2 kali le,klu hj hadi dah tak pegang presiden lagi,mat sabu jadi presiden dan khalid samad timbalan...amacam......

lijitra said...

aku sokong bang mat dikekalkan cuma tlg bantu dia demi memperkasakan parti dan Islam.

alhusseyn said...

cikmatgelap, tak perlulah nak menyakat, berilah hujah yg lebih baik untuk diperbincangkan bersama.
Hj Hadi maklumkan bahawa PAS pernah pilih Haji Abas Alias yang bukan daripada ulamak sebagai yang dipertua PAS yang kedua.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, pemegang jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan menteri besar PAS tidak semestinya daripada golongan ulama.Kalau dua orang tokoh ulamak besar dalam PAS sendiri dah kata gitu, apakah kita lebih faqeh daripada merka dalam masalah ini?

Anonymous said...

Masalahnya ialah ada yang menganggap mereka sahaja yang layak menjadi pemimpin kerana dari kasta yang lebih tinggi. Ahli2 lain sepatutnya jadi barua saja.

Anonymous said...

Tujuan sebenarnya ialah untuk memplotkan agen-agen Task Force dalam kepimpinan PAS supaya mudah nanti PAS bergabung dengan UMNO

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...