GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Wednesday, March 26, 2014

Kenyataan Rasmi Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan Berhubung Dengan Program Cinta Allah Dan Rasul Yang Dihadiri Oleh YAB Perdana Menteri.

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
 DUPWP mengucapkan syabas kepada pihak penganjur yang telah menampilkan Habib Syech Abdul Qadir as-Seggaf selaku tokoh yang telah berjaya mencetuskan fenomena sangat positif dalam menyemarakkan kecintaan rakyat Malaysia terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

 Sesungguhnya majlis berselawat dan memuji Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah majlis yang diberkati yang dihadiri oleh para malaikat Allah Taala sebagaimana yang direkodkan oleh al-Imam al-Bazzar.

 Semoga Habib Syeikh akan terus sukses dalam meniupkan roh kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke dalam lubuk hati masyarakat di Malaysia.

 DUPWP juga melahirkan kesyukuran kepada Allah Taala atas kesudian YAB Perdana Menteri dan isteri yang turut menyertai majlis yang sangat barakah ini.

 Semoga YAB Perdana Menteri dan isteri akan memberikan dokongan yang begitu padu terhadap kerancakan majlis berselawat, berqasidah dan majlis-majlis ilmu yang semestinya melalui majlis-majlis seumpama ini akan lahirkan generasi rakyat Malaysia yang cintakan Allah dan RasulNya serta sanggup bekerja apa sahaja ke arah pelaksanaan Syariat Allah Taala sepenuhnya di bumi Malaysia tercinta.

 DUPWP menyambut baik tindakan pihak kerajaan Malaysia yang mesra dengan majlis berqasidah dan berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

 Namun DUPWP mengecam sebarang sokongan terhadap majlis qasidah dan selawat sekiranya ia dengan niat untuk meraih sokongan politik. Ini kerana terlalu kotor apabila seseorang menjadikan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah sebagai alat untuk tujuan peribadi sedangkan kecintaan kepada baginda adalah matlamat setiap orang yang beriman.

 DUPWP menegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipupuk melalui majlis-majlis zikir, selawat, qasidah, majlis ilmu dan sebagainya adalah sangat berperanan sebagai pemangkin utama ke arah perjuangan menegakkan Syariat Islam yang dibawa oleh baginda Nabi dengan begitu gigih.

 Sangat malang sekiranya umat Islam hanya asyik dalam lautan kelazatan berselawat dan memuji baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam namun para pencinta Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini menjadi pula manusia bisu dan sepi apabila kemungkaran dan maksiat dihidangkan oleh kerajaan kepada masyarakat.

 Umat Islam wajib menghayati nilai ketinggian cinta para sahabat Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam terhadap baginda yang dibuktikan dengan keringat perjuangan dan siraman darah syuhadak sebagai bukti cinta mereka terhadap baginda.

 DUPWP mengharapkan agar kerajaan Malaysia serius dalam usaha mendidik jiwa seperti majlis qasidah yang dianjurkan. Janganlah pada beberapa ketika kerajaan dilihat begitu teruja dengan majlis-majlis zikir namun pada ketika yang lain menganjurkan pula pesta-pesta maksiat yang pastinya akan meruntuhkan semula segala batu asas yang telah cuba dibina oleh para pendakwah seumpama Habib Syech as-Seggaf.
 وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وعترته وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين 

Ustaz Azhar Bin Yahya 
Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan 
merangkap 
Timbalan Pengerusi Ulama Pelapis 
Dewan Ulama PAS Pusat  SUMBER
Comments
4 Comments

4 comments :

rahim mohamad said...

Pandangan Yang Positif lagi Konstruktif.Islam perlu di pelihara. Itulah Peninggalan yang Maha Berharga.

Anonymous said...

kenapa bila org lain buat kita mesti timbulkan keraguan samada ikhlas atau tidak tapi bila giliran kita semuanya ikhlas....adakah kita disuruh siasat isi hati niat seseorg atau kita serah je pada Allah. Nak dtg...dtg...xnak dtg diam.

buat konsert marah...buat kegiatan agama pun marah. sepatutnya pas menggalakkan lagi. kalau komen dtg dari org blogger biasa takpe...ini ulamak PAS.

so the question is...adakah dewan uolamak buat kenyataan ni kerana Allah atau kerana politik?

Anonymous said...

Bersalawat sepatutnya memberi kesedaran dan kesedaran sepatutnya membawa kepada perubahan kearah memantapkan Ilmu dan Amal Islamiyyah. Sama-sama kita nantikan hasil niat masing-masing

alhusseyn said...

Salam Anon March 26, 2014 11:00:00 am, Elok benar dah kenyataan DUPWP tu. Apa yg tidak kenanya? Kita mengharapkan kesungguhan serta iltizam yang berterusan dgn program seumpama ini. Jangan yang makruf pun buat, yang mungkar pun buat; kemudian gi cakap kat orang : Air dan minyak tidak akan bercampur! Cantik dah uslub dakwah Ulama' tu.Puji sikit-sikit dgn menyatakan : "DUPWP juga melahirkan kesyukuran kepada Allah Taala atas kesudian YAB Perdana Menteri dan isteri yang turut menyertai majlis yang sangat barakah ini." Kemudian dia gi jentik sikit sajer.... takkanlah jentik dengan anak jari kelingking itu pun dah terasa sangat?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...