JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Friday, June 20, 2014

Malaysia hanya negara umat Islam - Dewan Ulama PAS

20 Jun, 2014. Dewan Ulama PAS beranggapan, Malaysia setakat ini bertaraf "negara umat Islam" kerana ia bukan negara sekular atau negara Islam, kata Ketua Penerangannya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (gambar).

 Negara umat Islam, katanya, ialah negara yang diperintah oleh kuasa majoriti umat Islam tetapi kuasa Islam belum terpakai sepenuhnya.

 "Pelaksanaan Islam secara menyeluruh menerusi dasar-dasar bernegara belum terlaksana sepenuhnya. Itulah 'negara umat Islam'," kata beliau dalam satu kenyataannya.

 Isu bentuk negara Malaysia menjadi isu panas apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Malaysia bukan negara sekular atau Islam. Ia dibantah oleh DAP yang mendakwa Malaysia adalah negara sekular.

 Menurut Khairuddin, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang ditegaskan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan maknanya yang sebenar menurut sudut pandang Islam sebagai ad-Din dan cara hidup bernegara.

 Ia boleh berlaku menerusi dua cara, iaitu pertamanya meminda peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi memperkasakan kuasa Islam dalam perlembagaan agar mendasari semua dasar urustadbir negara. 

 Kedua, menerusi keputusan hakim-hakim berjiwa Islam di Mahkamah yang memberi tafsiran yang betul terhadap peruntukan tersebut dalam kes mahkamah seperti kes pemakaian serban di sekolah sebelum ini, katanya.

 Katanya, usaha ini sangat penting bagi Malaysia supaya isu status Malaysia sebagai negara sekular atau negara Islam tidak menjadi perbahasan.

 Bagi ahli Parlimen Kuala Nerus itu, negara Islam ialah negara yang meletakkan dasar-dasar bernegaranya sama ada ekonomi, sosial, politik, jenayah, hubungan antarabangsa dan lain-lain adalah dasar-dasar Islam yang merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah menerusi huraian para ilmuwan Islam yang muktabar.

 "Realiti amalan bernegara Malaysia hari ini sejak merdeka 1957 belum sampai ke tahap pelaksanaan Islam yang menyeluruh," katanya.

 Malaysia juga, katanya, tidak boleh ditafsirkan sebagai negara sekular sepenuhnya kerana adanya peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan.

 Begitu juga kedudukan Islam di peringkat negeri menerusi kuasa Mahkamah Syariah membuka jalan kepada pelaksanaan Islam.

 "Justeru, isunya ialah bukan status negara sama ada Islam atau sekular tetapi ialah usaha untuk memberi makna bagi Islam yang lengkap dan syumul bagi peruntukan perlembagaan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

 Bagi beliau, ia menjadi kewajipan seluruh umat Islam sama ada yang berada di puncak kuasa atau sebagai rakyat yang mengundi memilih orang yang berkuasa untuk memberi makna yang signifikan untuk Islam di Malaysia. –  SUMBER
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...