JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Tuesday, September 09, 2014

PAS tidak ada apa-apa hasrat atau pun niat untuk bersama dengan Umno - PasMa

Kemarahan terhadap Hadi Awang membuak

 Forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) malam tadi yang mensasarkan untuk menghalang sebarang kerjasama di antara PAS dan Umno menyaksikan hadirin meluahkan kemarahan terhadap parti Islam itu dan presidennya berhubung peranan mereka dalam krisis menteri besar Selangor. 

 Persoalan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dikenakan tindakan kerana menentang keputusan parti dalam isu menteri besar Selangor termasuk masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) diajukan kepada ahli panel Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari. 

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat PKR kerana enggan menurut keputusan parti, apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Hadi kerana menentang keputusan parti dalam isu MB Selangor?” soal seorang hadirin disambut tepukan gemuruh di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Kuala Lumpur malam tadi. 

 Terdapat hadirin yang merungut bagaimana rosaknya imej PAS dalam menguruskan krisis ini sehingga seorang daripada hadirin mempersoalkan Mujahid mengapa beliau dan pemimpin seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung masalah dilakukan pemimpin lain. 

 Mujahid yang berhati-hati memberikan penjelasan kepada kira-kira 500 hadirin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan Hadi tidak dianggap maksum oleh parti Islam itu.

 "PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian. 

"Saya mahu beritahu pada malam ini di depan kamera dan wartawan. Jangan misquote saya. PAS tidak ada apa-apa hasrat atau pun niat untuk bersama dengan Umno,” katanya disambut dengan tepukan hadirin pelbagai kaum di forum bertajuk PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu. 

 Mujahid berkata, tiada perjuangan dalam parti atau gerakan Islam yang mensucikan pemimpin tertentu dan mereka juga boleh ditegur kerana tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. 

 AJK PAS Pusat itu berkata, ketaatan kepada pemimpin bukanlah bersifat mutlak kerana kepatuhan sepenuhnya hanya diberikan kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.

 “Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak’,” katanya. Bagaimanapun, Phahrolrazi berkata tindakan PAS akhir-akhir ini tidak menunjukkan mereka mahu terus bersama PR. “Kadang-kadang kita lihat PAS berkata mereka akan terus kekal bersama PR, tetapi ia tidak jelas dalam tindakannya. 

 “Tidak dapat dinafikan agenda Umno adalah untuk melemahkan PR, dan PAS termasuk dalam perangkap itu dan sesetengah ahlinya terpengaruh. 


“Kita sudah lihat ini berlaku. (Bekas timbalan presiden PAS) Ustaz Nasharuddin (Mat Isa) contohnya, sangat rapat (dengan Umno) dan mengikut perdana menteri ke mana-mana, tetapi beliau masih belum dipecat lagi,” katanya. 

 Phahrolrazi berkata, jika PAS mahu keluar daripada gabungan itu dan bersendirian, ia akan menguntungkan Umno kerana rakyat sudah tiada lagi gabungan alternatif untuk disokong. 

 "Kita (Pasma) tidak mahu PR runtuh. Kalau PR jatuh kita akan kembali kepada zaman 1950-an dan 1960-an di mana rakyat tiada pilihan,” kata bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu. 

 "Politik sihat adalah rakyat mempunyai pilihan dan mereka yang berkuasa perlu sedar rakyat boleh menyingkirkan mereka,” katanya. 

Rayuan presiden PasMa agar PAS kekal dalam PR disambut dengan sorakan hadirin yang setia menanti forum selama 3 jam itu. 

PasMa, ditubuhkan ahli PAS yang mahu parti itu kekal dalam PR dan dilancarkan di Kota Baru pada 31 Ogos.

Bagaimanapun Mujahid enggan terheret sama dengan kekecewaan hadirin dengan peranan Hadi dalam krisis menteri besar Selangor dan dilihat masih membelanya. Aziz bagaimanapun kurang bersetuju dengan kenyataan Mujahid yang dilihat terlalu mempertahankan Hadi. 

Katanya, PAS tidak perlu membeza-bezakan ahlinya dalam mengambil tindakan kerana segalanya perlu diadili secara saksama. 

 “Saya kurang bersetuju dengan Mujahid. Kenapa tidak katakan dalam parti semua sama? Siapa saja boleh dikenakan tunjuk sebab.

 “Kenapa mesti pertahankan presiden secara tidak langsung? Hendak buat apa? Semua orang tahu. 

 “Boleh terangkan dalam parti semuanya sama. Jangan ingat satu golongan manusia maksum, satu golongan tidak boleh tegur,” katanya.

 Mujahid dalam menegakkan hujahnya berkata, apa yang dikatakannya adalah prosedur dalam parti dan terpulang bagaimana pihak tertentu menafsirkannya. 

“Saya tidak kata begitu. Saya hanya katakan dalam disiplin ada prosesnya. Itu saja. Dia hendak tafsir saya mempertahankan, itu masalah dia,” katanya kepada Aziz. – TMI
Comments
1 Comments

1 comment :

abuamir said...

Apa yg penting kami ahli peringkat bawahan tolak kerjasama dgn umno. Bagus ada PASMA ni sebab geng UG dah merasa ketak dan tahu peringkat akar umbi PAS tolak kerjasama dgn umno.

ABU- Asal Bukan Umno.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...