GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, December 02, 2014

Alkisah Kenangan Ketua Dewan Harian, Sehari

Kami insan biasa 

“Anta dilantik menjadi Ketua Dewan Harian, dan malam ini dalam mesyuarat di Amman, anta kena bentang perancangan setahun Dewan Harian” kata senior kepada saya pagi tadi. 

 Saya menggaru-garu kepala. Dewan Harian itu apa? Mengapa melantik saya tanpa persetujuan saya? Mengapa saya? Saya biarkan sahaja soalan itu berselang seli, sepanjang perjalanan dari Irbid ke Amman. 

 Sebentar tadi singgah di al-Mafraq. Susah hati sungguh melihat keadaan di sana. Pelajar baru yang bakal ditempatkan di universiti baru berkenaan ramai. Tetapi kemudahannya amat terbatas, dan belum pernah dalam sejarah pelajar Malaysia di Jordan, penempatan diselaraskan di asrama. 

 Saya baru sahaja menjejakkan kaki ke tahun dua pengajian di Jordan. 1994. Belum sempat bersenang lenang sebagai marhaen, saya diberikan jawatan yang saya sendiri pun tidak faham apa bendanya ia. Tetapi, terima sahajalah. Semuanya untuk kebaikan belaka. 

Tetapi saya akan berterus terang di dalam mesyuarat nanti, bahawa saya tidak tahu apa-apa, mustahil saya merancang agenda setahun dalam keadaan blank. Maka tugas mesyuarat malam ini ialah memahamkan saya, apakah yang dimaksudkan sebagai Dewan Harian itu. 

 Tiba sahaja di Amman, dengan blazer yang berdebu, saya masuk ke mesyuarat di Sweileh. Saya memakai blazer kerana menjalankan kerja-kerja persatuan, menguruskan hal ehwal pelajar baru. 

 “Ha, ahlan wa sahlan Hasrizal. Kami baru mula mesyuarat. Tafaddhal” ketua mesyuarat mempelawa saya duduk bersila. 

 Seperti biasa, tilam dibentang di lantai, kami bersila di atas tilam. Ahli mesyuarat lelaki di ruang tamu. Manakala ahli mesyuarat perempuan di balik tabir, di bahagian dalam rumah. Saya bersalam dengan lima orang ahli mesyuarat.

 Seorang demi seorang. Saya seorang sahaja nampaknya yang tahun dua. Lain-lain adalah senior belaka. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Isyak baru sahaja selesai. Agenda mesyuarat adalah di unit nombor dua. Saya nampak, agenda ‘Dewan Harian’ adalah yang kelima. 

Saya banyak mendiamkan diri. Mahu mengenal pasti rentak mesyuarat. Tidak biasa. Dan kekok kerana rakan-rakan satu batch tiada. Semua senior. Belum mesra. Dengar. Fikir. Perhati. Menguap. Sabar. Antara mengantuk, letih dan berusaha untuk fokus, hati saya makin lama makin panas. 

 Saya tidak faham mengapa mesyuarat ini begitu sememeh. Orangnya kemas-kemas. Tetapi perjalanan mesyuaratnya yang sememeh. Memenatkan. 

 “Tahun ini tamrin nak buat lima atau enam kali?” tanya salah seorang ahli mesyuarat. 

 “Tahun lepas buat enam, tahun ini buat enam kali jugalah” jawab seorang lagi. 

“Tapi tahun ini, akhawat sudah ada tamrin mereka sendiri. Jika buat enam, nanti banyak sangat tamrin mereka. Buat lima sudahlah” jelas beliau. 

 “Isi tamrin akhawat lain. Isi tamrin markazi lain. Tidak bertindan. Akhawat yang tambah tamrin. Bukan kita tambah tamrin” hujah ‘orang pusat’ itu pula. 

“Salah kita juga sebab tamrin markazi tak fokus kepada isu-isu akhawat, sehingga mereka kena buat tamrin mereka sendiri” bidas pencadang awal tadi. 

Apa ini? Sekejap lima, sekejap enam, sudah lebih setengah jam belum habis bincang hendak buat berapa kali. Itu belum masuk bab setiap kali tamrin dibuat, apa isinya. Walaupun mungkin akhirnya, hanya mengulang isi yang sudah dikupas dalam tamrin di tahun-tahun sebelumnya. 

 “Anta ni, syadid sangat. Prihatinlah sedikit dengan akhawat” kata ustaz fulan, menegur ahli mesyuarat yang bertegas mahu tamrin dikekalkan sebanyak enam kali.

 “Terima kasih ustaz, prihatin dengan keadaan kami” sampuk akhawat dari balik tabir. 

 Saya jadi ‘berbulu’ dengan mesyuarat ini. Ia adalah mesyuarat tertinggi di dalam tanzim. Dan jika mesyuarat tertinggi, begini kualitinya, bagaimana pula mesyuarat di bawah-bawah? 

Saya teringat semasa memegang Badan Dakwah dan Rohani di sekolah dahulu. Saya telah taip nota khusus tentang cara mengendalikan mesyuarat yang efektif. Rasanya mesyuarat budak-budak kami beberapa tahun yang lalu, lebih berkualiti daripada mesyuarat mengada-ngada ini. Darah muda membuak-buak. Sudahlah saya dilantik tanpa dimaklumkan. Jawatan pula tidak difahamkan. 

Sekarang, saya kena mengadap usik mengusik ustaz-ustaz ini dengan ustazah-ustazah di balik tabir, tentang tamrin tahun ini, mahu buat lima kali atau enam kali. 

 Mesyuarat dihentikan seketika untuk makan malam. Saya menjamah makanan dengan berselera, namun mulut berkunci tidak berkata apa-apa. Makan dalam talam, tengah geram pun masih bersemangat. 

 Mesyuarat disambung semula. Hendak berpindah ke satu-satu agenda, sungguh memakan masa. Apabila jam menghampiri tengah malam, saya sudah hilang sabar. Rasa penat, mengantuk dan kepala berasap sampai ke tahap maksima. 

 “Maaf ustaz, ustazah. Ana keletihan. Ana tidur dulu. Sampai agenda ana, tolong gerak ya!” mesyuarat tersentak dengan ‘permintaan’ saya. 

 Semua ahli mesyuarat terlopong. Saya tolak tilam ke tepi dinding, pejam mata dan tidur. Entah apa yang mereka fikirkan tentang saya, tidak saya pedulikan. Saya sudah terlalu penat, mesyuarat pula entah apa-apa. Belum sempat berfikir panjang, saya sudah terlelap. Sedar-sedar jam sudah pukul 3 pagi. 

 “Sheikh, bangun. Ni dah sampai agenda anta” kata senior, menggerak saya bangun dari tidur. 

Memicit-micit mata dan menggosok muka kepenatan, saya terus mengambil tempat dan menyampaikan hasrat hati. Allahu Rabbi… berjam-jam saya tidur, baru berganjak satu agenda mesyuarat. 

 “Ana dilantik memegang jawatan Ketua Dewan Harian, tetapi ana tidak dibawa berbincang. Ana tidak tahu Dewan Harian itu apa. Mustahil untuk ana merancang benda yang ana tidak tahu. Boleh siapa-siapa terangkan?” saya berterus terang. 

 “Dewan Harian ini baru sahaja dibentuk di dalam tanzim pusat di Malaysia. Kita mahu jemaah kita di sini selaras dengan pusat” kata senior, menerangkan satu demi satu tentang Dewan Harian. 

 Saya pula, yang sudah seperti cicak berak kapur, cuba mendengar dan memahami. 

 “Kalau macam itu, mesyuarat akan datang baru boleh ana bentang perancangan ana” saya menjawab. 

 “Tak boleh Sheikh, kena sekarang juga. Mesyuarat depan dah ada agenda lain pula” kata senior tadi.

 Hmm… Hati saya panas. Oleh kerana saya hanya mendiamkan diri tidak berkata apa-apa, akhirnya mesyuarat ditangguhkan pada jam 3:30 pagi! 

 Tanpa bertangguh lagi, saya segera menempuh kegelapan malam pergi ke rumah sahabat-sahabat saya di Sweileh. Harapnya ada yang sudi bangun untuk terima kunjungan 3:30 pagi saya. 

 Sampai di Darul Ulum, saya ketuk tingkap. “Ustaz, tolong buka pintu. Ana ni, Hasrizal!” saya memanggil rakan yang sedang lena itu. 

Alhamdulillah beliau bangun. Saya nampak dalam gelap-gelap itu, dia meraba mencari kunci tetapi matanya seperti tidak terbuka. Selepas beberapa minit, beliau berkata 

 “Sheikh, tak jumpa kuncilah!” Sahabat saya itu terus menyambung tidur! 

Aduh!!! Mengigau ke apa ini? Saya ketuk tingkap bilik lain pula. Alhamdulillah seorang lagi sahabat berjaya saya bangunkan. Beliau bangun dan membuka pintu rumah. Tanpa berlengah lagi, saya capai sebiji bantal dan terus tidur di atas karpet di ruang tamu. 

 Baru sahaja hendak melelapkan mata, masjid sudah melaungkan azan subuh. 

“Masha-Allah, sudah subuh!” saya gagahkan diri bangun, dan terus menuju ke masjid. Usai solat Subuh, saya segera tidur semula. Terlalu penat. Jam 9 saya terbangun, apabila digerak kawan. 

 “Hah macam mana mesyuarat malam tadi? Besar pangkat anta!” usik sahabat saya. Selepas membasuh muka dan menggosok gigi, saya terus mengadap komputer. 
Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh.


Semoga surat ini diterima di dalam kesempurnaan iman dan ukhuwwah. 

PER: PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI KETUA DEWAN HARIAN


Merujuk kepada perkara di atas, adalah dengan ini saya, Hasrizal bin Abdul Jamil, pelajar tahun dua di Universiti Mu’tah, Jordan ingin memaklumkan tentang perletakan jawatan saya sebagai Ketua Dewan Harian bagi sesi 1994/1995 ini.

Perletakan jawatan ini dilakukan setelah mengambil kira manfaat dan mudarat tindakan berkenaan. Saya meletakkan kepentingan tanzim sebagai keutamaan dan dengan itu saya percaya tugasan ini akan dapat ditunaikan dengan lebih baik jika diamanahkan kepada pelajar yang lebih berpengalaman. Berilah peluang kepada saya untuk belajar dan mencari pengalaman terlebih dahulu sebelum langsung diberi amanah yang berat ini. 

Perletakan jawatan ini juga merupakan pendirian saya yang membantah cara perlaksanaan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat Tanzim yang berlangsung pada tarikh 6 Oktober 1994 lalu. Saya berpandangan, mesyuarat tertinggi Tanzim mestilah memperlihatkan kualiti dan integriti yang boleh dicontohi dalam mesyuarat-mesyuarat di peringkat kawasan. Saya bersedia untuk dipanggil untuk sesi tunjuk sebab pada bila-bila masa yang munasabah, selepas surat ini diterima dan dimesyuaratkan.

HASRIZAL BIN ABDUL JAMIL
“Anta betul ke nak letak jawatan ni?” sahabat saya bertanya.

 “Kenapa?” saya bertanya.

 “Nanti, tambah popular anta jadinya” kata beliau. 

Saya ketawa kecil. Selepas solat Jumaat, saya segera menaiki bas ke Irbid, untuk menghantar surat perletakan jawatan tersebut. Tindakan saya meletak jawatan tersebut tidak mendapat sebarang reaksi pemimpin tanzim. Ya pun tidak, tidak pun tidak. 

Saya tidak dipanggil untuk tunjuk sebab. Saya hanya menyedari yang perletakan jawatan saya telah diterima, apabila kira-kira sebulan selepas itu, timbul cakap-cakap belakang bahawa saya tidak wala’, surat saya tidak wala’, kertas kerja yang saya buat tidak wala’.

 Kisah surat saya itu dipetik berkali-kali di dalam pelbagai mesyuarat. Hasrizal tidak wala’. Hasrizal ini, dan Hasrizal itu. Dan surat berkenaan juga memulakan rentetan pengalaman tidak manis saya sepanjang kehidupan di Jordan. 

Pengalaman tidak manis yang menjadikan buku Rindu Bau Pohon Tin, travelog saya yang paling nipis.


Senior dan Junior, hari-hari awal kami di bumi Anbiya’ 

Saya teringat kembali kisah lama ini, apabila soal Kepimpinan Ulama dipaksa-paksakan konsepnya ke atas anak muda, bahawa masa depan perjuangan Islam bergantung kepada Kepimpinan Ulama. 

Dan selama saya berada di Jordan, universiti mengajar saya bahawa kepimpinan adalah urus tadbir, ia bukan Fiqh Ibadat, jauh sekali Aqidah. Urus tadbir ada ilmunya yang khusus, ada bakatnya yang khusus. Dan cara saya dan rakan-rakan berorganisasi semasa di bumi Anbiya’ dahulu, tidaklah menjadikan kami para agamawan lebih rendah atau lebih tinggi berbanding rakan-rakan di bidang dan negara lain. 

Sebaliknya ia menjadikan kami para agamawan boleh menjadi pemimpin, seandainya kami ada bakat kepimpinan dan tahu memimpin serta mengurus tadbir. Bukannya kerana kami agamawan.


 قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ 

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55] 

Kelayakan Yusuf sebagai sandaran jawatan pentadbir kewangan Mesir itu adalah: Yusuf memiliki sifat Hafīz, yakni ketelitian dan integriti yang tinggi untuk mengurus harta negara Yusuf memiliki sifat Alīm, yakni berilmu pengetahuan berkenaan tugas mengurus tadbir harta tersebut Ilmu untuk menjadi pentadbir, adalah ilmu khusus yang perlu diperolehi sebelum boleh diterima sebagai pentadbir yang baik. 

Sama seperti ilmu sains pemakanan, sebelum seorang agamawan bertukar menjadi pakar pemakanan dan pemasaran. Segalanya kembali kepada ilmu. Ilmu sebelum amal. -  HASRIZAL 43000 BSP
Comments
4 Comments

4 comments :

Anonymous said...

PAS perlukan anjakan paradigma sekiranya mahu berkuasa di Malaysia, PAS tanpa dokongan golongan professional dia hanya berupaya sebagai badan dakwah dan bukan sebagai parti politik yg menjadi juru bicara ummah.

Anonymous said...

ustaz hasrizal saulfulislam, sgt minat blog dia.

teringat jugak segmen ibrah radio ikim tiap isnin 5.15pm, ustaz syaari abdul rahman mengupas kisah2 rasul dlm Alquran, byk kali ditekan tentang keperluan memiliki kompetensi utk menjadi pemimpin. ilmu saja tidak cukup.

baru2 ni sifat raja kpd bani israel yg dipilih Allah pd masa itu (iaitu Tholut) ada kekuatan tubuh badan (sihat), ada ilmu dan ada kopetensi (pengalaman/kemahiran/kecerdikan). 3 sifat ini mesti ada pada pemimpin gerakan islam.

Anonymous said...

Bagus hujah ustaz ni.... tp geng UG mesti mengamuk

Anonymous said...

Tak habis habis lagi hussin....blogger2 lain yg seangkatan dengan hussin dah slow skit tibai hj hadi dan pas tapi hussin maintain je takde news tibai umno dalam blog kau ni hussin...skali2 tibai la umno...upahan jugak kau ni hussin mcm umno...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...