GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Wednesday, December 10, 2014

Sejauh Manakah Kita Setia Dengan Kebenaran?

Hari itu, semua yang hadir bersedih. Ahli keluarga mereka telah meninggal dunia dan menunggu untuk dikebumikan. Tiba-tiba, penutup keranda ditolak dan ‘si mati’ bangun keluar daripadanya. 

 “Apa yang kamu cuba lakukan ini? Aku belum mati!” kata ‘si mati’ berkenaan.

 Semua yang berada di dalam majlis itu tergamam. Sepi. Terkejut. Tidak lama, salah seorang yang hadir itu berkata, 

 “Sahabat, sesungguhnya Imam dan Doktor sudah pun mengesahkan bahawa engkau mati. Maka engkau adalah si mati yang telah mati!” 

 Lalu ‘si mati’ itu dikebumikan. Hidup-hidup! 

 KECELARUAN KOGNITIF DALAM BERAGAMA 

 Hari ini, keberagamaan kita sangat rencam. 

Andai kerencaman itu dipandang dalam rangka realiti yang lebih besar, kita melihat arus bertentangan yang lebih membimbangkan. Mereka yang mencabar agama, mencabar agama dengan soalan-soalan mereka yang sangat materialistik. Manakala yang membela agama, membela agama dengan jawapan-jawapan mereka yang sangat mistik. 

 Golongan pertama, mahu mengulang kembali soalan Bani Israel kepada Musa ‘alayhi al-Salam bahawa “kami tidak akan sekali-kali beriman kepada (seruan)mu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara nyata (petikan surah al-Baqarah ayat 55). 

 Golongan kedua pula, mahu agama Islam ini diimejkan sebagai agama yang berkata, “lembu berkahwin dengan durian, memberanakkan sebuah kereta, dan itu tidak mustahil jika Allah berkehendak. Ia tidak mustahil bagi Allah, Tuhan kami yang Maha Berkuasa!” 

 Dalam kecelaruan beragama semasa, saya berpendapat ia bukan lagi isu ‘agama’. Ia adalah isu kognitif, psikologi, psikiatri. Soal tingkah laku akal yang semakin OKU. Akal yang diberi oleh Allah untuk meluhurkan interaksi manusia dengan wahyu, sama ada telah digunakan secara berlebihan, atau langsung tidak digunakan kerana ‘lebih mementingkan agama’, atau digunakan secara salah. 

 Apabila masyarakat beragama dengan trend yang salah, mereka diserang pula dengan idea-idea yang mencarik-carik akal untuk menjustifikasikannya, lalu masyarakat Malaysia dilanda dengan apa yang disebut sebagai Religious Cognitive Dissonance .

 Ia bukan sepatutnya bencana ke atas umat Islam. 

 Agama kita tidak bermusuh dengan akal. Agama kita tidak memisterikan misteri. Agama kita ada penjelasan yang baik untuk perkara yang paling rumit, tanpa menimbulkan tekanan kepada akal yang sejahtera untuk menggarapnya sebagai sebuah kepercayaan.Namun itulah yang berlaku.Kebelakangan ini. 

Teringat saya kepada penjelasan berikut: 
“Sometimes people hold a core belief that is very strong. When they are presented with evidence that works against that belief, the new evidence cannot be accepted. It would create a feeling that is extremely uncomfortable, called cognitive dissonance. And because it is so important to protect the core belief, they will rationalise, ignore and even deny anything that doesn’t fit in with the core belief.” ― Frantz Fanon, Black Skin, White Masks
Terjemahan: “Adakalanya masyarakat berpegang dengan sebuah kepercayaan yang bersifat usul, dengan begitu kuat. Apabila mereka dikemukakan dengan bukti yang menunjukkan hakikat yang bertentangan dengan kepercayaan itu, bukti baru itu tidak dapat diterima. Ia mencetuskan satu perasaan yang amat-amat tidak selesa, dan ia dikenali sebagai percanggahan kognitif (cognitive dissonance). Dan disebabkan oleh peri pentingnya kepercayaan yang usul itu dilindungi, mereka cuba merasionalkan, mengabaikan malah menafikan apa sahaja yang tidak sesuai dengan kepercayaan yang usul itu” 

 Antara kualiti perkataan dan kualiti penyebutnya, mana satu usul, mana satu yang hendak dan boleh dikompromi? 

 APABILA AGAMAWAN BERLAGA PEDANG 

 “Bantulah kami yang mahu belajar agama ini” 

 “Kasihani kami” 

“Jangan kelirukan kami” 

 "Mengapa biarkan kami begini” 

 Ini menjadi keluhan demi keluhan yang mewarnai status-status Facebook apabila status di atas bertemakan agamawan berlaga pedang. 

 Untuk menghilangkan kekeliruan itu, kita tanya kembali diri masing-masing, apa yang kelirunya?

 Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan kita telinga untuk mendengar. Dengar pula dengar betul-betul. Bukan dengar 2 saat, merengek 2 jam. Dua telinga, mulut pula satu. Ada hikmahnya! 


Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [Al-Zumar 39: 18] 

 Mereka yang beroleh petunjuk bukan mereka yang hanya dengar satu ikut satu. Ia tidak realistik. Kita hidup dalam alam yang tidak begitu. Golongan yang beroleh petunjuk adalah golongan yang mendepani pendapat yang seribu, yang rencam, tetapi mendepaninya dengan proses mendengar yang disebut sebagai YASTAMI’ŪN (يستمعون). 

 Yastami’un itu di dalam bahasa Arab, termaktub di atas wazan yafta’il atau yafta’ilun yang memberi maksud, melakukannya secara bersungguh-sungguh (الإجتهاد و الطلب). 

Ertinya, mendengar dengan baik, beri masa yang cukup untuk mendengar dan tidak secara kompulsif baru dengar sedikit sudah mahu berkata-kata. 

Dengar pula, dengar apa yang diperkata. Al-Qawl. Bukan dengar baju, dengar topi, dengar muka, atau dengar bahasa. 

Sebaliknya dengar makna. Makna di dalam kata. Dengar hujah! Sudah dengar, ikutlah yang terbaik. Jangan terpesona dengan apa sahaja faktor, selain faktor apa yang dikata. 

 NASRETTIN HOCA DAN NILAI SERBAN 
 Suatu hari Nasrettin Hoca tiba di sebuah kampung. Seperti biasa, sambil menunggang keldainya. Penduduk kampung berpusu-pusu hadir menyambut ketibaannya, dengan membawa kitab. 

 “Kamu mahu apa?” tanya Nasrettin Hoca. 

 “Kami mahu mengaji dengan tuan!” kata penduduk kampung.

 “Kamu tidak kenal aku. Bagaimana kamu tahu aku banyak ilmu atau tidak?” soal Nasrettin Hoca lagi.

 “Serban tuan besar!” jawab orang kampung. 

 Nasrettin Hoca mencabut serbannya dan meletakkan serban itu di atas kepala keldainya. Beliau berkata, “Nah, belajarlah dengan keldaiku. Serban beliau besar!” 

 MENGAPA KELIRU DALAM MENILAI? 

 Serban, jubah, ijazah, universiti, kumpulan, aliran, bahasa, rupa, hatta ‘agama’ sekali pun, tiada yang berkonflik dengan KEBENARAN. 

Jika manusia paling kufur kepada Allah, menyebut sesuatu yang BENAR, terimalah ia sebagai BENAR. 

Kebenaran yang diungkap oleh manusia paling kufur kepada Allah. Kufur kepada Allah satu bab, kebenaran tetap kebenaran. 

Jika manusia paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya, menyebut sesuatu yang DUSTA, terimalah ia sebagai DUSTA. 

Pendustaan yang diungkap oleh manusia yang paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya. 

 Sujud kepada Allah satu bab, pendustaan tetap pendustaan. Persoalannya ialah, sejauh manakah kita SETIA DENGAN KEBENARAN? - Hasrizal @ www.saifulislam.com 43000 BSP
Comments
1 Comments

1 comment :

mosabit said...

salam saudara..

izinkan aku mengopipes akan catatan mu ini..

terima kasih...

wassalammm..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...