GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Tuesday, January 27, 2015

Menunggu munculnya bintang di langit tinggi.....


 Ada beberapa hadis yang menjelaskan mengenai beberapa ciri ulama dan hampir keseluruhannya mengulas mengenai akhlak dan keperibadian serta sikap terhadap perkara hak dan batil . Hadis Riwayat Ahmad menyatakan:

"Gambaran ulama di muka bumi adalah seperti bintang di langit yang memberi petunjuk dalam kegelapan di daratan dan lautan. Apabila bintang berkenaan hilang, maka ditakuti manusia akan tersesat jalan."

  Apakah Hj Hadi tidak mampu menjadikan dirinya umpama bintang yang memberikan petunjuk kepada Pakatan Rakyat

 Katanya mahu bersama PR tapi mengapa membiarkan kawan-kawan PR menunggu sekian lama kehadirannya dalam kegelapan? Mereka mahukan Hj Hadi bersama mereka dalam mesyuarat  supaya PR dapat meneruskan perjalanan mereka tanpa tersekat dipertengahan jalan atau tersesat dalam perjalanan - pusing-pusing di round-a bout yg sama! 

 "Ulama adalah cermin dan pemimpin ummah. Barang siapa yang sentiasa bergaul dengannya bertambah kebaikannya" (Hadis Riwayat Jamaah). 

    Apakah Hj Hadi tidak sanggup bergaul dengan rakan-rakan dalam PR supaya dapat menambahkan kebaikan kepada mereka? Sebaliknya Hj Hadi lebih mesra dan lebih lunak dengan musuh-musuh PR. Kenapa Hj Hadi menjadikan dirinya begitu exclusif terhadap rakan-rakan PR lalu tidak mahu bergaul dengan mereka?

 Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat, " Apakah amal perbuatan yang paling utama?" Baginda menjawab, "Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan." 

  Bukankah itu yang sepatutnya Hj Hadi lakukan terhadap mereka rakan-rakan tahaluf siyasinya? Atau apakah Hj Hadi telah menganggap mereka itu sudah bukan kawan lagi? Tidak mahu menolong dan mengingatkan mereka?

 Jika mereka telah melakukan kesalahan, apakah kamu tidak sanggup menasihat dan mengingatkan kawan-kawan kamu itu melalui mesyuarat?

   Kamu, Hj Hadi, bila orang minta datang mesyuarat kamu marah. Bila orang tanya kenapa tak mahu datang mesyuarat kamu marah. Bila diaorang bermesyuarat tanpa kamu, kamu pun marah - tak mahu terima keputusan mesyuarat lalu buat keputusan kamu sendiri yang sebaliknya. Apa kena dengan kamu, wahai Hj Hadi?

 Hadis tersebut selanjutnya menyatakan : Sahabat berkenaan bertanya lagi, "Manusia yang bagaimana yang paling buruk?"

 Baginda menjawab, "Ulama yang selalu membuat kerosakan." (Hadis Riwayat Jamaah).

  Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai wujudnya ulama yang membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin menyelamatkan orang lain. Ini bermaksud ulama jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk orang lain, tetapi secara diam-diam mereka sendiri mengejar kedudukan dan harta duniawi.

 Peringatan al-Ghazali itu mengingantkan kita kepada Hj Hadi yang pernah sebut :  "Saya tak rela bawa ahli-ahli Pas ke neraka jahanam"

  Kini Pakatan Rakyat hanya wujud pada namanya sahaja. Sudah tidak berfungsi lagi.

 Saya bersetuju dengan pandangan ketua penyelidik bebas Merdeka Center bahawa keretakan dan perpecahan  terburuk mungkin akan berlaku.

 "Bagi mengelakkan ia berlaku, PAS perlu menukar kepimpinan ke arah lebih progresif dan komited kepada PR," kata ketua penyelidik bebas Merdeka Centre itu. Ikuti laporan berikut:

Pakatan Rakyat berusia 6 tahun tiba di pengakhirannya?

OLEH EILEEN NG DAN ZULKIFLI SULONG 
 Published: 27 January 2015 7:00 AM




Mereka tidak bersetuju untuk bertemu dan bertelagah secara terbuka berkenaan polisi masing-masing. Adakah ini pengakhiran bagi Pakatan Rakyat (PR)?

 Terdapat kebimbangan PR akan terkubur seperti Barisan Alternatif, yang hanya mampu bertahan selama 2 tahun apabila DAP menarik diri daripada gabungan berkenaan pada 2001, susulan krisis bersama PAS yang mahu mewujudkan negara Islam.

 "Pakatan tidak berfungsi ketika ini. Saya tidak tahu sama ada akan terkubur, ada kemungkinannya," kata seorang pemimpin kanan PR yang enggan dikenali kepada The Malaysian Insider, dan menambah, PAS berkemungkinan akan menggunakan isu pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) DAP untuk meninggalkan atau dikeluarkan daripada gabungan berusia 6 tahun itu.

 Pilihan raya PBT isu terbaru dalam senarai pertelingkahan yang dibangkitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan ulama konservatif yang selari dengannya.

 Dua pergeseran yang timbul sebelum itu adalah Langkah Kajang yang digerakkan PKR untuk menggantikan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahun lalu, yang menyebabkan berlakunya krisis menteri besar di Selangor berlarutan selama 6 bulan.

 PAS juga berkeras mahu melaksanakan hudud di negeri yang dikuasainya di Kelantan, sekaligus mencetuskan keretakan dalam hubungan antara parti komponennya kerana mendakwa ia bukan polisi bersama PR.

 Malah, memburukkan keadaan, Majlis Presiden Pakatan Rakyat, mesyuarat tertinggi untuk memuktamadkan sesuatu isu sudah tidak bersidang lebih dari 6 bulan, dan dilaporkan Hadi sudah tidak menghadirinya selama setahun.

 Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata beliau tidak dapat menghadirinya kerana faktor kesihatan, (Jangan lupa dia telah pergi ke London dan Jakarta - al Husseyn ) namun ia tidak membantu menutup khabar angin hubungan renggang antara kepimpinan PR.

 Pemimpin PR yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, agak lama kepimpinan tertinggi parti – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hadi, dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang duduk semeja.

 Malah difahamkan, kali terakhir mereka bersama-sama menghadiri mesyuarat adalah pada 20 Disember 2013, di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur.

 Ketika itu mesyuarat dijalankan untuk menghantar surat kepada Khalid untuk menyemak elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), termasuk menteri besar, speaker dan timbalan speaker Selangor.

 Sejak itu, Hadi tidak menghadirkan diri dalam 5 mesyuarat, dan PAS diwakili timbalan presidennya Mohamad Sabu.

 Dalam sebuah mesyuarat majlis presiden tahun lalu, PR bersetuju menyokong presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

 Hadi tidak menghadiri mesyuarat berkenaan, dan kemudiannya menolak keputusan mesyuarat.

 Sejak itu, DAP menegaskan kehadiran Hadi amat mustahak dalam setiap mesyuarat.

 "Tiada petunjuk bila mesyuarat seterusnya," kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua.

 "Mesyuarat hanya akan dijalankan jika Hadi hadir. Ini permintaan kami, kerana kami tidak mahu beliau menolak keputusan mesyuarat kemudiannya," katanya merujuk kepada beberapa tindakan Hadi menolak keputusan mesyuarat PR ketika kemuncak kemelut menteri besar Selangor.

 Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bagaimanapun dilihat lebih optimis dengan masa hadapan PR, mengatakan terdapat fraksi dalam kepimpinan PAS.

 Muktamar PAS katanya mengesahkan sokongan parti itu terhadap PR sejak pembentukannya pada Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas majoriti dua pertiga majoriti Parlimen.

 Beliau berkata ini bermakna, PAS akan kekal bersama PR.

 "Isu yang melibatkan mereka ketika muktamar dan pemimpin mereka perlu diselesaikan secara dalaman oleh PAS," kata ahli Parlimen Pandan itu.

 The Malaysian Insider difahamkan, Anwar cuba menghubungi Hadi dan Lim semalam. Lim bersetuju untuk menghadirkan diri, namun Hadi gagal dihubungi.
 
 Penganalisis, Ibrahim Suffian berkata, pertelingkahan antara kepimpinan PAS menjelang pemilihan mereka yang dijadualkan pada Jun membimbangkan.

 Perbezaan ideologi antara kepimpinan parti itu juga mencetuskan kebimbangan rakan-rakan pembangkang mereka.

 "Jika kumpulan konservatif kekal dan mempengaruhi pelbagai peringkat, ia akan mengakibatkan Pakatan tidak dapat berfungsi," katanya, dan menambah, keretakan dan perpecahan senario terburuk yang mungkin berlaku.

 Bagi mengelakkan ia berlaku, PAS perlu menukar kepimpinan ke arah lebih progresif dan komited kepada PR, kata ketua penyelidik bebas Merdeka Centre itu.

 "PAS tidak boleh mendesak semua polisi mereka mahukan, dan pada masa sama, kekal bersama DAP dan PKR," katanya.

 Rafizi turut mengakui, isu berkenaan memberikan sedikit kesan kepada akar umbi, terutamanya kawasan dikuasai Hadi dan penyokongnya.

 Beliau bagaimanapun melihat, di kawasan-kawasan sentimen pro-PR, pertelingkahan itu tidak memberikan kesan.

 "Ada kesannya, tetapi tidaklah begitu besar," katanya. – 27 Januari, 2015. - ~ SUMBER
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Pls leave PR hadi... pls

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...