GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Saturday, January 24, 2015

Yang tidak dimengerti Hadi tentang ‘undi ketiga’ – Izmil Amri

Published: 23 January 2015 8:05 PM


Salah tanggapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pilihan raya kerajaan tempatan amat disesalkan. Di saat Pakatan Rakyat (PR) berusaha menjauhi wacana politik perkauman, beliau pula gigih membangkitkan momok 13 Mei, dan mengaitkannya dengan pilihan raya kerajaan tempatan.

 Tidak jauh beza dengan buah butir percakapan kumpulan-kumpulan ultra Melayu. Sikit-sikit 13 Mei, seolah-olah tidak ada hujah bernas lain selain hujah kaum dan politik ketakutan.

 Lebih menyedihkan, modal pilihan raya kerajaan tempatan ini kini dijadikan modal perbandingan dengan cita-cita pelaksanaan hudud di Kelantan. PAS membandingkan urusan jenayah syariah berasaskan firman Tuhan, dengan isu pemilihan tukang urus longkang tersumbat dan lampu jalan tidak menyala. Ini amat memilukan hati.

 Apa yang Hadi nampak barang kali, hanyalah kalau dibuat pilihan raya ini, yang akan jadi ahli majlis dan datuk bandar, semuanya Cina belaka. Geleng kepala.

 Hadi gagal memandang pilihan raya kerajaan tempatan, atau ‘undi ketiga’ sebagai langkah penampan. Di saat PAS ketiadaan Kedah dan Terengganu, seharusnya Hadi memikirkan ‘undi ketiga’ patut dijadikan modal simpanan bagi memastikan PAS (dan juga PR, kalau masih sudi) dapat terus bekerja melayani rakyat di peringkat akar umbi.

 Seharusnya juga PAS dan Hadi mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada Iszuree Ibrahim di Pulau Pinang, yang digantung tugasnya dan kemudian tidak disambung kontraknya sebagai ahli Majlis MPPP lantaran komen melulunya terhadap kerajaan negeri.

 Iszuree pasti masih lagi tidak digugurkan daripada menjadi ahli majlis sekiranya beliau dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan, dan bukan melalui cara pelantikan.

 Namun ternyata PAS gagal mencari apa peluang yang ada untuk terus berfungsi sebagai pelayan rakyat. Bukan itu sahaja, ia malah mengecam peluang tersebut dengan sentimen perkauman dan momok 13 Mei.

 Kita sebenarnya harus mengerti apa fungsi dan peranan ahli majlis, dan kenapa mereka ini perlu dipilih oleh rakyat, dan bukannya dilantik pakai tangkap muat.

 Wakil rakyat, fitrahnya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya untuk menganggotai dewan-dewan pembuat dasar negeri dan negara. Wakil rakyat ini ada antaranya yang mempunyai ciri kepemimpinan.

 Mudahnya disebut ciri orang politik. Suka bergambar, berucap, dan dilihat membuat sesuatu.

 Sekumpulan wakil rakyat yang lain pula barangkali tidak mempunyai ciri-ciri sedemikian selain keinginan melayani dan berkhidmat untuk rakyat. Tetapi ini sebenarnya bukan kerja wakil rakyat. Bukan kerja wakil rakyat untuk urus longkang tersumbat, sampah tidak dipungut dan tiang lampu tidak menyala.

 Itulah kerja ahli majlis. Mereka inilah yang sentiasa mendapat panggilan telefon daripada wakil rakyat apabila rakyat mengadu longkang depan rumah tersumbat, atau gerai cucur pisang ibu tunggal di simpang kampung perlukan lesen supaya mengelak daripada dirobohkan.

 Ahli majlis adalah wakil kepada wakil rakyat. Yang penat dan letih melayan rakyat, selalunya mereka inilah. Yang berasa denyut nadi rakyat saban hari, ahli majlis.

 Tetapi siapa yang melantik ahli majlis? Takkanlah rakyat tidak punya suara untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal runcit bandar dan pekan mereka. Dan bukankah ahli majlis juga yang meluluskan binaan infrastruktur setempat?

 Berbanding PAS, DAP percaya rakyat mempunyai hak demokratik untuk memilih siapa yang mewakili mereka di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, mahupun di majlis bandaran. Ini memastikan akauntabiliti wakil rakyat dan ahli majlis kepada rakyat yang meletakkan mereka di posisi itu, bukan tuan-tuan politik yang melantik mereka.

 Kebertanggungjawaban kepada pembayar cukai, pembayar saman, pembayar meter petak letak kereta, pembayar lesen niaga, adalah elemen yang memastikan kecekapan, ketelusan dan integriti dalam menguruskan infrastruktur dan perancangan setempat.

 Rasa bertanggungjawab inilah yang dimahukan rakyat terbanyak, yang hari demi hari bertanya ‘mana wakil rakyat kami, musim pilihan raya baru nampak muka’.

 Memanglah tak nampak muka wakil rakyat, mereka kerja di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Ahli majlislah yang kerjanya turun padang selalu, di zon dan autonom yang lebih kecil. Muka mereka ini nanti memanglah nampak selalu; tapi tak kenal, sebab bukan rakyat yang pilih.

 Tidak sepatutnya timbul persoalan jurang kaum, tidak kiralah di bandar atau luar bandar. Penyakit mudah menimbulkan momok perkauman ini sepatutnya sudah tidak lagi diperbahaskan. Bukankah kita juga yang dahulu menyeru supaya pengundi memilih calon yang berkaliber dan tidak memilih berasaskan kaum dan keturunan? Jika pendekatan garang Hadi terhadap DAP ini sekadar untuk menunjukkan beliau masih bergigi dalam mempertahankan kerusi presiden PAS menjelang muktamar nanti (seperti dianjurkan Utusan Malaysia) maka barang kali sudah tiba masanya untuk PAS mempertimbangkan calon presiden baru bagi mengemudi PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – 23 Januari, 2015.

 * Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan al-Husseyn  - sumber
Comments
4 Comments

4 comments :

Anonymous said...

dr pengamatan saya, pas memang sengaja mencari isu utk mhancurkan pakatan rakyat melalui dap.

hudud sengaja diwujudkan krn ingin meningkatkan pertelingkahan dgn dap wlp hudud bukan agenda pakatan. hudud tak mungkin dpt dilaksanakan dikelantan. lihat saja enakmen hudud ditganu. wlp menjadi kubu kuat hadi dan ug, tp masih tidak dpt melaksanakan hudud wlp telah diperkenankan oleh sultan.

saya berkira bhw sekiranya dap membuat kenyataan bahwa Islam agama syumul dan al-quran itu benar, nescaya geng ug akan tetap menghentam dap semata ingin meneruskan agenda mereka utk melemahkan pakatan rakyat.

dr tindakan mrk yg lalu, puak ug ni bukanlah cerdik dan zero politik. saya yakin terdapat unsur luar yg membantu mrk membuat perancangan sehingga mampu meletakan org2 mrk dipimpinan tertinggi pas.

mustahil mrk dpt berbuat demikian dgn sendiri krn masalah banjir pun mereka tak mampu membantu.

Malaysiabaru said...

Tahniah perkosa dh jd penasihat hadi Ping ajaran sesat besut

kamal ahmad said...

Engkau ajelah jadi presiden Pas !

bat8 said...

Tepat pandangan sdra. Hudud ini adalah senjata yang paling kerap yang digunakan oleh beberapa pemimpin UG yang sudah dikenali untuk mewujudkan suasana tegang didalam PR sejak selepas PRU 2008.

Dulu ia digunakan untuk mensabotaj PR apabila PR berada didalam kedudukan selesa untuk memberi advantage kepada UMNO. Sekarang, selepas krisis MB Selangor, isu hudud dimainkan dengan lebih kerap dan keras oleh puak UG menggunakan nama PAS dengan tujuan supaya PAS ditendang keluar dari PR.

Tindakan puak UG yang kantoi big time didalam krisis MB Selangor dulu mengubah urgency puak UG sekarang. Pertama, agenda sebenar sudah dibongkar dan pemimpin-pemimpin utama mereka yang beberapa orang sudah diketahui umum. Kedudukan mereka didalam PAS sudah tidak selamat lagi jika PAS terus bersama PR bagi menghadapi PRU 14 nanti.

Blunders yang mereka buat untuk memporakperandakan PAS dan PR terbongkar dan diketahui umum. Jadi tektik merekaxsekarang ialah agar PAS ditendang keluar dari PR. Mereka tidak mampu membawa😨 PAS keluar dari PR menggunakan mekanisma dalaman parti kerana majoriti ahli PAS masih menyokong dasar PAS untuk kekal bersana PR.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...