JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Sunday, February 08, 2015

Kukuhi gabungan PR, penuhi tanggungjawab – Ahmad Awang

Demo dihadapan pejabat Agong PAS mendesak Dr Hatta Ramli dan beberapa lagi 
JKPP meletakan semua jawatan dalam parti

 Saya mengikuti dengan penuh kehairanan dan kebimbangan, perkembangan mutakhir hubungan antara anggota parti-parti Pakatan Rakyat. Ianya kelihatan seolah-olah perbalahan di antara ketiga-tiga parti lebih diutamakan pemimpin-pemimpin tertentu berbanding dengan berbalah dengan Umno/BN! Sedangkan Umno/BN adalah merupakan musuh bersama (common enemy) yang mana untuk menhadapi mereka, Pakatan Rakyat dibentuk.

 Saya tidak tahu samada perbalahan bersama ini ditimbulkan atas sebab adanya agenda tertentu mereka yang berbalah, atau atas sebab mereka menganggap, perbalahan adalah cara terbaik untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Sekiranya mereka berbalah dengan penuh kesedaran perbalahan ini akan merosakkan PR, maka saya anggap mereka gagal memenuhi tugasan mereka sebagai pemimpin yang bijak dan berhemah.

Hj Hadi selamba sahaja berjalan masuk di celah-celah para pendemo? 
Apakah Hj hadi merestui kelaku biadab sebegini?

 Sebagai pemimpin tanggung-jawab dan kewajipan utama kita, dalam suasana politik semasa, adalah untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana usaha membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman Umno/BN akan hanya mampu dilaksanakan melalui Pakatan Rakyat buat masa ini kerana PR adalah entiti gabungan politik yang mampu mencabar Umno/BN.

 Kekuatan PR tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak dan ianya diakui Umno/BN sendiri. Dan membawa perubahan pemerintahan adalah bukan sekadar harapan dan kehendak tetapi ianya merupakan keperluan rakyat yang amat mendesak.

 Saya menyeru kepada semua pimpinan PR untuk menumpu kepada usaha mengukuhkan PR dan melalui itu menjadi pembela nasib rakyat. Rakyat sentiasa dilaga-lagakan Umno/BN melalui fahaman perkauman mereka sehingga rakyat sentiasa dihantui ancaman perbalahan kaum dan ketidak amanan.

 Pada tahun 1999 apabila majoriti orang Melayu inginkan perubahan, Umno/BN tanamkan ketakutan di kalangan bukan Melayu dan kekal berkuasa melalui sokongan majoriti bukan Melayu. Pada 2008 dan 2013, apabila yang bukan Melayu pula inginkan perubahan, Umno/BN pula menakut-nautkan orang Melayu sehingga melalui perasaan ketakutan ini, Umno/BN sekali lagi mengekalkan kekuasaan. Ini merupakan bukti soal kaum hanya merupakan alat dalam percaturan politik Umno/BN.

 Kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan membebaskan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang beragama Islam, dari minda assobiyyah kaumiyyah yang ditolak Rasulullah (SAW). Inilah sebabnya PAS selama ini nak jatuhkan Umno/BN. Ia itu supaya politik orang Islam tidak lagi berasaskan politik Melayu yang memperalatkan Islam tetapi sebaliknya berasaskan politik Islam yang membela nasib Melayu dan seluruh kaum di Negara kita!

 Amat peliklah sekiranya ada yang menganggap PR tidak menguntungkan PAS dan perjuangan politik Islam. Sebaliknya saya beranggapan demi menyemarakkan kefahaman politik Islam di kalangan ummat Islam, maka PAS akan merupakan pihak yang paling beruntung dengan kekalahan Umno/BN.

 Pada masa yang sama, kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan juga bermakna segala kerosakan yang menimpa Negara, dari sudut politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan segala-gala sektor yang lain akan akhirnya dapat dibenteras dan diatasi. Ianya tidak dapat diatasi selagi mana Umno/BN memerintah kerana mereka melaksanakan dasar-dasar yan membawa kerosakan ini.

Berdekah-dekah ketawa, boleh pulak kan?
 Maka saya menyeru kepada pimpinan PR, dan pimpinan PAS khususnya, untuk utamakan penyelesaian masalah rakyat dengan menggandakan usaha mengukuhkan PR. Rakyat bakal ditimpa kos kehidupan yang semakin mencengkam dengan perlaksanaan GST. Mereka akan terus kehilangan berbillion-billion ringgit melalui dasar-dasar kronisme dan rasuah amalan Umno/BN sehingga ekonomi yang sepatutnya memecut pantas membangun ditimpa bebanan yang menyebabkan ianya hanya mampu berjalan terhingguk-hingguk.

 Rakyat akan ditimpa sistem perundangan yang semakin mencekik kebebasan dan hak melalui penggunaan sewenang-wenangnya akta hasutan dan akta anti-keganasan. Sambil campur tangan eksekutif dalam urusan judiciary atau kehakiman menjadi semakin ketara hingga Malaysia dijadikan bahan lawak dunia!

Masing-masing boleh kongsi ketawa.....
 Rakyat tidak mahu melihat harapan mereka untuk perubahan ini berkecai dan mereka tidak akan memaafkan kita yang diamanahkan sebagai pemimpin sekiranya tindak tanduk kita merupakan sebab utama PR berpecah atau hilang keyakinan rakyat. Mereka semakin bosan dengan perbalahan dan percanggahan antara pimpinan parti-parti PR yang seolah-olah tidak lagi mengutamakan penyelesaian masalah rakyat.

 Sebaliknya hanya sanggup mengutamakan perbalahan dan percanggahan demi politik jangka masa pendek. Ini yang paling menyeronokkan Umno/BN dan tidak hairanlah bagaimana Umno/BN masuk campur dan berperanan untuk melaga-lagakan kita satu sama lain.

 PAS sepatutnya menjadi parti yang memahami awlawiyyat atau keutamaan politik dan menzahirkannya kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat. PAS sepatutnya menjadi rakan yang pertama mengenepikan perbalahan dan sengketa sampingan demi mengutamakan persoalan yang perlu diutamakan.

 Zahirkan kebijaksanaan politik Islam supaya terus membina kekuatan pengaruh dalam PR dan di kalangan rakyat sepertimana dilakukan selama ini sejak tahun 1990an! Melalui kebijaksanaan mengenali awlawiyyat atau keutamaan ini, PAS berjaya untuk berada di arus perdana politik Malaysia dan tidak lagi berperanan hanya di kawasan Pantai Timur semata-mata.

 Pada masa yang sama, saya ingin menyeru pimpinan PAS untuk membina kembali kesatuan dan semangat ukhuwwah dan persaudaraan di dalam PAS itu sendiri. Tidakkah pimpinan menyedari bagaimana perbalahan dalaman PAS semakin meruncing sehingga menghasilkan suasana berpuak-puak dan saling benci membenci sesama ahli?Perbalahan dalaman PAS ini akan melemahkan PAS dan apabila PAS lemah maka PR akan turut terjejas. Apabila PR terjejas maka rakyat akan merasai PAS adalah punca mereka gagal diselamatkan daripada penindasan dan penganiayaan Umno/BN. Pada masa yang sama kelebihan Islam yang mengutamakan ukhuwwah sesama Islam tidak mampu dizahirkan PAS.

 PAS seolah-olah menjadi parti yang memperjuang ‘Islam dan syariatnya’ tetapi tanpa adanya akhlak yang mulia di kalangan ahli-ahlinya. Amalan ‘adabul ikhtilaf’ serta ‘berlemah-lembut dan kasih sayang’ antara orang-orang yang beriman akan hanya menjadi ungkapan kosong yang tidak mampu dihayati. ‘Islam tanpa akhlak’ sebegini tidak akan mampu memikat hati manusia dan sebaliknya akan menjadi sebagai penghalang kepada manusia lain mengenali kebenaran Islam.
hanya kirim salam kepada semua.....
 Saya harap pimpinan akan bertindak segera membetulkan suasana ini dan mengembalikan akhlak jemaah Islam sepertimana yang pernah wujud dulu. Keadaan ini adalah hasil dari kemasukkan budaya asing yang meresapi masuk selepas 2008. Pengaruh perosak ini perlu dibendung pimpinan PAS supaya PAS boleh terus maju mengikut perancangan yang sepertimana ditetapkan pimpinan terdahulu, khususnya Almarhum TG Yusuf Rawa dan Almarhum Datuk Ustaz Fadhil Mohd Noor.

 Matlamat dan wawasan mereka untuk menjadikan PAS sebuah jemaah Islam yang kukuh, bersatu padu dan berperanan di tengah-tengah masyarakat membela seluruh rakyat perlu sentiasa diusahakan. Hanya dengan itu akan pengaruh PAS bertambah kukuh dan PAS menjadi parti yang dihormati dan disegani. Kehormatan dan kedudukan mulia di mata masyarakat perlu diusahakan, diperjuangkan bukan dituntut.

 Saya dengan ini menyeru pimpinan PAS untuk memenuhi kewajipan mereka terhadap PAS dan masyarakat jelata dengan penuh keikhlasan dan bertanggung-jawab. Saya juga menyeru semua pimpinan Pakatan Rakyat, terutamanya pimpinan PAS, untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk membina kembali kesatuan dan kekuatan PR demi membela keadilan dan kepentingan rakyat. – 8 Februari, 2015.

 * Penulis adalah mantan Naib Presiden PAS, mantan Presiden Persatuan Ulama Malaysia.9 - sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...