GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, February 10, 2015

Usul : Jawatan Presiden tidak dipertandingkan

Dalam Perlembagaan PAS, jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan lain-lain jawatan (kecuali Ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya PAS negeri-negeri) adalah terbuka untuk dipertandingkan. Maknanya, pada setiap kali proses pemilihan dijalankan, Perlembagaan PAS membenarkan penyandang-penyandang jawatan untuk samada dikekalkan atau ditukar.

 Pemilihan PAS untuk sessi 2015-2017 dijangka berlangsung pada bulan Jun ini. Sebagaimana biasa apabila hampir dengan musim pemilihan, akan timbul pelbagai suara, kempen, propaganda, lobi melobi dan promosi untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana calon bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan. Inilah amalan demokrasi yang sihat selama mana ianya selaras dengan batas syarak dan undang-undang negara.

 Tapi yang peliknya, apabila menyentuh jawatan Presiden, reaksi yang diberikan cukup pelik, aneh, lucu dan kelihatan sangat anti demokrasi. Sebarang idea untuk mempertandingkan jawatan Presiden akan segera ditanggapi sebagai komplot menjatuhkan, menggulingkan atau menderhaka kepada Presiden. Sepanjang ingatan saya, di dalam parti UMNO yang sentiasa dihina dan ditertawakan oleh PAS dari segi amalan demokrasinya, tidak pernah pun berlaku hingga ke tahap ini.

 Tambah memelikkan, walaupun sudah ada kempen terang-terangan untuk menukar Timbalan Presiden dan Naib Presiden, tiada pula yang meracau bahawa sekarang wujud komplot atau konspirasi untuk menggulingkan Timbalan Presiden!

 Saya fikir jika begini keadaaannya, maka untuk menyelesaikan pertikaian yang semakin tidak ketahuan ini, eloklah ada perwakilan yang membawa usul di dalam muktamar akan datang untuk meminda Perlembagaan PAS supaya jawatan Presiden diharamkan dari dipertandingkan dan hanya kelompok tertentu sahaja yang layak menjadi Presiden PAS.

 Jika selepas Perlembagaan dipinda dan masih ada yang cuba mencabar kedudukan Presiden, maka layaklah untuk kita 'penggal' sahaja mereka yang berbuat demikian. Saya sekadar mencadangkan sahaja.

 Apa pandangan kawan-kawan semua? - Abdullah Abdul Karim

*Beliau merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat dan bekas Naib Ketua Pemuda Pahang
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...