GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Monday, March 02, 2015

Apa dikecoh gesa presiden PAS undur?

Pemuda PAS Kota Bharu ingin melahirkan rasa dukacita ke atas kemelut yang berlaku di dalam PAS menjelang pemilihan kepimpinan parti Jun ini.

 Cara kita menangani kritikan memperlihatkan seolah-olah PAS adalah sebuah parti yang tertutup, mana-mana ahli yang menegur pimpinan dianggap telah melakukan kesalahan.

 Jika ada ahli yang menyarankan mana-mana pimpinan parti mengundurkan diri maka ahli ini dikatakan telah melakukan dosa besar, tidak wala' kepada pimpinan.

 Dalam soal ini, Pemuda PAS Kota Bharu ingin mengimbau kembali tindakan yang telah dibuat oleh almarhum Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz (kiri), ketika PAS berkemelut pada tahun 1982 dahulu.

 Dalam laporan bertajuk "Nik Aziz akui krisis dengan Asri: Masalah dalam pilihan raya umum lalu", Tuan Guru Nik Aziz mempertikaikan tindakan Datuk Asri melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon PAS Kelantan dan cara pemilihan calon PAS dalam pilihan raya umum 1982.

 Tuan Guru Nik Aziz secara terbuka mengkritik presiden PAS pada waktu itu, Datuk Asri, dalam akhbar Berita Harian pada 6 Julai 1982.

 Kata Tuan Guru Nik Aziz, sepatutnya beliau yang menjadi pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik mengetuai jawatankuasa tersebut, bukan Datuk Asri.

 Beliau malah menyebut dalam laporan tersebut betapa beliau telah diperalatkan oleh Datuk Asri. Apa tindakan Datuk Asri terhadap Tuan Guru Datuk Nik Aziz pada waktu itu?

 Tiada apa tindakan pun. Begitulah terbukanya PAS pada waktu itu.

 Tiada tindakan pada Nik Aziz

 Begitulah juga dalam soal menggesa pimpinan parti mengundurkan diri di mana Tuan Guru Nik Aziz secara terbuka telah menggesa Datuk Asri mengundurkan diri sebagai presiden PAS dalam majalah Mingguan Bumi pada 23 Oktober 1982.

 Kata beliau, dalam laporan bertajuk "Asri, Sikap Nik Aziz" ini, Tuan Guru Nik Aziz menyebut "sudah sampailah saat dan ketikanya Datuk Asri mengundurkan diri dari pucuk pimpinan PAS secara terhormat”.

 Datuk Asri seharusnya menyerahkan kepimpinan PAS kepada anak buahnya di waktu beliau masih sihat dan fikirannya masih diperlukan.

 Beliau juga mengkiaskan kedudukan Datuk Asri pada waktu itu dengan jawapan Rasulullah SAW kepada pertanyaan seorang sahabat tentang saat dan ketika yang paling baik untuk bersedekah.

 Jawapan Rasulullah ialah, sebaik-baik ketika untuk bersedekah atau memberi kekayaan kepada orang lain ialah pada waktu kita masih sihat dan sangat-sangat memerlukan kekayaan.

 Kata Tuan Guru Nik Aziz lagi, kalau kita sudah sakit terlantar, kita tidak perlu bersedekah lagi, sebab kalau kita tidak beri pun orang akan merampas kerana kita sudah tidak terdaya lagi.

 Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz ini dibuat menjelang Muktamar Tahunan PAS 1982, waktu tempoh mandat Datuk Asri sebagai presiden PAS belum berakhir lagi kerana mandat hanya akan tamat pada tahun 1983.

 Apa tindakan Datuk Asri terhadap Tuan Guru Datuk Nik Aziz pada waktu itu? Sekali lagi, tiada apa tindakan pun.

 Baiah 30 tahun lalu

 Jadi, di dalam konteks ini, apalah yang perlu dikecohkan dengan gesaan supaya Presiden PAS mengundurkan diri yang dibuat oleh sesetengah ahli PAS sekarang?

 Apa lagi bila mandat kepimpinan presiden PAS sekarang akan berakhir tahun ini, kerana sedangkan seruan serupa waktu mandat masih ada pada tahun 1982 dahulu pun tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada penyuaranya.

 Pemuda PAS Kota Bharu berpandangan bahawa PAS perlulah kembali kepada semangat asal konsep kepimpinan ulama waktu ia diperkenalkan dahulu yang menekankan betapa muktamar adalah syura tertinggi parti.

 Jika perwakilan mahukan apa sahaja jawatan parti ditandingi maka biarlah pertandingan ini berlaku secara sihat dan terbuka kerana kita percaya bila demokrasi di dalam parti itu sihat maka parti kita juga akan lebih kuat.

 Pemuda PAS Kota Bharu juga berpendirian bahawa usaha mana-mana pihak untuk menandingi mana-mana jawatan parti yang halal di sisi perlembagaan parti perlulah dihormati dan tidak segera dilabelkan sebagai usaha untuk menggulingkan mana-mana pemimpin yang dikira sebagai kesalahan.

 Berhubung dengan konsep wala' pula, Pemuda PAS Kota Bharu menyeru semua ahli PAS kembali merenung baiah yang dilafazkan di dalam Muktamar Tahunan PAS 1982 dulu.

 Bai'ah ini adalah berbunyi: "bahawa kami para perwakilan muktamar tahunan PAS yang bersidang pada hari ini berikrar berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan baru pas dan bersedia mematuhi segala keputusan dan arahannya selama ia tidak bercanggah dengan hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya.”

 Pemuda PAS selaku ketua kepada pembacaan baiah di dalam Muktamar Tahunan PAS 1982 seharusnya mengambil daya utama untuk mengembalikan keharmonian di dalam PAS demi memastikan hala tuju PAS tidak terpesong dari landasan sebenarnya.

 DR ROSLI ALLANI ABDUL KADIR 
ketua Pemuda PAS Kota Bharu.sumber
Comments
2 Comments

2 comments :

Manshor Yahya said...

Berjuang dengan ikhlas ambil sikitlah khalid al walid punya amalan walaupun dipecat. Yang ni cadang atau kritik saja. Lapang dada fikir dan rasa iman yang benar

sizzly7761 said...

Pandangan ini semestinya keluar dari kepala pemimpin yang tidak terikat ketat dengan serban panjang..sehingga dapat oksigen dan boleh berfikir dengan bernas dan rasional..syabas pemuda PAS Kota Bharu...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...