GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Friday, March 27, 2015

Di sebalik Hudud

 Kita tidak tahu sama ada bil persendirian benar-benar dapat dibentangkan nanti oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Apabila beliau berkata dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan, timbul pertanyaan “bukankah molek sekiranya kenyataan itu dituturkan sebelum ia dibentang?”

 Apa yang pasti ialah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ia dikatakan hanya meminda sebahagian aspek dalam enakmen yang dibentang pada tahun 1993, lebih 20 tahun lalu.

 Di sini, masyarakat umum perlu sedar, sejak lebih 20 tahun lalu, enakmen ini tidak boleh dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan, undang-undang utama Persekutuan di mana sebarang undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

 Labukan sekadar persoalan bidang kuasa kerajaan persekutuan dan negeri yang boleh diubah melalui sokongan majoriti dua pertiga, di mana ia bukan sahaja mengenai pemberian kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang sivil dan jenayah yang kini di bawah kuasa persekutuan, tetapi termasuk peruntukan perlembagaan kepada semua institusi yang akan melaksanakannya, mahkamah syariah dan polis misalnya.

 Selain itu, ia mesti memenuhi prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.

 Kita mesti menghormati aspirasi PAS, tambahan pula iadi sokong oleh rakyat Kelantan yang memberikan mandat untuk mereka mentadbir di negeri itu. Namun kita tidak boleh melarang orang ramai membincangkannya kerana ia menyentuh Perlembagaan Persekutuan di mana kesannya meluas.

 Pemerintahan berasaskan hukum

 Pelajaran penting yang mesti kita ambil di sini ialah prinsip pemerintahan berasaskan hukum (rule of law). Ini, meskipun dalam banyak keadaan cuba ditunjukkan mempunyai persamaan, sebenarnya tidak sama dengan pemerintahan dengan undang-undang (rule by law).

Pemerintahan berasaskan hokum ini mengandungi konsep moral yang jelas. Perlembagaan adalah dokumen undang-undang tertinggi dalam pentadbiran negara. Tidak ada mana-mana pihak sepatutnya mengatasi perlembagaan. Justeru, setiap tindakan pihak kerajaan mestilah berasaskan undang-undang.

 Perlembagaan memperakui setiap manusia mempunyai maruah dan kebebasan diri yang mesti dipelihara. Ianya wujud bersama kelahiran manusia, sebelum adanya undang-undang. Undang-undang sepatutnya dibentuk untuk memastikan kebebasan satu pihak tidak menjejaskan maruah dan kebebasan satu pihak yang lain.

 Ciri-ciri asas pemerintahan berasaskan hukum dalam perlembagaan ini tidak boleh dipinda daripada perlembagaan meskipun ia disokong oleh majoriti, atau disokong oleh semua. Jika ia berlaku, maka ia tidak mencerminkan pemerintahan berasaskan hukum lagi. Sebaliknya, ia menjadi sebuah pemerintahan dengan undang-undang.

 Pemerintahan dengan hukum.

 Dalam pemerintahan dengan undang-undang, pihak berkuasa menekankan apa saja undang-undang yang dibentuk oleh mereka adalah sah dan perlu dipatuhi. Mereka tidak mempedulikan konsep moral persamaan di sisi undang-undang, maruah dan kebebasan diri manusia.

 Sebagai contoh, kekejaman Hitler dan amalan apartheid di Afrika Selatan dulu dibuat dengan justifikasi undang-undang yang dibentuk, meskipun ia zalim dan tidak adil.

 Di sini, kita mesti sedar undang-undang yang sepatutnya menjadi garis pelaksanaan keadilan, boleh digunakan untuk tujuan sebaliknya.

 Ini antara aspek kebimbangan besar sesetengah pihak mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah. Kebimbangan ini tidak boleh diremehkan semudahnya memandangkan ada contoh-contoh kegagalan pelaksanaan hudud di Sudan, Pakistan dan Nigeria (yang dikatakan contoh kejayaan pelaksanaan hudud).

 Jika diteliti kes-kes disabitkan hudud di negara-negara ini, kita boleh mendapati ada banyak kepincangan yang dijustifikasi “atas nama syariah” sebenarnya hanya memalitkan imej negatif kepada agama Islam itu sendiri.

 Majlis Ideologi Islam di Pakistan menyatakan kejadian jenayah meningkat di negara itu sejak Ordinan Hudud diperkenalkan sejak tahun 1979.

 Hakim Ibrahim Bukar, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi di Abuja, Nigeria mengatakan hukuman hudud di negara itu gagal kerana “diperkenalkan secara tergesa-gesa dan lebih kepada pencapaian politik mengatasi kepentingan dan keperluannya tanpa rundingan”.

  Kenyataan ini harus mengingatkan kita di sebalik pengenalan undang-undang apa pun, faktor politik tidak boleh disampingkan.

 Ini juga pernah ditegaskan Dr Anas al-Tikriti yang memimpin Yayasan Cordoba di London.

 Jangan tinggal semua

 Kerana kegagalan-kegagalan ini, saya meyakini sebahagian sarjana dan ahli politik muslim yang mengambil pendirian berhati-hati dan sedia menangguhkan pelaksanaan hudud adalah ikhlas, sama seperti mereka yang mahu ia dilaksanakan. 

 Syeikh Yusuf al-Qaradaw pernah berkata hakikatnya sebelum Rasulullah melaksanakan hukum hudud, Rasulullah terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam “...tidak dilaksanakan hudud melainkan apabila kita melaksanakan-seperti yang saya katakan ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tatasusila dan nilai-nilai (murni)… dalam keadaan ini, kita laksanakan (hukum) hudud.”

 Mesej Islam itu lebih besar dan luas. Namun, perbincangan mendalam mesti dibuat mengenai perlindungan terhadap agama, jiwa, akal, keturunan dan harta (objektif tertingg isyariah atau maqasid syariah).

 Sesungguhnya di sebalik hudud itu ada nilai-nilai penting mengenai objektif ini.

 Tanpa pelaksanaan hududs ekalipun (samada ditangguh atau ditolak), semua pihak wajib menyedari setiap diri manusia itu tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

 Nyawa manusia itu mesti dipelihara, meski pun mereka adalah banduan. Dua daripada aspek hudud adalah berkaitan perlindungan harta, tidak boleh mencuri dan tidak boleh merompak. Perkahwinan adalah ikatan sah, tidak boleh berzina sebelum dan selepas berkahwin di mana hukumnya berbeza.

 Sarjana muslim berbeza pandangan mengenai hukum bunuh untuk kes tukar agama (murtad). Memerangi negara (bughah) juga sering dimanipulasi sebagai penentangan terhadap badan eksekutif dalam system demokrasi.

 Kecamuknya wacana kita dewasa ini mungkin kerana tidak memahami bahawa perlembagaan dan undang-undang bukan bertujuan atau tidak sepatutnya digunakan untuk menentukan agama yang benar. Jika ia bermaksud demikian, maka sudah tentulah agama-agama selain Islam tidak boleh wujud di zaman Rasulullah.

 Perlembagaan dan undang-undang mempunyai kedudukan sendiri dalam tatanan masyarakat untuk hidup bersama.

 Untuk hidup bersama, kita mesti sedia mendengar, bertukar fikiran, menjamin kebebasan dan keadilan kepada semua. Ada masanya kita benar, ada masanya kita salah. Ada masanya yang baik dan buruk itu dinilai berasaskan keadaan.

 Sekiranya tidak dapat melakukan kesemuanya, kita tidak mesti meninggalkan kesemuanya. – 27 Mac, 2015.9 

 * Amin Ahmad ialah pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives. Beliau juga adalah pengarah pengasas, Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) dan Founding Associate di Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas). - SUMBER
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...