JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Tuesday, March 03, 2015

Hentikan Kelaku suruh ahli keluar parti

KENYATAAN MEDIA

 Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia berbeza pandangan dengan Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, dan Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria, di dalam isu seruan kepada ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti supaya keluar parti untuk menyelesaikan konflik dalaman parti.

 Seruan meminta ahli-ahli PAS keluar parti adalah suatu tindakan yang kurang cermat, apatah lagi jika ia dibuat oleh pemimpin tinggi parti. Seruan ini tidak selari dengan prinsip demokrasi di dalam parti di samping bercanggah dengan perlembagaan parti dan sangat bertentangan dengan usaha para pemimpin terdahulu yang bekerja dengan penuh jerih mengajak rakyat Malaysia menyertai PAS.

 Selaku sebuah parti yang memperjuangkan hak asasi rakyat, di dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syariat, kita di dalam PAS sepatutnya menghormati hak asasi ahli PAS untuk kekal menjadi ahli PAS, apa lagi hak untuk memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti, di samping hak untuk memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.

 Fasal 15(1) Perlembagaan PAS menyebut “keberhentian ahli ialah disebabkan (a) permintaan sendiri (b) dipecat (c) mengisytihar diri keluar PAS atau menyertai parti politik lain.” Peruntukan di bawah Fasal 15(1)(a) dan (c) jelas menyentuh hak asasi ahli yang tidak boleh diusik oleh sesiapa, waima oleh pemimpin tertinggi parti sekalipun, kerana ia membabitkan kerelaan ahli. 

Sebaliknya, jika mana-mana pihak merasakan bahawa kewujudan ahli-ahli tertentu parti menimbulkan kemudaratan, apa yang boleh mereka lakukan ialah bukan membuat seruan terbuka tetapi mengemukakan cadangan bertulis kepada Setiausaha Agung bagi dipertimbangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS supaya ahli-ahli tersebut dipecat dari parti.

 Asal saja bukti ada; selaras Fasal 15(3)(a) Perlembagaan PAS yang menyebut “pemecatan seseorang ahli itu bolehlah dilakukan apabila terbukti ianya telah melanggar Perlembagaan PAS, Aturan dan Peraturan serta arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti, atau telah melakukan sebarang perbuatan yang berlawanan dengan kepentingan parti atau menyalahi tatatertib parti”.

 Sedarkah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman apakah yang akan berlaku jika seruan mereka supaya ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti keluar parti disahut oleh ahli-ahli tersebut? 

 Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman berapakah bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif pada masa ini?9 Jika Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman melihat semula Laporan Tahunan PAS Sesi 2013/2014 yang dibentangkan di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60 di Batu Pahat, pada September lalu, mereka patut tahu bahawa bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif hanyalah sebanyak 763,849 dan 6,894 sahaja.

 Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman betapa susahnya para pemimpin terdahulu bekerja untuk mengumpul ahli hingga menjadi seramai ini? Di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 di Taman Melewar pada Jun 1991, Almarhum Datuk Fadzil Noor telah mensasarkan untuk mendapatkan 180,000 ahli baru bagi mencukupkan ahli PAS menjadi 500,000 pada tahun 1995.

 Tetapi berapa orang sahajakah ahli yang mampu ditambah oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Dr Daeng Sanusi Mariok di dalam tempoh empat tahun ini? Hanya 48.5% dari jumlah yang disasarkan sahaja, iaitu 87,328 orang, dengan 21,123 orang pada sesi 1991/1992, 17,550 orang pada sesi 1992/1993, 21,547 orang pada sesi 1993/1994 dan 27,108 orang pada sesi 1994/1995.

 Bayangkanlah betapa gembiranya Almarhum Datuk Fadzil di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada Mei 1999 apabila mengumumkan di dalam ucapan dasar beliau bahawa, hasil dari gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan sebelum itu, 

“Alhamdulillah rancangan kita telah pun berjaya. Hari ini bilangan ahli PAS telah melebihi setengah juta.” Jelas Almarhum Datuk Fadzil, 

 “Saya cukup terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini”.

 Dengan bangganya Almarhum Datuk Fadzil menyebut, 

“Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan bahawa PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama dari golongan profesional. Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga profesional? Sekarang kita mempunyai ribuan ahli di kalangan profesional. Apakah kita masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?”

 Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia menyeru semua pemimpin PAS supaya berlapang dada memikirkan di manakah silapnya apabila ahli-ahli yang sebelum ini pernah menjadi lambang kebanggaan kita kini cuba dihambat keluar dari parti pula. Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari parti perlulah dihentikan serta-merta kerana gesaan ini sangat memalukan. 

 Ia seolah-olah membuat pengakuan terbuka bahawa Lajnah Dakwah dan Lajnah Tarbiyyah kita gagal dalam melaksanakan tugas mendakwah dan mentarbiyyah ahli-ahli parti.

 Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan semua pemimpin PAS bahawa sebagai sebuah parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan kuantiti pada ahli-ahli kita. Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari parti adalah berlawanan dengan matlamat kita berpolitik, iaitu untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai redha Ilahi. Meruntuhkan apa yang telah dibina dengan bersusah-payah oleh para pemimpin terdahulu bukanlah kerja yang susah, tetapi membinanya semula sudah tentu akan memakan masa.

 Dengan penuh hormat, saya berharap agar gesaan sedemikian tidak berulang lagi.

 MOHD HASBIE MUDA
 Pengarah Pendidikan Politik Pemuda PAS Malaysia ~  SUMBER

Comments
3 Comments

3 comments :

Anonymous said...

Nampaknya orang ini ada otak dan akal yang boleh berfikir dan memahami situasi. Calon dia ni jelah jadi Presiden PAS... senang tak payah fikir yang veteran-veteran yang ada pengalaman tapi tak ada akal yang boleh dipakai.

Anonymous said...

mungkinkah ini satu konspirasi oleh agen2 umno yg ditanam dlm pas utk memecah belahkan pas?

Anonymous said...

UMNO tak perlu agennya dalam PAS.
Puak UG dah pon ada...khalas

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...