GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Sunday, March 22, 2015

Hudud : Reaksi pemimpin PAS berbeza-beza...

Reaksi pemimpin PAS berbeza-beza ekoran kemungkinan Pakatan Rakyat (PR) berpecah selepas Enakmen Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis, sebahagiannya sedih manakala satu kumpulan lagi gembira.

 Mereka yang gembira kerana undang-undang itu berjaya diluluskan manakala mereka yang bersedih kerana berhadapan dengan masa depan suram PR ekoran bantahan sekutu mereka, iaitu DAP dan PKR.

 Hotel penginapan para pemimpin PAS yang menyertai Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu berwajah suram semalam walaupun mereka menjadi tuan rumah perhimpunan antarabangsa itu.

 Masing-masing tertanya-tanya apakah masih ada masa depan untuk PAS dalam PR ekoran bantahan keras rakan mereka DAP dan PKR terhadap pembentangan enakmen tersebut di DUN Kelantan itu.

 "Masihkah ada peluang lagi buat kita?" soal Datuk Dr Mujahid Yusof ketika ditemui The Malaysian Insider dalam majlis makan malam meraikan perwakilan pertubuhan Islam dari 41 buah negara ke IAPU ke-3 itu.

 Beliau jelas kecewa dengan apa yang bakal dihadapi PAS dan PR ekoran keadaan sekarang.

 Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad pula bergegas pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu untuk cuba berbuat sesuatu menjelang mesyuarat PKR malam tadi dan mesyuarat DAP Isnin ini. 

 "Saya akan cuba berbuat sesuatu agar PR dipertahankan, kerana ia memang harapan rakyat," katanya ketika ditemui di hotel penginapan pemimpin PAS.

 Turut bersama beliau ialah Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad.

 Kesemua mereka pulang ke Kuala Lumpur walaupun IAPU itu baru sahaja dirasmikan dan banyak lagi acara bakal berlangsung selepas itu.

 Mahfuz, ahli Parlimen Pokok Sena, antara yang sedih dengan apa yang berlaku.

 Jika benar notis dihantar presiden PAS yang juga ahli parlimen Marang bagi membolehkan rang undang-undang persendirian dibentangkan dan Akta 355 Mahkamah Syariah dipinda membuka jalan kepada enakmen jenayah Syariah Kelantan itu dilaksanakan, beliau antara orang paling sedih.

 Ini kerana, selaku ketua whip anggota Parlimen PAS, beliau tidak tahu menahu mengenai notis itu.

 "Saya tidak tahu apa-apa dan tidak diberitahu apa-apa," kata Mahfuz ketika ditemui di hotel berkenaan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

 Bukan Mahfuz sahaja tidak tahu mengenainya, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga tidak mengetahui adanya notis itu.

 "Ia tidak ada dalam pengetahuan saya dan saya tidak tahu mengenainya," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

 Kekhuatiran perpecahan PR yang dirasai pemimpin PAS tersebut bagaimanapun tidak dirasai Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

 "Kalau DAP rasa nak keluar, keluarlah," kata beliau sebagaimana dilaporkan media semalam ketika mengulas reaksi DAP terhadap pembentangan enakmen itu.

 Namun begitu, Hadi mengatakan sehingga kini PAS masih lagi bersama PR dan tentangan DAP dan PKR berhubung rang undang-undang itu perkara biasa dalam amalan demokrasi.

 Presiden PAS itu berkata, tindakan mereka memperkenalkan hudud seharusnya dihormati semua pihak kerana ia dilakukan secara demokratik dan bukannya paksaan.

 "Kerjasama dalam PR tidak melibatkan dasar parti. Kami tidak menyentuh agama dan hak mereka, jadi mereka juga tidak sepatutnya menyentuh agama kita," katanya menurut laporan Bernama. – 21 Mac, 2015.
Comments
2 Comments

2 comments :

Anonymous said...

Riaknya nik amar ni
Dia rasa dia ada peluang ke nk jd MB
Ke jd ketua pembangkang dun kelantan
Hancurnya bila dh jd penjilat UG ni

Anonymous said...

Kpd sesiapa yg mendakwa PKR naik kerana kerjasama PAS, jangan buat-buat lupa pula PAS juga naik kerana kerjasama PKR dan DAP. Isu hudud ini akan menenggelamkan parti yg tidak relevan dlm politik tanah air. Ini bukanlah bermakna kami menolak hudud, tetapi kerjasama PAS dgn parti musuh PKR dan DAP. PAS kelihatan nyata tidak berprinsip bila diajak bermuafakat, boleh pula bersekongkol dgn parti musuh sedangkan parti rakan dipinggirkan. Adakah islam mengajar begitu?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...