JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Tuesday, March 24, 2015

Mat Sabu rayu ‘toleransi maksimum’ selamatkan Pakatan

  Menjelang mesyuarat DAP hari ini yang akan menentukan kelangsungan gabungan pembangkang Malaysia selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan hudud, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merayu sekutu Pakatan Rakyat (PR) agar toleransi maksimum diamalkan bagi menyelamatkan gabungan itu.

 Undang-undang syariah Islam itu popular di kalangan majoriti penganut Islam di Malaysia, tetapi badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik bukan Islam mengatakan ia bercanggah dengan Perlembagaan dan merubah ciri Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

 Sekutu PAS dalam PR juga tidak begitu senang dengan tindakan tergesa-gesa parti Islam itu melaksanakan hudud, dengan PKR pada hujung minggu lalu jelas mengatakan tidak akan memberi sokongan di Parlimen.

 Mohamad berkata, mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP malam ini akan menentukan kelangsungan gabungan yang ditubuhkan pada 2008 itu, dan berharap parti itu tidak membuat keputusan yang bakal mengecewakan rakyat.

 Menurut Mohamad, yang dikenali sebagai Mat Sabu, PR memberikan harapan kepada rakyat untuk melihat perubahan berlaku di Malaysia.

 "Hari ini, rasuah berleluasa, nilai ringgit semakin lemah, wang dibawa keluar dari negara secara haram, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menekan rakyat bakal dilaksana dan penggunaan Akta Hasutan secara berleluasa untuk menekan pemimpin pembangkang dan NGO.

 “Tiada jalan lain untuk selamatkan negara melainkankan BN dijatuhkan," kata Mohamad dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider di Subang, Selangor.

 "Saya merayu kepada pimpinan PKR, DAP dan rakan-rakan saya dalam PAS untuk toleransi tahap tertinggi bagi menyelamatkan PR."

 Mohamad (gambar, kanan) memberi amaran kepada pemimpin PR, rakyat berharap gabungan itu mampu menjadi pengganti kepada BN selepas pilihan raya umum akan datang, tetapi pergeseran mereka menyebabkan kepercayaan rakyat semakin terhakis.

 "Harapan rakyat begitu tinggi kepada PR kerana kekecewaan rakyat kepada BN begitu tinggi sekarang.

 "Kekecewaan termasuk di kalangan ahli politik BN sendiri, Umno, Gerakan dan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

 “Semua ini termasuk ahli-ahli perniagaan memang amat kecewa dengan cara negara diuruskan BN," kata Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen tiga penggal itu.

 PR ditubuhkan pada 2008 oleh PKR, PAS dan DAP selepas BN buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan tewas di beberapa negeri dalam pilihan raya umum.

 Mohamad berkata, jika PR berpecah, Umno adalah parti pertama akan mengadakan kenduri kesyukuran dan pesta meraikannya.

 "Oleh itu, saya, atas nama peribadi dan timbalan presiden PAS, sekali lagi merayu kepada semua pimpinan PKR, DAP dan PAS, carilah 'maximum tolerance' untuk menjaga Pakatan Rakyat terutamanya untuk membuat perubahan pada pilihan raya yang akan datang.

 "Apa sekalipun sebab, keputusan dan cabaran, Pakatan Rakyat mesti bersatu. Ini harapan saya dan juga harapan sebahagian besar rakyat Malaysia yang mengundi dalam pilihan raya lepas, diharap jangan dikecewakan," katanya.

 Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, walaupun gagal merampas Putrajaya, PR berjaya mendapat undi majoriti sebanyak 51% berbanding BN 49%.

 Selain itu, PR sekali lagi menggagalkan BN untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di Parlimen yang mereka hilang pada Pilihan Raya Umum 2008.

 Pergeseran secara terbuka PR bermula tahun lalu semasa kemelut menteri besar Selangor. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka menolak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, walaupun parti itu dan DAP menyokongnya.

 Selepas PAS Kelantan berjaya membentangkan pindaan hudud, Hadi sekali lagi mengetepikan PR apabila memohon kepada Dewan Rakyat minggu lalu membentang rang undang-undang persendirian pada sesi Parlimen kali ini, bagi memberi laluan negeri pantai timur itu melaksanakan undang-undang jenayah Islam.

 Tindakan itu menimbulkan kemarahan PKR dan DAP yang menganggap ia satu lagi pengkhianatan Hadi.

 Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Hadi sebenarnya berkhayal jika beliau menyangka orang bukan Islam masih menyokong PAS selepas "satu lagi tindakan khianat" olehnya.

 Beliau turut membidas parti Islam itu kerana melanggar konsensus PR yang dipersetujui Hadi sendiri ketika mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari. – 23 Mac, 2015.  ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...