JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Sunday, March 22, 2015

Walau tanpa PKR, PAS boleh jayakan hudud di Parlimen

PAS hanya perlukan majoriti mudah untuk membawa undang-undang di Parlimen, membolehkan ia menguatkuasakan hudud di Kelantan, walaupun ketika semua sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR) berpaling daripadanya, kata seorang ahli sains politik.

 Matlamat parti Islam itu untuk melaksanakan hudud atau Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan bergantung kepada sama ada ia boleh mendapatkan musuh tradisinya Umno menyokong rang undang-undang persendirian itu di Dewan Rakyat .

 Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata, rang undang-undang itu hanya memerlukan majoriti mudah dari semua ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat ketika sesi mengundi.

 Ini bermakna, PAS boleh berjaya sekiranya semua ahli Parlimen Umno juga mengatakan 'ya'. Ia bukan satu kes di mana PAS dan Umno perlu mendapat 112 undi di dalam Dewan yang mempunyai 222 ahli, iaitu majoriti mudah bagi meluluskan rang undang-undang, katanya, merujuk kepada salah faham umum tentang prosedur dalam meluluskan undang-undang atau pindaan.

 Jika terdapat lebih suara yang menyokong pada masa mengundi di dalam Dewan, berbanding suara yang membantah, atau mereka yang berkecuali dari mengundi, maka rang undang-undang itu boleh diluluskan, katanya.

 Ketika ini, terdapat 21 ahli Parlimen PAS dan 88 dari Umno. Jika Umno berkata ia akan menyokong, kesemuanya 109 ahli Parlimen akan menyokong rang undang-undang itu.

 Sementara itu, untuk mengalahkan rang undang-undang itu pula, perlu ada sekurang-kurangnya 110 undi yang membantah.

 Satu-satunya cara rang undang-undang itu boleh tewas dengan teruk ialah jika hampir semua ahli Parlimen PKR, DAP dan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain membantah dan mengundi secara aktif menentangnya di dalam Dewan.

 "Jika anda tidak mengundi untuk rang undang-undang itu, ia secara pasif memberi persetujuan tanpa tanggungjawab," kata Wong, yang mengetuai seksyen analisis politik dan sosial di institut itu.

 Sekutu PAS, PKR, semalam menyatakan ia tidak akan menyokong rang undang-undang itu, yang akan dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga ahli Parlimen Marang.

 Hadi melalui rang undang-undang itu mahu mengubah Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengehadkan skop hukuman yang boleh digubal oleh negeri bagi kesalahan Syariah dan menyekat pembentukan undang-undang jenayah terhad kepada kerajaan persekutuan.

 Satu lagi parti sekutu, DAP yang mempunyai 37 ahli Parlimen, kecewa dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah PAS yang baru itu, yang diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lepas.

 Ia sedang secara aktif mengkaji semula sama ada hendak meninggalkan PR kerana tindakan PAS itu.

 Wong berkata, undang-undang yang mahu dipinda PAS memerlukan majoriti dari semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada masa mengundi .

 Ini berbeza dengan meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga daripada semua 222 ahli Parlimen.

 Dr Lim Teck Ghee dari Pusat Inisiatif Dasar mengatakan kepimpinan negara di kalangan Umno akan menjauhkan diri daripada menyokong rang undang-undang itu yang hebat dikritik komponen BN di Malaysia Timur.

 "Saya rasa PAS akan bersendirian dalam hal ini. Umno tidak akan menyokongnya kerana ia mengambil kira Malaysia Timur. Jelas sekali, hudud mempunyai penyokong yang sangat sedikit di Malaysia Timur."

 Parti BN di Malaysia Timur seperti Parti Bersatu Sabah, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak, dengan 46 ahli Parlimen mereka, penting bagi memastikan Umno dan BN kekal berkuasa.

 "Jika Umno menyokong hudud itu, habislah BN di Malaysia Timur," kata Lim.

 Sehingga hari ini, hanya Umno Kelantan yang menyuarakan sokongannya terhadap hudud PAS, apabila ahli DUNnya menyokong enakmen baru itu minggu lepas.

 Pimpinan Umno di peringkat negara tidak membuat pendirian rasmi sama ada menyokong rang undang-undang ahli persendirian itu atau tidak, dengan sesetengah ahli Parlimen Umno mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung perkara itu.

 Terdapat spekulasi yang Umno sebenarnya sedang cuba melaga-lagakan antara sekutu PR dengan secara rahsia memberitahu PAS yang ia menyokong rang undang-undang itu.

 Pakatan sulit ini dikatakan mendorong ahli tegar PAS, yang secara aktif memperjuangkan hudud, membawa rang undang-undang itu ke Parlimen.

 "Daripada segi politik dan undang-undang, saya rasa inisiatif ini tidak dikendalikan dengan baik oleh PAS," kata Lim, sambil menambah yang parti Islam itu merosakkan reputasinya di kalangan majoriti pengundi.

 "Ia juga merosakkan hubungannya dengan rakan-rakan dalam PR, yang merupakan sebab sebenar ia memenangi begitu banyak kerusi dalam pilihan raya umum 2013."

 Malah, satu tinjauan Merdeka Center pada 16 Mac mendedahkan 81% daripada umat Islam di Semenanjung Malaysia mahu PAS menumpukan perhatian kepada kerja pembinaan semula di Kelantan yang teruk dilanda banjir, dan bukannya hudud.

 Selepas hudud, kata Lim, PAS perlu perubahan sebenar dalam kepimpinan jika ia mahu mendapatkan semula kredibiliti di mata awam.

 "Jika puak yang sederhana mengambil alih kuasa dalam pemilihan parti Jun ini, maka mungkin mereka boleh mendapatkan semula sokongan yang hilang," kata Lim. – 22 Mac, 2015. - ~ sumber
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Kerajaan UMNO memang tidak pernah menolak hudud tapi yang nak meluluskan undang-undang tu diperlimen bukan semua suara yang meluluskan itu suara UMNO tapi suara BN itulah sebabnya najib berani kata PAS boleh bawa usul tu ke Sidang parlemen tapi PAS bodoh benggong tak tau putar belit UMNO sekarang siapa yang kena kencing , eloklah Musyidul baru dan presiden sama saja tololnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...