GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, May 19, 2015

Mengapa Saya Bersetuju Untuk Menerima Pencalonan?

Tokoh-tokoh ulama nusantara yang diiktiraf oleh dunia Islam dijemput menghadiri
  Iltiqa' ul-Ulama di Beirut berbincang mengenai masalah Palestin. Ustaz Ahmad Awang
diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia.
Bismillahirrahmanirrahim,
 Ketika kenyataan rasmi ini ditulis, saya baru sahaja selesai mengikuti program 'Global Convention Of Scholars For Palestine' yang berlangsung di Beirut selama seminggu bermula 16 Mei lalu. Mudah-mudahan kenyataan ringkas ini mampu menjawab persoalan rakan-rakan dalam PAS dan rakyat umumnya berhubung sebab dan tujuan saya menerima pencalonan untuk bertanding Presiden PAS Sesi 2015-2017.

 PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang dipandu perlembagaan, telah menetapkan dalam Kaedah 4.8.6, Peraturan-Peraturan Pemilihan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) 2013 (Pindaan 2014), bahawa “Hanya calon-calon yang mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan sahaja yang layak bertanding di dalam pemilihan kecuali bagi kawasan yang mempunyai kurang daripada lima (5) cawangan dan negeri yang mempunyai kurang daripada 5 kawasan di mana satu (1) pencalonan sahaja sudah memadai bagi Kawasan dan Negeri tersebut”. 

Justeru penerimaan pencalonan ini secara asasnya kerana diizinkan bahkan diraikan dalam jemaah yang kita sayangi ini.

 Bahkan jika sahabat-sahabat lama PAS masih ingat, pertandingan seumpama ini pernah berlaku antara Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad sekitar tahun 1956. Menariknya pertandingan ketika itu menatijahkan kesan yang baik kepada jemaah dan meningkatkan ukhuwah dan mahabbah sesama anggota PAS. Rentetan sejarah positif berikut, saya dengan penuh takzim menggagaskan faktor-faktor utama yang mendorong saya bertanding:

 1) Saya berhasrat - tentunya dengan dokongan semua - ingin mempererat ukhuwwah, dan memperkukuh kesatuan ahli bertunjang kasih sayang kerana Allah.

 Perkara ini sudah pasti bermula dengan memupuk kesepaduan dalam kalangan pimpinan sesuai dengan peranan yang disebut dalam Fasal 26 (1) (d) iaitu "Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing".

 PAS perlu menekuni firman Allah dalam surah As-Soff 'kal bunyanum marsus', iaitu seperti binaan yang saling memperkukuh dan menguatkan antara satu sama lain. Setiap ahli keluarga PAS perlu menginsafi bahawa 'Binaan' PAS ini tidak dibina dengan hamparan merah. Perit dan jerih silih berganti. Maka sudah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan 'binaan' ini terus utuh demi memikul amanah siasah dan dakwah di bumi Malaysia ini.

 Dengan kesatuan ukhuwah ini juga, seluruh saff jemaah dapat memberi fokus untuk menunaikan amanah pantadbiran bagi negeri yang telah PAS menangi seterusnya berusaha memenangi negeri-negeri yang masih belum lagi kita menangi. Amanah yang dipundakkan di bahu PAS hakikatnya terlalu berat. Hampir mustahil amanah ini dapat dilunaskan jika ahli dan pimpinan di setiap peringkat tidak fokus dan tidak bersatu. 

2) Meraikan perbezaan pandangan lantas mengurusnya dengan hikmah dan bijaksana.

 Sebagai sebuah gerakan Islam yang cukup berpengalaman, dan memiliki bilangan ahli yang mencecah jutaan, bukankah perbezaan pandangan itu sememangnya sukar untuk dielakkan? Mustahil untuk PAS mempunyai hanya satu pandangan sahaja. Ini membuktikan PAS sememangnya sarat dengan potensi dan kebijaksanaan yang perlu diraikan dan diurus untuk manfaat PAS itu sendiri.

 Kita tidak mahu lagi PAS dikotak-kotakkan dengan perbezaan profesional dan ulamak. Kita juga tidak mahu lagi PAS dijurangkan dengan sentimen 'anti itu' dan 'anti ini'. Keadaan ini sesuai sepertimana yang diungkapkan oleh Al-Qaradhawi, "Perbezaan pendapat itu tidaklah merbahaya, khususnya dalam soal furu' sebahagian usul yang bukan asas. Akan tetapi yang merbahaya adalah perpecahan dan permusuhan yang telah diingatkan Allah dan Rasul-Nya kepada kita!"

 Setiap sosok tubuh ahli PAS itu adalah rahmat yang Allah kurniakan kepada PAS. Maka terpulang kepada kepimpinan samada untuk bersyukur atau mensia-siakan peluang yang Allah berikan.

 3) Terus mempersada PAS di arena nasional.

 PAS mempunyai 21 Ahli Parlimen dan 83 Adun diseluruh Malaysia. Jika rakyat mahu melihat bagaimana PAS jika diizin Allah memerintah Malaysia, maka 21 Ahli Parlimen dan 83 Adun inilah yang akan menjadi ‘qudwah’ atau contoh panduan kepada rakyat. PAS perlu sentiasa mengiktriaf dan menghargai peranan Ahli Parlimen dan Adun-adun PAS. Wakil-wakil rakyat inilah yang perlu sentiasa aktif membincangkan polisi-polisi diperingkat Nasional dan negeri, mencadangkan pembaharuan kepada Kerajaan, dan perlu bersikap akomodatif kepada tuntutan rakyat.

 Selain mengoptimumkan peranan wakil-wakil rakyat PAS, PAS mempunyai ramai lagi tokoh berketerampilan yang boleh dikehadapankan. Lihat saja sejarah, terlalu ramai pemimpin PAS yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan rakyat. Saya percaya inilah harapan rakyat terhadap PAS. Rakyat mahu melihat kepimpinan PAS terus menjadi peneraju dalam memperjuangkan isu-isu mereka.

 4) Terus aktif berpartisipasi dalam isu-isu internasional.

Pengalaman 17 tahun sebagai Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cukup mendedahkan saya betapa PAS perlu menjadi pendokong kuat kepada agenda pembangunan Islam sejagat. PAS merupakan antara gerakan yang terkehadapan dalam mengetengahkan Islam di lapangan demokrasi. Oleh itu saya berhasrat untuk memastikan PAS akan terus aktif menyertai forum-forum antarabangsa bagi berkongsi pengalaman PAS untuk manfaat gerakan Islam sejagat.

 Hari ini dunia Islam berhadapan dengan rencam global yang sangat mencabar. Serangan terhadap Islam datang dari segenap penjuru. Wujud kempen halus yang cuba melabelkan Islam sebagai anti-demokrasi dan pro-keganasan. Bahkan terkini, hukuman yang dijatuhkan oleh pihak penguasa Mesir keatas Dr Muhammad Morsi, rakan-rakan seangkatan beliau dan Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi juga sudah cukup memperlihatkan kebangkitan Islam dalam pentas politik internasional perlu diurus dengan penuh gagah dan berstrategi. Maka kehadiran PAS di arena antarabangsa itu sendiri sudah cukup untuk menjadi jawapan kepada seluruh tohmahan negatif ini. 61 tahun di lapangan demokrasi, PAS terus konsisten mengetengahkan Islam sebagai solusi kepada permasalahan ummah.

 Akhirnya, saya melihat bahawa teras kekuatan PAS selama ini ialah ahli yang bersatu padu, mengutamakan perjuangan lebih daripada kepentingan diri dan keluarga serta halatuju dan matlamat yang jelas samada di dunia mahupun akhirat.

 Ketika ketiga-tiga ini kembali menyatu dan kukuh, saya yakin dan percaya PAS tidak hanya akan hadir sebagai tiang seri kekuatan Pakatan Rakyat bahkan lebih jauh mampu membuktikan kepada dunia bahawa PAS mampu melaksanakan sebaiknya amanah kepimpinan sebagaimana yang disebut Al-Mawardi, "Iqamatiddin wa siayatud dunya bih", membangunkan agama Allah dan mentadbir dunia dengannya. Sekian, terima kasih. 

--- AHMAD BIN AWANG
     19 Mei 2015   
(gambar dan artikel kredit kpd Dato Tarmizi Jam)

Comments
3 Comments

3 comments :

Anonymous said...

sebab nak jd presiden PASMA mcm gelap jerrr.

Anonymous said...

Aikk..nape takut ke ustaz ahmad awang bertanding????beliau bekas naib presiden dan ketua pengarah pusat islam(jakim)..malah lebih mkn garam dari hadi awang....jgnlah taksub sgt..rosak pemimpin krn ketaksuban penyokong

Wan Rosli said...

Biarlah dia bertanding.. bakal menjadi contoh atau sempadan? bg generasi mendatang . .

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...