GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Monday, May 11, 2015

PAS MENZALIMI AHLI - MUNASABAHKAH PAS ADIL KEPADA RAKYAT?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Oktober 2014 telah mengambil keputusan untuk menggantung keahlian dua (2) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor iaitu YB Shaari Sungip (Hulu Kelang) dan YB Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun mengikut peruntukkan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS.

 Tindakan menggantung keahlian mereka berdua adalah kerana tindakan kedua-dua mereka mendahului keputusan parti memberikan sokongan kepada YB Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calun Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Mereka telah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Wan Azizah dalam keadaan Majlis Syura Ulamak PAS menyatakan sokongan kepada Tan Sri Khalid. 

Ironinya selepas itu Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden telah bersetuju memutuskan mencadangkan Datuk Seri Wan Azizah dan YB Azmin Ali sebagai calun Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid. 

Jelas tindakan YB Shaari dan YB Hasnul menyokong Datuk Seri Wan Azizah tidak bertentangan dengan keputusan parti tetapi mendahului keputusan parti.

 Apa pun yang berlaku, mereka berdua telah diambil tindakan tatatertib dan telah digantung keahlian selama setahun. Kedua-duanya telah membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulamak tetapi ditolak.

 Lain pula kedudukannya dengan Sdr Yusni Mat Piah, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang.

 Faktanya ialah bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) pada 13 April 2015 telah memutuskan seperti berikut :

 a) Bahawa PAS akan membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P.044 Permatang Pauh;

b) Bahawa PAS akan menyokong mana-mana calon yang diputuskan oleh PKR untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil tersebut.

 Setiausaha Agung PAS Dato’ Haji Mustafa Ali kemudiannya pada 20 April 2015 menulis sepucuk surat rasmi kepada Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang memaklumkan keputusan tersebut dan seterusnya meminta kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang mengambil perjalanan memastikan keputusan mesyuarat tersebut dilaksanakan sebaik mungkin.

 Keputusan mesyuarat JKPP tersebut tidak pernah diubah, dipinda mahu pun dimansuhkan malah pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh, beberapa pimpinan tertinggi PAS seperti Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan ahli Majlis Syura Ulamak PAS juga hadir memberikan sokongan.

Pada 22 April 2015 Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden yang juga ahli Majlis Syura Ulamak telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang disiarkan oleh HarakahDaily menyeru semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh untuk keluar mengundi dan memberi undi kepada calon PKR.

 Walau bagaimana pun pada 26 April 2015, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Sdr Mohd Yusni bin Mat Piah telah mengeluarkan kenyataan mewakili Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang bahawa semua jentera dan petugas Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. 

Kenyataan tersebut juga menegaskan bahawa semua bilik gerakan Pemuda PAS Pulau Pinang tidak akan dibuka serta mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda PAS Pulau Pinang juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang tempoh Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

 Tindakan Sdr Yusni Mat Piah tersebut adalah jelas merupakan perlanggaran keputusan JKPP iaitu keputusan Parti.

 TATATERTIB9 FASAL 82. Tatatertib PAS

 1. Semua ahli-ahli PAS hendaklah

(a) Taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS. 

(b) Taat dan patuh kepada Perlembagaan Parti serta Aturan dan Peraturannya. 

(c) Taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti. 

(d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti sedaya upaya yang boleh. 

(e) Menjaga dengan cermatnya segala rahsia-rahsia Parti. 

(f) Mengamal akhlak Islam. 

(g) Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Parti. 

(h) Menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam bagi dirinya di dalam negara ini.

 Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang melanggar Fasal 82(1)(c) iaitu tidak taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti.

 Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang telah melanggar peruntukkan Fasal 82 (1)(d) iaitu tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti sedaya upaya boleh.

 Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang telah melanggar Fasal 82(1)(g) iaitu gagal mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan parti.

 Sepertimana Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menggunakan budibicara di bawah Fasal 82 (9) untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap YB Shaari Sungi dan YB Hasnul maka Jawatankuasa Kerja PAS Pusat juga perlu menggunakan peruntukkan tersebut terhadap Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Sdr Mohd Yusni bin Mat Piah dan sesiapa yang terlibat bersama menyokong beliau.

 Fasal 82 (9) memperuntukkan seperti berikut :

 "Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tataertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tataertib ke atas mana-mana ahli PAS yang dianggap melanggar Ceraian (1) Fasal ini."

 Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam memakai peruntukkan Fasal 82 (9) boleh mengambil tindakan tatatertib mengikut peruntukkan Fasal 82 (6) seperti berikut:

(a) Memberi amaran 
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti 
(c) Menggantungkan keahlian 
(d) Memecat dari menjadi ahli

 Perlanggaran keputusan mesyuarat dan seterusnya melanggar tatatertib Parti yang jelas dinyatakan di dalam Perlembagaan Parti adalah sesuatu yang amat tidak baik dan akan memberikan duluan dan menjadi ikutan ahli-ahli di masa akan datang yang akhirnya akan memporak porandakan dan menghancurkan PAS. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menggantung keahlian YB Shaari dan YB Hasnul tetapi Jawatankuasa kerja PAS Pusat telah tidak mengambil tindakan terhadap Yusni Mat Piah dalam mesyuaratnya pada 9/05/2015 yang lepas. Bukan sekadar tidak mengambil tindakan, malah tidak dijadikan sebagai agenda mesyuarat.

 Atas alasan apa Yusni Mat Piah dibiarkan sewenang-wenang melanggar keputusan dan arahan Parti? Jika PAS tidak boleh berlaku adil kepada ahli dan sesama ahli, adakah masyarakat boleh meletakkan kepercayaan kepada PAS untuk berlaku adil kepada masyarakat?

 Jika PAS tidak boleh berlaku adil dalam mengendalikan parti, bolehkah PAS diberikan kepercayaan berlaku adil melaksanakan undang-undang Islam seperti Hudud, qisas dan ta'zir.?

 Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika mengatakan bahawa menggantung keahlian YB Shaari dan YB Hasnul itu adil, bagaimana dengan Yusni Mat Piah?

 Membiarkan Yusni Mat Piah bebas tanpa sebarang tindakan merupakan kezaliman yang NYATA oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

 BUKTIKAN PAS TIDAK ZALIM!!

ZULHAZMI SHARIFF
11/05/2015
Comments
3 Comments

3 comments :

Manshor Yahya said...

Terang dan jelas tq.

Anonymous said...

Kalau Ibrahim Ali jadi tangan kiri UMNO, Yusni Mat Piah teloq UG.

Anonymous said...

Tidak mengambil tindakan terhadap Yusni bukan dikategorikan tidak adil tetapi lebih kepada tidak saksama. Tindakan menggantung keahlian 2 orang YB PAS di Selangor itulah yg sepatutnya diklasifikasikan sebagai tidak adil.

Atau boleh dihuraikan begini:
Menggantung keahlian 2 YB PAS di Selangor adalah tidak adil.
Tidak menggantung keahlian Yusni sebagaimana 2 YB PAS di Selangor, adalah tidak saksama dgn keputusan sebelum ini.

Adil dan saksama ibarat kembar siam yg tidak boleh dipisahkan. Namun begitu, saya bersetuju dgn admin bahawa di kalangan ahli pun PAS tidak mampu berlaku 'adil dan saksama', apalah yg boleh diharapkan drp pimpinan parti ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...