JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Tuesday, May 19, 2015

UMNO HANYA BERSANDIWARA, ADA 1001 SEBAB KEIKHLASAN UMNO BOLEH DIPERSOALKAN DALAM SOKONGANNYA TERHADAP - YB HANIPA MAIDIN

Siapa yang menyatakan Umno tidak inginkan faedah politik dalam isu hudud adalah mereka yang naif dalam politik. Umno adalah parti yang boleh berlakon di sebelah pagi menyokong hudud dan di sebelah petang menentang pula hudud. Adakah Umno benar benar serius dalam isu hudud ini. Untuk kenal sikap Umno, kita bandingkan dulu sejarah Pas dan Umno dalam isu hudud ini. Dari sejarah ini kita boleh buat kesimpulan siapakah yang lebih serius dan ikhlas dalam isu hudud ini.

Kita pergi dulu kepada Pas. Terdapat dua Kerajaan Negeri yang dikuasai Pas dan pernah dikuasai Pas iaitu Kelantan dan Trengganu. Kedua dua negeri ini telah menjalankan tanggungjawabnya menggubal enakmen syariah yang merangkumi undang undang hudud. Bagi Kelantan setiap tahun mereka menyambut hari Hudud bagi menerangkan tentang hukum hudud.

 Berapa ramai pemimpin Pas di seluruh peringkat yang berceramah, berforum, berseminar tentang hudud, berdialog dengan mereka yang faham dan yang tidak faham tentang hudud, berwacana dengan penyokong dan penentang hudud sejak sekian lama. Malahan penyokong Pas yang bukan Islam dari Dewan Perhimpunan Pas juga tidak ketinggalan menyumbangkan tenaga mereka dalam isu hudud ini.

 Saya masih ingat Kerajaan Trengganu di bawah Pas pernah mengadakan seminar dan dialog dengan pelbagai kumpulan politik dan bukan politik dengan meminta mereka memberi pandangan dan kritikan terhadap deraf enakmen syariah yang Pas ingin bentangkan dalam DUN Negeri Trengganu.Malahan Umno juga dijemput meskipun mereka tidak hadir.

 Saya juga masih ingat saya bersama sama Datuk Wan Mutalib Embung dan Almarhum Dato Harun Taib pernah berdialog dengan golongan NGO Wanita termasuk Sisters in Islam di Century Paradise, Kuala Lumpur berkenaan isu hudud. Hatta Pas juga berdialog dengan Dap dan golongan bukan Islam dalam isu hudud.Pokoknya Pas sudah buat apa yang terdaya di dalam kemampuannya mengenai hudud ini.

 Kita lihat pula Umno. Meskipun lama berkuasa tidak pernah sekalipun mana mana negeri yang diperintah oleh Umno menggubal jauh sekali membentang rang undang undang hudud di mana mana DUN yang Umno perintah. Semua orang tahu meskipun Umno menguasai media massa sama ada media bercetak dan elektronik, Umno tidak pernah berusaha memberi penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan dan kelebihan hukum hudud. Jika dalam kes GST Umno sanggup gunakan segala prasarana berkempen untuk GST dengan membelanjakan wang berbilion ringgit, Umno sebaliknya tidak bernafsu untuk berkempen tentang hudud dengan semangat yang sama.

 Jika Umno yang bermajoriti orang Islam tidak terasa terpanggil untuk menerangkan hudud di televisyen atau di radio yang mereka kuasai , Umno terpanggil pula menentang dan memperlekeh hudud. Kita boleh bawa banyak bukti kenyataan kenyataan para pemimpin Umno memperlekeh hudud. Malahan ada pemimpin Umno yang sanggup mengugut Kelantan dalam isu hudud dan ada juga bekas pemimpin Umno yang cabar hudud di Mahkamah. Apabila Adun Pas di Dun Trengganu baru baru ini membawa usul untuk bincang enakmen hudud di Trengganu , Kerajaan Trengganu yang dikuasai Umno tolak usul tersebut.

Apa reaksi Najib terhadap gelagat
MCA menolak hudud?
 Umno bukan sahaja gagal berdialog, berseminar, berwacana bagi menerangkan kebaikan hukum hudud kepada rakyat, malahan tidak bersungguh memberi penerangan kepada sekutunya MCA atau Gerakan yang amat bernafsu menghentam hudud dengan sesuka hati. Jika DAP menentang hudud kerana berpendapat ianya bercanggah dengan Perlembagaan tanpa menghina hukum hudud, MCA pula memperlekeh hudud sehingga sanggup untuk menjadi rantai manusia (human chain) bagi menghalang Pas bentang rang rang undang persendirian Ahli Parlimen di Parlimen. Sehingga kini kita tidak dengar reaksi pemimpin Umno termasuk Presidennya menegur gelagat MCA dan Gerakan.

 Kini secara tiba tiba Umno mengubah strateginya dalam isu hudud. Umno sedar isu hudud amat mudah untuk memecah belah Pakatan Rakyat. Maka Umno tukar skrip dan tukar watak. Dari watak penjahat kini Umno cuba berwatak hero dalam isu hudud. Ianya semata mata untuk lariskan tiket wayang. Tetapi masih bermain wayang. Bukankan parti sekular seperti Umno berpegang kepada motto matlamat menghalalkan cara.

 Adegan pertama watak “hero” Umno dalam wayang gambar ini adalah mencabar Pas bentangkan rang rang undang persendirian Ahli Parlimen ( private member’s bill ) bagi memberi laluan kepada Kelantan untuk laksanakan hudud. Apabila adanya respon dari Kelantan, maka diteruskan adegan kedua iaitu pemimpin tertinggi Umno menziarahi tokoh tokoh Pas. Adegan ketiga watak hero ini adalah mewujudkan Jawatankuasa Teknikal bersama. Bagaimanapun dalam wayang gambar itu ada juga adegan si hero membiarkan rakan sekutunya MCA dan Gerakan mengamuk menyerang Pas dan hudud itu sendiri.

 Bagi mereka yang naif politik akan menyatakan kepada Pas bukankah Umno sudah beri peluang mengapa Pas tidak gunakan ruang yang diberi. Ya benar Umno beri ruang tapi diberi ruang yang sempit dengan Umno tinggalkan ruang yang besar. Disuruhnya Pas memilih jalan yang sempit dan berliku meskipun di sana ada jalan yang lurus dan lebih selesa.

 Menyuruh Pas membentang rang undang-undang persendirian bagi memberi ruang perlaksanaan hudud di Kelantan adalah ibarat menyuruh Pas menggunakan jalan sempit dan berliku kerana proses pembentangan rang undang undang persendirian berliku liku jalannya. Antaranya ia perlu mendapat persetujuan Menteri dan ia juga tidak boleh mengatasi urusan Kerajaan termasuk usul usul lain. Prosedur terperinci boleh dilihat dalam Artikel 67 Perlembagaan Persekutuan dan Aturan 49 Peraturan Mesyuarat ( Standing Orders ). Pas pernah melalui Presidennya bentang rang undang undang persendirian mengenai murtad untuk Wilayah Persekutuan , ia bukan sahaja tidak dapat sokongan Menteri malahan diletakkan di senarai paling bawah dalam aturan mesyuarat Parlimen.

 Mungkin ada yang kata itu dulu, kini Umno dah berubah. Ya, Umno dan berubah tapi bukan ubah perangai sebaliknya ubah strategi. Jika ubah perangai paling kurang minta maaf dera rakyat Kelantan selama ini dan beri wang royalti.

 Jika Umno serius dalam membantu Kelantan kita berhak bertanya mengapakah Umno sendiri enggan membawa rang undang undang Kerajaan (government’s bill) sepertimana rang undang undang lain yang biasa dibentangkan di Parlimen. Ianya lebih mudah dan pasti akan berjaya kerana jika undang undang dibawa oleh Kerajaan ia wajib disokong oleh semua parti komponen Umno termasuk dari Sabah dan Sarawak. Maka jika sekalipun Dap dan Pkr katakan tidak menyokong ia masih akan lulus.

 Sebab itu selama ini jika Kerajaan kemukakan rang undang undang di Parlimen meskipun dalam perbahasan rakan sekutu Umno kadangkalan mengkritik rang undang undang itu tapi mereka akhirnya masih mengundi rang undang undang itu. Ini kerana jika mereka menolak rang undang yang dibawa oleh Kerajaan akan berlakunya undi tidak percaya dan mungkin terbubar Parlimen.

 Keadaan yang sama tidak berlaku bagi rang undang undang persendirian. Jika Pas yang bawa rang undang undang persendirian, Umno tidak perlu dan tidak wajib pastikan rakan rakan sekutunya seperti Mca, Gerakan, Mic dan ahli ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak menyokong rang undang undang yang Pas akan bawa. Maka jika Umno sokong sekalipun rang undang undang itu tanpa sokongan dari sekutu mereka maka hasrat untuk melihat rang undang undang itu diluluskan ibarat kata Mat Sabu seperti menunggu ikan keli tumbuh sisik.

 Di sinilah kita mempunyai 1001 sebab untuk percaya Umno hanya bersandiwara dalam isu ini. Jika Umno serius dalam isu hudud ini lupakan rang undang undang persendirian. Sebaliknya Umno perlu bawa rang undang Kerajaan yang mana kamu kuasai maka ketika itu barulah kewujudan Jawatankuasa Teknikal adalah relevan dan bermakna. ~ Dato Tarmizi Mohd Jam
Comments
3 Comments

3 comments :

Anonymous said...

Pecah tembelang kata hudud xXpernah dibincang...allahu robbi...
skrg allah tanam.dlm hati kita rasa ragu2 pd janji allah...tNpa kita sedari kita twlah menafikan sifat allah...maha mengetahui bahwa msia akan menjadi negeri pelabgai bangsa dan agama..memafikan bahwa allah bijaksana...maka nampaklah hukum allah sebagai penghalang kuasa dunia.

Anonymous said...

Cukuplah memfitnah wahai tuan blog.

Dah bersedia nak kena saman fitnah?

Anonymous said...

RUU yg akan dibawa oleh TGHH itu sebenarnya bukan meliputi hudud yg tulen pun, tetapi hanya penambahbaikan kpd Undang2 jenayah syariah yg sedia ada. RUU itulah yg dikatakan oleh TGHH sebagai hudud dan ini mengelirukan kerana ia disebut oleh TGHH sebagai hudud walhalnya bukan!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...