JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Sunday, June 21, 2015

Adakah non-muslim memusuhi Islam bila mengkritik atau membantah salahguna kuasa muslim?


Dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas Allah menyatakan: (maksudnya):

 “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 

 Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

 Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas, berkata:

 “Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian” (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aiy al-Quran 28/66 Beirut:Dar al-Fikr).

 Juga telitilah firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6-7 (maksudnya):

 “Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

 Pengarang al-Jihad fi al-Islam yang merupakan tokoh Mazhab Syafi’i di Syria iaitu Said Ramadan al-Buti dalam mengulas ayat di atas, berkata:

 “Dari dua ayat tersebut, kita dapat fahami dengan jelas ia meyanggahi apa yang difahami oleh ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri. Dari sini kita kemukakan kepada mereka (para ulama tersebut) soalan-soalan yang mereka tidak mungkin dapat menjawabnya, iaitu; Sekiranya `illah (punca hukum) jihad atau peperangan ialah kekufuran, sedangkan perintah Allah agar kita melindungi kaum musyrikin sepanjang tempoh mereka berada di samping kita, dengan harapan mereka mendengar ayat-ayat Allah dan beriman denganNya. Kemudian diperintahkan agar kita menghantarkan mereka ke tempat yang aman sekiranya mereka ingin pergi tanpa beriman… 

 Andainya kekufuran adalah sebab yang membawa kepada kita membunuh mereka, apakah mungkin untuk kita membantu mereka dengan perlindungan yang seperti ini, sedangkan mereka itu musyrikin? 

 Sekiranya kekufuran mewajibkan peperangan, apakah mungkin untuk kita berurusan seperti itu dengan golongan Allah perintahkan kita memerangi mereka?. Ternyata sebab (kita dibenarkan berurusan baik dengan mereka) kerana mereka tidak menzahirkan permusuhan dan cenderung kepada perdamaian”. (Sa`id Ramadhan al-Buti, al-Jihad fi al-Islam, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr)

 Dengan ini jelas, jihad berlaku hanya apabila mereka menzahirkan peperangan terhadap umat Islam kerana agama. 

 Jika non-muslim mengkritik atau mencabar muslim melalui saluran undang-undang dalam negara Islam itu sendiri, ataupun membantah salahguna kuasa pihak umat Islam itu tidak  dianggap memusuhi umat Islam kerana agama.

 Bahkan itu hak yang negara Islam berikan kepada mereka. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...