GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Sunday, June 21, 2015

Kalau bukan PAS, jemaah mana yang Norazli maksudkan?


IPOH – “Saya tidak ada mengeluarkan kenyataan seperti itu,” itu penjelasan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musa berhubung kontroversi kononnya beliau mengeluarkan fatwa menyatakan mana-mana individu yang keluar dari Pas akan jatuh kafir.

 Nor Azli berkata, isu berkenaan timbul selepas beliau dijemput menyampai -kan tazkirah Ramadan di sebuah masjid di Batu Kurau, kelmarin. Katanya, apa dijelaskan dalam tazkirah itu hanya membabitkan maksud sebuah hadis yang menyentuh mengenai perjuangan dalam Islam.

 “Dalam hadis yang saya nyatakan itu bermaksud: ‘Sesiapa yang berpisah atau keluar dari jemaah walau sejengkal, maka sesungguhnya dia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya”.

 “Saya ulas lebih lanjut berhubung hadis itu dan ia tidak rujuk pun kepada mana-mana pihak, jadi saya tidak pasti bagaimana dakwaan seumpama itu boleh keluar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 Menerusi laman sosial, Facebook, Nor Azli didakwa mengeluarkan fatwa jatuh kafir kepada mereka yang keluar dari parti Islam itu.

 Kenyataan dimuat naik dalam Facebook itu mendapat reaksi negatif.

 Nor Azli yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, sepanjang tempoh ini, isu jatuh kafir sekiranya keluar Pas tidak pernah dibangkitkan dalam ceramah melibatkan dirinya.

 “Tak tahulah kalau ada pihak yang cuba nak fitnah saya, setahu saya mereka yang memuat naik isu itu pun, tidak hadir dalam tazkirah saya semalam (kelmarin),” katanya.

 Beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat. sumber

Komen al-Husseyn:

Mungkin Norazli tidak sebut sebiji: "jatuh kafir kepada mereka yang keluar dari parti Islam itu"

Hadis itu membawa maksud:  ‘Sesiapa yang berpisah atau keluar dari jemaah walau sejengkal, maka sesungguhnya dia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya.' - Melepaskan ikatan Islam dari lehernya itu bermaksud keluar dari Islam atau murtad.

Cuma nak tanya Norazli : Jemaah yang dia maksudkan itu jemaah mana kalau bukan jemaah PAS? Tolong katakan, apakah Norazli turut mengiktiraf lain-lain jemaah di Malaysia selain PAS sebagai al-Jamaatul-Muslimin? Sajer nak tanya benda tu saja.

Berikut saya perturunkan makna kemestian bersama jamaah (luzum al-jamaah) 
Kemestian bersama jamaah (luzum al-jama’ah) bermakna beriltizam dengan segala apa yang dihalal dan diharamkan oleh jamaah serta taat kepadanya, iaitu menerima sumber rujukan asasi Islam, meskipun terdapat perbezaan dari sudut mazhab, aliran dan pandangan.

Dalam kitab al-Risalah, Imam al-Shafi’i berkata:

“Ada orang bertanya: Apakah makna perintah Nabi SAW agar mesti sentiasa bersama jamaah?

Aku berkata: Ia hanya memberikan satu makna sahaja.

Dia bertanya lagi: Kenapa ia hanya memberikan satu makna sahaja?

Aku menjawab: Jika jamaah mereka berpecah-pecah di berbagai-bagai negara, maka tiada seorangpun yang mampu untuk melazimi satu jamaah yang badan-badan para ahlinya berada berpecah-pecah (tidak di suatu tempat). Dan jika wujud badan-badan yang berhimpun pada satu tempat, maka pasti ia akan terdiri daripada golongan Islam dan kafir, sama ada daripada golongan bertaqwa dan jahat.

Jadi melazimi mereka secara tubuh badan tidak memberikan sebarang makna, kerana ia adalah suatu yang tidak mungkin berlaku. Juga kerana perhimpunan tubuh badan tidak dapat membuat apa-apa. Oleh itu, melazimi jamaah mereka tidak memberi sebarang makna kecuali berpegang dengan apa yang menjadi dasar jamaah mereka seperti halal, haram dan mentaatinya. Oleh itu, barang siapa yang berpendapat sama dengan pendapat jama’at al-muslimin maka dia telah melazimi jamaah mereka. Barang siapa yang bersalahan dengan jama’at al-muslimin, maka dia telah menyalahi jamaah mereka sedangkan dia diperintahkan untuk melaziminya.”

Imam al-Shafi’i tidak menganggap perkumpulan pada suatu tempat sebagai dalil yang menunjukkan seseorang itu menganggotai sesuatu jamaah, bahkan yang wajib ialah menzahirkan kesetiaan kepada Allah dan Rasul, serta redha dan menerima rujukan asasi syarak dalam segala urusan berdasarkan kedudukannya dan kedudukan hukum hakam.

 Aplikasi pengertian ini terhadap konsep jamaah bererti: 

Pertama: Dari sudut iktikad: Bererti keperluan untuk mengikut ahl al-sunnah wa al-jama’ah dari sudut iktikad, halal, haram dan seumpamanya. Namun mereka boleh berselisih pendapat selagimana mereka masih berada di atas manhaj yang betul.

Kedua: Dari sudut politik: Bererti mengikut mereka dalam perkara yang mereka sepakati seperti persetujuan mereka untuk menerima bentuk sistem pemerintahan tertentu, taat kepada sistem tersebut, memberikan komitmen dengan dasar-dasarnya yang tidak melibatkan perkara maksiat dan tidak menentangnya kecuali jika berlaku kekufuran yang nyata, demi mengekalkan kelangsungan jamaah. 

Oleh itu, setiap muslim tidak boleh keluar daripada manhaj ahl al-sunnah wa al-jama’ah (dalam metode mencari dalil dan kehujjan sesuatu hujjah), sama ada pada iktikad, halal dan haram. Dia juga tidak boleh keluar daripada memberikan ketaatannya kepada jamaah dalam perkara bukan maksiat, tidak kira sama ada ummat Islam mempunyai kekuatan dan kekuasaan atau tidak, sebagaimana berlaku pada zaman fitnah. Maksudnya, dia hendaklah menghormati ‘undang-undang umum’ secara keseluruhannya, meskipun ummat Islam hanya membentuk minoriti.

 Oleh itu, seseorang muslim wajib mengikut syarak dalam segala urusannya di samping kepatuhan kepada undang-undang negara yang menjadi tempat tinggalnya serta memelihara ikatan keimanan dengan ummat Islam melalui penghukuman kepada syariat sama ada pada peringkat individu dan masyarakat, meskipun ketika dia sedang berada di bawah pemerintahan yang berdasarkan perlembagaan buatan manusia.

 Peringkat-peringkat Keluar Daripada Jamaah (Tidak Taat) 

Keluar daripada jamaah dengan mana-mana sudutnya, sama ada iktikad dan politik, mungkin melibatkan tiga bentuk:

Pertama: Tidak taat kerana mentakwilkan nas Jika ada individu yang ketidaktaatannya mempunyai sedikit pergantungan dengan nas-nas dan takwilannya, sedangkan dia beriman dengan zahir dan batin nas tersebut serta berpegang teguh dengannya secara umum, maka takwilannya yang bercanggah dengan ijmak atau jumhur tidak mengeluarkannya daripada agama, bahkan dia masih berada di dalam putaran agama. 

Dalam keadaan ini, dialog dan perbincangan merupakan cara terbaik bagi mengembalikannya semula kepada kebenaran selagimana ketidaktaatannya masih belum sampai ke peringkat menghunuskan senjata dan peperangan. Contoh yang paling jelas dalam perkara ini ialah apa yang berlaku dengan puak Khawarij. Sayyidina Ali RA cuba untuk berdialog dengan mereka dengan hujjah nas, akal dan mantiq (logika). 

Begitu juga perdebatan yang dilakukan oleh Ibn ‘Abbas RA dengan mereka merupakan bukti paling baik dalam hal ini. Sayyidina Ali tidak memerangi mereka kecuali setelah mereka sendiri memulakan peperangan, iaitu mereka melampau dan tidak berpada dengan perselisihan dari sudut pandangan sahaja bahkan mereka melakukan pemberontakan sivil menentang kerajaan yang ada. 

Kedua: Tidak taat kerana mahu mendapatkan kekuasaan atau melakukan rompakan. Terbahagi pula kepada dua jenis:

1. Mereka tidak taat kerana mahu mendapatkan kuasa dan merebut kedaulatan. Mereka termasuk dalam kategori pemberontak (bughah). al- Quran telah menunjukkan bagaimana bertindak bagi menghadapi fitnah mereka melalui firmanNya dalam surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud:

 “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

2. Mereka tidak memberikan ketaatan kerana melakukan rompakan, merampas harta dan melakukan kerosakan di atas muka bumi. Mereka dikategorikan sebagai al-muharibun. al-Quran telah menyebutkan hukuman terhadap mereka melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Ma’idah, ayat 33 yang bermaksud: 

“Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” 

Ketiga: Kekufuran. Ia juga terbahagi kepada dua:

 1. Kufur kerana menolak nas tanpa takwil, atau dengan takwil yang menyebabkan keingkaran terhadap sesuatu yang dimaklumi secara pasti daripada Islam, atau mengharuskan sesuatu yang diharamkan oleh ummat Islam secara ijmak, atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh mereka secara ijmak. Tidak syak lagi, kesemuanya membawa kepada kemurtadan. Tambahan lagi jika ia dilakukan secara terang-terangan dan ini menunjukkan dia berusaha untuk memperlekehkan sumber rujukan utama Islam. Dengan cara itu, mereka sebenarnya telah keluar daripada agama Islam dan memisahkan diri mereka daripada jama’at al-muslimin. 

Merekalah yang dimaksudkan oleh hadis lalu yang bermaksud: “… yang meninggalkan agamanya, yang memisahkan dirinya daripada jamaah.” Pada hari ini terdapat perselisihan pendapat tentang hukum orang murtad. Ada yang memisahkan di antara orang yang meninggalkan agama yang hanya berlaku di antara seorang hamba dengan tuhannya dan antara seorang lain yang meninggalkan agama kemudian diikuti dengan penentangan secara terangterangan terhadap sistem Islam. 

Ini sudah pasti menyebabkan sistem ini mesti mempertahankan dirinya sebagaimana lazimnya berlaku kepada sistem-sistem yang lain juga. Kerana seseorang yang melakukan kekufuran ini sebenarnya dia memisahkan dirinya daripada sesuatu yang telah diijmakkan dalam perkara agama dan dia juga menolak sumber sandaran asasi dan utama hukum syarak yang mentadbir hal ehwal orang ramai dan sistem kehidupan harian mereka. Dengan itu, dia sebenarnya telah menjadi anggota yang dipecat daripada jama’at al-muslimin kerana menentang akidah dan syariat umum yang terpakai.

 2. Murtad kerana kufur dengan Islam, memusuhinya, memberikan kesetiaan kepada musuhnya dan memeranginya. Merekalah golongan murtad sebenarnya yang telah merungkai ikatan Islam daripada leher mereka, bahkan menggabungkan diri kepada pihak musuh. 

Sebagaimana berlaku pada zaman Abu Bakar RA di mana terdapat satu golongan yang memisahkan diri mereka daripada agama Islam dan memberikan bantuan kepada pihak musuh bagi memerangi ummat Islam. Juga sebagaimana yang berlaku kepada golongan yang membunuh para sahabat yang diberikan gelaran sebagai al-qurra’ yang diutus oleh Nabi SAW untuk mengajar mereka al-Quran dan agama dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai peristiwa al- Raji’.

*Tulisan oleh Kamal Al-Misri ini agak panjang dan akademik bentuknya, maka saya hanya mengambil sebahagia sahaja darinya. Tuan/puan boleh mengaksesnya melalui klik di sini
Comments
4 Comments

4 comments :

sizzly7761 said...

Azli Taliban ni salah sorang dari Geng Tok Usin Ceroi @ TUC..bila kupas hadis mesti ikut tekak sendiri...

cikmatgelap said...

pada aku jemaah pas ni memang perjuangan berlandaskan islam akan tetapi pas sekarang dah jadi tempat berhimpun nya golongan munafik

Seo Ninja said...

your article is this very helpful thanks for sharing..............:)

Anonymous said...

Pemimpin baru Pas takde satu pun yg boleh
Dijadikan teladan ,berani bersuara tak berani BERTANGGUNGJAWAP ,
Asset bagi yg berkepentingan peribadi,
Tolak Pas tak rugi dunia dan akhirat ,
Kepincangan memimpin pasti bawa padah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...