JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Wednesday, June 24, 2015

Konsep Jemaah : Antara Makna Sempit dan Luas

Berikut adalah petikan sebahagian daripada artikel : Konsep Jamaah: Antara Makna Sempit dan Luas, oleh: Kamal al-Misri. Oleh kerana tulisan tersebut agak panjang dan agak akademik, maka saya hanya mengambil sebahagia sahaja darinya. Tuan/puan boleh mengaksesnya melalui klik di sini

Pada hari ini, perkataan jamaah dari sudut iktikad masih lagi memberikan makna yang sama tanpa mempunyai sebarang kekaburan atau perselisihan. 

Manakala maknanya dari sudut politik telah melalui beberapa fasa yang kadang-kadang jelas dan pada banyak keadaan adalah kabur. Pada hari ini, maknanya dari sudut politik telah meresap masuk ke dalam minda orang ramai yang menyebabkan mereka melalui dua jalan yang salah ketika memberikan maknanya:

 1. Jalan Keterlaluan

 Ada di kalangan mereka yang membantah pensyariatan atau keharusan menggabungkan diri di dalam mana-mana perhimpunan atau perkumpulan ini sama sekali. Pendapat ini didasarkan kepada pendapatnya yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan jamaah ialah jamaah ummat Islam keseluruhannya. Sedangkan perkumpulan-perkumpulan ini semuanya bukan dianggap sebagai jamaah. 

Golongan ini pula terbahagi kepada dua: 

Satu golongan yang menganggap bahawa tiada jamaah dan tiada bai’ah melainkan selepas mendapat kekuasaan dan seorang imam dilantik. 

Satu golongan lagi pula berpendapat bahawa jamaah telah ada dan ia diwakili oleh ummat. Oleh itu, tidak perlu lagi kepada kewujudan perkumpulan- perkumpulan tertentu. 

2. Jalan Pengabaian

 Ada di antara mereka yang melampau lalu hanya membataskan jama’at al- muslimin terhadap perkumpulannya sahaja. Manakala perkumpulan lain pada pandangannya tidak harus dan tidak boleh dikaitkan dengan Islam atau jamaah. Lalu dia menjadikan kemestian berada di dalam jamaahnya sebagai sebahagian daripada agama yang tidak sempurna Islam seseorang melainkan apabila dia telah menunai dan melaksanakannya. 

Dia juga menganggap sesiapa yang berada di luar jamaahnya sebagai kafir. Manakala sesiapa yang pernah berada di dalam jamaahnya, kemudian keluar, maka orang itu telah keluar daripada ikatan Islam. 

Dia juga enggan melakukan komproni atau kerjasama dengan mana-mana kumpulan atau jamaah lain. Dia tidak faham bahawa jamaah yang disebutkan di dalam hadis bermaksud keseluruhan ummat Islam yang lurus berada di atas syarak dan boleh menerima berbilang jamaah di dalamnya, bahkan boleh berlaku perselisihan pandangan dan aliran, selagimana ia berdasarkan latar belakang rujukan kepada sumber Islam yang utama.

 Di sini, kita tidak berkesempatan untuk menolak hujjah mereka semua secara terperinci. Kita hanya perlu memerhatikan beberapa perkara berikut:

 1. Hujjah yang mengatakan kewujudan pelbagai perkumpulan dalam amal Islami sekarang tidak bersandarkan kepada syarak adalah sesuatu yang masih boleh diperdebatkan. Kerana kumpulan (firqah) yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar kita menjauhinya sebenarnya ialah golongan jahat (al-sharr) sebagaimana dinyatakan sendiri oleh baginda melalui sabdanya sebelum itu yang bermaksud:

 “Para penyeru kepada pintu-pintu neraka. Sesiapa yang menerima ajakan mereka, maka mereka akan mencampaknya ke dalam neraka.” (Hadis muttafaq ‘alaih)

 Ketika berhadapan dengan situasi inilah, Rasulullah SAW memerintahkan agar kita mesti sentiasa bersama- sama dengan jama’at al-muslimin dan imam mereka. Baginda tidak memberikan kelonggaran dalam hal ini sekalipun ketika terpaksa mengasingkan diri sehingga mati.

 Imam al-Nawawi RH berkata: “Para ulama berkata: Mereka adalah dari kalangan para pemerintah yang menyeru kepada bid’ah atau kesesatan, seperti golongan al-Khawarij, al-Qaramitah dan para penfitnah.”

 Imam al-Shatibi RH berkata: “Firqah-firqah ini menjadi satu firqah kerana ia bercanggah dengan firqah yang mendapat keselamatan dari sudut agama dan prinsip syariat yang umum secara keseluruhan, bukan pada salah satu cabang agama. Kerana perselisihan pada cabang agama tertentu tidak boleh menyebabkan berlaku percanggahan yang mengakibatkan perpecahan seterusnya melahirkan pelbagai puak. Tetapi perpecahan hanya berlaku ketika berlaku perselisihan dalam perkara-perkara yang utama.”

 Jamaah-jamaah Islam yang ada pada hari ini, bukanlah sebagaimana bentuk di atas, kerana pada umumnya mereka bersepakat dan beriltizam dengan prinsip-prinsip utama yang dipegang oleh ahl al-sunnah wa al-jama’ah. Mereka juga berusaha menuju matlamat yang sama iaitu menegakkan agama serta memberikan kekuasaan kepada syariat Allah untuk berfungsi di atas muka bumi. Oleh itu, kesemua mereka sebenarnya berada di dalam satu jamaah. 

Perselisihan yang berlaku di antara mereka hanya terbatas kepada perselisihan dalam perancangan dan wasilah yang digunakan. Bukan perselisihan pada matlamat atau perkara yang menyentuh akidah.

 Manakala dakwaan yang membataskan konsep jama’at al-muslimin terhadap sesuatu jamaah tertentu juga adalah silap dan ia adalah dakwaan yang tidak mempunyai hujjah. Jama’at al-muslimin, sebagaimana disebutkan sebelum ini ialah majoriti ummat Islam. Manakala kumpulan-kumpulan yang ada walau dalam apa bentuk sekalipun, bukanlah mewakili seluruh ummat dan bukan juga kumpulan majoriti dari kalangan ummat. Bahkan ia hanyalah persatuan- persatuan yang ditubuhkan bagi membantu agama Islam melalui wasilah atau alat tertentu.

 Jadi bagaimanakah masih ada orang boleh mendakwa bahawa mereka adalah satu-satunya jama’at al-muslimin dan yang lain pula berada di dalam kesesatan?

 Kefahaman yang cetek ini sebenarnya mengundang bahaya yang besar, terutamanya apabila permusuhan menjadi menebal di kalangan puak-puak yang menjalankan amal Islami. Ketika itu, mengkafirkan orang lain dianggap sebagai perbuatan yang boleh menghampirkan diri kepada Allah. Setiap orang mentaqarrubkan dirinya kepada Allah dengan mengeluarkan saudaranya daripada Islam. Dia beribadah kepada Allah dengan memutuskan hubungan dengan saudaranya. 

Fitnah akan bertambah besar apabila permusuhan ini berpindah ke atas minbar umum dan apinya bergejolak menjulang di kalangan orang awam. Perkara minima yang akan berlaku akibat daripada situasi tersebut ialah orang ramai tidak lagi mahu melibatkan diri dalam semua amal Islami yang sudah hilang kehormatannya disebabkan perbalahan remeh temeh ini. 

Kumpulan-kumpulan tersebut kelihatan sebagai kumpulan yang saling berbunuhan dan saling mengeji di antara satu sama lain. Sepatutnya tenaga dan usaha yang ada pada mereka digunakan sebaiknya bagi melakukan dakwah kepada makhluk Allah, tetapi ia telah ditukar untuk mengkafirkan dan menfasiqkan orang lain, bahkan kadang- kadang digunakan untuk memukul dan membunuh juga!

 Jamaah-jamaah atau perkumpulan-perkumpulan tersebut, tiada satu pun daripadanya adalah jama’at al-muslimin. Oleh itu, ia bukanlah matlamat terakhir. Setiap satu daripadanya secara terasing tidak mewakili jama’at al- muslimin. Kesemuanya juga secara keseluruhan tidak mewakili jama’at al- muslimin. Oleh itu, tiada dakwaan boleh dilakukan bagi menganggap salah satu jamaah sebagai induk, manakala yang lain tidak demikian. 

Tiada sebarang masalah daripada kewujudan satu, dua atau tiga buah jamaah yang saling membantu dalam perkara kebajikan dan taqwa, selagimana ia adalah alat atau wasilah untuk membentuk dan membangunkan jama’at al-muslimin. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

 Perlu juga diketahui bahawa perkumpulan-perkumpulan itu lahir bagi menghadapi cabaran-cabaran tertentu yang dihadapi oleh ummat Islam pada kurun kedua puluh. Demikianlah yang diberitahu kepada kita oleh kajian pantas yang dilakukan terhadap sebab dan faktor pembentukannya. Jika inilah hakikatnya, maka perkumpulan-perkumpulan tersebut adalah bersifat saling menyempurnakan, bukan saling bercanggahan, dengan erti kesemuanya berada di dalam barisan atau saff yang sama. 

Setiap satu daripada perkumpulan tersebut menghadapi cabaran tertentu yang berbeza daripada yang dihadapi oleh perkumpulan yang lain. Maka tindakan yang betul ialah mengumpul dan menggabungkan, bukan saling berkonfrontasi. Keutamaan mungkin berubah mengikut keperluan dan cabaran semasa.

 Jika inilah hakikatnya, maka penentuan untuk terikat dengan mana-mana badan adalah terserah kepada kemampuan individu yang mahu memberikan tenaganya demi mencapai matlamat yang dicitakan, tanpa memandang kepada nama, hakikat sesuatu kumpulan, tokoh dan badan tertentu. Jika ada seorang individu yang boleh memberikan tenaganya secara maksima ketika dia melakukan amal Islami secara sendirian, maka dipersilakan… Manakala jika ada seorang individu yang boleh mengerahkan seluruh tenaganya hanya ketika dia bergabung di dalam mana-mana kumpulan, maka hendaklah dia menggabungkan dirinya ke dalam kumpulan tersebut… 

Barang siapa yang mendapati dirinya dapat menyumbang melalui persatuan-persatuan kebajikan masyarakat dan institusinya, maka dia hendaklah bersegera untuk menyertainya… Masing-masing tidak boleh menafi dan mencela peranan yang dimainkan oleh orang lain.

Comments
2 Comments

2 comments :

Anonymous said...

Salam.

Sebenarnya kalau nak mempertabatkan Islam ada berbagai cara tak semesti melalui Pas atau mana mana parti politik. Tidaklah boleh kita kata ahli umno tidak berusaha kearah itu atau Pas lebih Islam.

Semuanya terpulang pada hati dan niat individu. Mana mana kerajaan yang mempertabatkan agama Islam dikira sebagai negara Islam, walaupun tiada hukum hudud.

Semua manusia tidak akan terlepas dari ujian termasuk ahli agama. Banyak yang lulus dan banyak juga akan gagal. Adalah lebih malang bagi mereka yang mempergunakan agama untuk kepentingan keuntungan sendiri.

Ada 2 perkara yang laris untuk dijaja...bangsa dan agama dari sejarah ribuan tahun.

Tiada umat islam yang beriman yang berani menolak hudud. Tetapi cara dan bentuknya yang sahaja dipertikaikan...termasuk dipertikaikan oleh ahli Pas.

Pada pendapat memperjuangkan kemungkaran adalah sama pentingnya kalau tidak lebih penting dari hudud mengikut keadaan semasa di Malaysia.

Ahli Pas, Pakatan atau sebahagian umat Islam di Malaysia berpendapat adalah lebih baik Pas dan Pakatan menguasai pentadbiran negara dahulu..sebab ini adalah lebih mudah untuk promote agenda Pas. Lihat sahaja bagaimana BN melakukannya dengan GST......hebat dan berjaya.....dah kurang pun orang bercakap tentang GST.....dah terima.

Banyak isu tidak jelas dikalangan bukan islam mahu pun islam. Tiada negara yang boleh ditadbirkan dengan 2 sistem perundangan yang berlainan. Mereka tidak boleh mengatakan hudud hanya untuk Islam dan tiada kena mengena dengan bukan Islam.

Sebagai contoh sekiranya mangsa adalah bukan Islam dan penceroboh, pencuri atau perogol adalah umat Islam. Mungkin mangsa tidak bersetuju dengan cara pengadilan yang menolak penggunaan dna, sains dan standard saksi di mahkamah sekular.....ini semua hendaklah diterangkan dan didik.

Begitu juga penerangan tentang takzir selain 
Hudud bagi kes kes yang tidak menepati piawai beban saksi yang berat bagi Hudud.

Juga penjelasan kebaikan hudud seperti pihak Kerajaan terpaksa menggantikan atau memberi pampasan 2x ganda dari apa mangsa kerugian dan banyak lagi.

Matlamat dan objektif Hudud sebagai tools untuk membendung /menguruskan kemungkaran masyarakat dan bukan lah sebagai ultimate punishment. Ini semua hendaklah di perjelaskan.

Apa yang Pas dah lakukan sepanjang 61 tahun berjuang dan mencanang Hudud ini dari utara ke selatan tanahair dan sabah sarawak?

Mungkin ada tapi tak pernah diketengahkan. Adakah buku-buku, kertas putih(white paper), website dan sessi atau bengkel bengkel penerangan kepada masyarakat atau dialog; Islam dan bukan Islam, NGO, parti politik lawan atau kawan.
Saya rasa ahli Pas pun tak faham.

Saya meletakkan kegagalan ini serta kegagalan mendisplinkan anggota sehingga Pas berpecah ini diatas bahu pemimpin iaitu TGHH seperti juga PM Najib bagi BN.

Saya tidak berparti tetapi telah mengundi calon Pas pada 2 pilihanraya lepas(bukan kawasan YB) atas dasar dasar Pakatan Rakyat. Saya menyokong YB Khalid dan saya rasa YB Khalid cemerlang dalam melaksanakan tugas YB selama ini dan mendapat penghormatan rakyat Malaysia amnya.

P.S. diatas adalah comment saya pada blog YB Khalid Samad.

Anonymous said...

macamana pulak dengan pemimpin jamaah yang tidak amanah? tidak jujur?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...