KELANTAN

KELANTAN
TABUNG BANJIR KELANTAN

SUMBANGAN DANA

SUMBANGAN DANA
HARD TALK

Tuesday, June 09, 2015

USUL MEMUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN DAP - ADAKAH MUKTAMAD ATAU SEBALIKNYA?

Pada Rabu bertarikh 03/06/2015 Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) telah meluluskan suatu usul tergempar memutuskan hubungan PAS dengan rakan tahaluf DAP. Usul tersebut kemudiannya dibawa ke Muktamar Tahunan PAS Pusat yang bermula pada 04/06/2015 sehingga 06/06/2015.

 Pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Pusat, telah diumumkan bahawa usul daripada DUPP tersebut telah diterima tanpa bahas. Ekoran penerimaan usul tersebut tanpa bahas, Tuan Haji Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan di dalam Muktamar bahawa beliau mengambil keputusan meletakkan semua jawatan yang dipegangnya di dalam GLC di Pulau Pinang. 

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Hj Mustafa Ali bagaimana pun menjelaskan bahawa walau pun usul tersebut telah diterima tanpa bahas, ianya masih belum muktamad kerana perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai kuasa pemutus dalam hal berkaitan hukum. Kata Dato’ Hj Mustafa Ali, “kita masuk dengan hukum maka kita keluar juga dengan hukum”. Keadaan tersebut telah menyebabkan kekeliruan di kalangan para pemimpin PAS dan juga ahli-ahli PAS di seluruh Malaysia.

 Sebelum ini saya telah menulis berkaitan kekuasaan tertinggi di dalam PAS. Hari ini saya ingin mengulas khusus berkaitan usul DUPP yang telah diterima tanpa bahas tersebut dari sudut Perlembagaan PAS. Ia juga akan melibatkan kedudukan kekuasaan tertinggi di dalam PAS.

 Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dengan jelas terang lagi nyata memperuntukkan bahawa kekuasaan tertinggi di dalam PAS ialah Muktamar Tahunan PAS. Fasal 7 (1) menyatakan seperti berikut :-

 Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan 

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

 Jangan ada pihak yang keliru antara hukum tertinggi dengan kekuasaan tertinggi. Hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias. Keempat-empat sumber ini adalah rujukan hukum tertinggi di dalam PAS. Walau bagaimana pun kekuasaan tertinggi ialah Muktamar Tahunan PAS. Apa saja keputusan yang diputuskan di dalam Muktamar Tahunan PAS adalah keputusan tertinggi yang mana ianya mengikat seluruh badan-badan di dalam PAS dan seluruh ahli PAS.

 Fasal 7 (2) Perlembagaan PAS pula menyatakan bahawa dengan tertakluk kepada hukum tertinggi PAS iaitu Al-Quran, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar. 

Fasal 7 (2) Perlembagaan PAS memperuntukkan seperti berikut :-

 (2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuarat Agung PAS.

 Fasal 7 Perlembagaan PAS ini jelas bahawa kekuasaan tertinggi PAS ialah Muktamar Tahunan PAS dan tidak ada kuasa lain yang lebih tinggi daripada Muktamar. Justeru apabila Muktamar memutuskan bahawa usul DUPP diterima tanpa bahas, maka usul tersebut adalah muktamad. Badan-badan di dalam PAS samada ianya Majlis Syura Ulamak (MSU), Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP), Dewan-Dewan dan seluruh ahli tertakluk kepada keputusan tersebut. Badan-badan di dalam PAS hanya boleh berbincang dan memutuskan bagaimana usul tersebut hendak dilaksanakan bukannya menangguhkan atau membatalkan usul. Usul tersebut menyatakan bahawa hubungan PAS dengan DAP diputuskan maka hubungan PAS dengan DAP secara keseluruhannya terputus. Tidak ada istilah putus di sana tetapi di sini tidak. Itu jelas di dalam usul iaitu putus hubungan dengan DAP.

 Kenyataan atau penerangan Setiausaha Agung PAS bahawa usul tersebut belum muktamad kerana masih tidak mendapat persetujuan atau masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) adalah suatu kenyataan yang khilaf dan bertentangan dengan peruntukkan Perlembagaan PAS.

 Perlu diambil perhatian bahawa kewujudan MSU juga adalah atas keputusan Muktamar Tahunan, malah kewujudan PAS juga adalah di atas keputusan Muktamar Tahunan. Tiada mana-mana pihak yang besar dan lebih berkuasa daripada Muktamar Tahunan. Ini jelas diperuntukkan lagi di Fasal 87 Perlembagaan PAS. 

 Fasal 87. Cara Memansuhkan PAS

 PAS ini tidaklah boleh mansuh atau bubar melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripad ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut.

 Fasal 87 menyatakan bahawa Muktamar boleh memansuhkan atau membubarkan PAS. Ini jelas bermaksud bahawa bukan sahaja MSU berada di bawah kekuasaan PAS, malah PAS itu sendiri adalah di bawah kekuasaan Muktamar Tahunan kerana dengan Muktamar PAS boleh dimansuhkan dan dibubarkan. Jika PAS boleh dimansuhkan atau dibubarkan oleh Muktamar, maka begitu juga Muktamar boleh memansuhkan MSU atau mana-mana badan di dalam PAS.

 Kenapakah Muktamar Tahunan PAS merupakan kekuasaan tertinggi selain daripada peruntukkan Perlembagaan yang jelas di atas?

 Jawapannya kerana Muktamar Tahunan PAS itu diwakili oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam PAS bermula daripada perwakilan Kawasan-Kawasan, Perwakilan Negeri-Negeri, perwakilan Dewan-Dewan, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan MSU. Semua pihak di dalam PAS terlibat di dalam Muktamar Tahunan PAS. Ini dengan jelas diperuntukkan di dalam Fasal 18 (2) Perlembagaan PAS.

 Fasal 18 (2)

 (2) Muktamar Tahunan dan/atau Khas PAS itu adalah mengandungi ahli-ahli yang berikut:

1. Pengerusi Tetap dan Timbalannya. 
2. Ahli-ahli Majlis Syura „Ulamak dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. 
3. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan. 
4. Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan, dan jika sekiranya dia tidak dapat hadir sendiri maka hendaklah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Kawasan itu diwakili dengan bersurat oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu. 
5. Tidak kurang dari empat orang dan tidak lebih dari sepuluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan tiap-tiap Kawasan yang telah menunaikan yuran tahunannya bagi tahun itu ke Pejabat Agung dengan tertakluk kepada Fasal 19(5). 
6. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat. 
7. Dua puluh orang wakil daripada diangkat oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, dan 
8. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat. 

 Jelas bahawa Muktamar Tahunan PAS disertai oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam PAS. Justeru apabila usul diterima tanpa bahas, ini bermakna seluruh anggota Muktamar Tahunan telah bersetuju dengan usul tersebut dan usul tersebut adalah muktamad. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengubah usul tersebut melainkan dilakukan melalui Muktamar juga. Adakah usul yang telah diterima tanpa bahas tersebut perlu dirujuk kepada MSU untuk pengendorsan atau kelulusan?

 Jawapannya jelas tidak perlu kerana semasa usul diterima tanpa bahas di dalam Muktamar, MSU juga terlibat berada di dalam Muktamar. Seluruh ahli MSU berada di atas pentas bersama-sama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

 Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap boleh ditarik balik tetapi terlajak meluluskan usul di Muktamar, hanya Muktamar yang boleh menarikbalik.

 Sepatutnya apabila usul diluluskan oleh DUPP pada 03/06/2015, usul tersebut dibawa atau dirujuk kepada MSU terlebih dahulu. Apabila MSU berbincang, berbahas dan meneliti baik buruk serta hukum hakamnya barulah diangkat kepada Muktamar Tahunan untuk diputuskan. 

 Perlu diambil perhatian bahawa usul tersebut diusulkan oleh DUPP yang mana di dalamnya ada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan seluruh ulamak hebat di dalam PAS. Apabila DUPP yang dianggotai oleh seluruh ulamak sudah bersetuju meluluskan usul tersebut, adakah munasabah MSU yang hanya dianggotai oleh seramai 17 orang ahli boleh menafikan kelulusan DUPP? Apabila usul tersebut diluluskan oleh DUPP yang mana di dalamnya ada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Ketua DUPP serta beberapa ahli MSU yang lain, adakah munasabah mereka yang meluluskan di DUPP akan mengubah tindakan mereka apabila mereka bertindak sebagai ahli MSU? 

 Di sana mereka luluskan, tiba-tiba di sini mereka hendak batalkan atau tangguhkan?9 Sebenarnya tindakan menerima usul DUPP tanpa dibahaskan oleh Muktamar Tahunan adalah suatu tindakan paling bodoh yang pernah dilakukan. Sekarang masing-masing menjadi seperti gila talak. Lafaz cerai telah dikeluarkan tetapi masih ingin tinggal serumah.

 Sewajarnya usul tersebut dibahaskan di dalam Muktamar di mana perwakilan kawasan, perwakilan negeri, perwakilan dewan-dewan sehingga perwakilan MSU diberikan laluan untuk berbahas dan seterusnya mengundi untuk dibuat keputusan. Muktamar Tahunan adalah SYURA terbesar di dalam PAS. Sepatutnya syura terbesar ini dijadikan medan menentukan hala tuju parti bukannya sekumpulan manusia yang berasa cerdik tapi tidak cerdik yang mencorak perjalan parti. Siapa yang membuat keputusan meluluskan usul tanpa bahas? 

 Bukan Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar tetapi atas arahan seseorang. Pengerusi Jawatankuasa Usul seperti yang dimaklumkan oleh beliau di dalam Muktamar, bahawa beliau hanya menjalankan tugas tetapi ada orang lain yang mengarahkannya.

 Ya betul, Pengerusi Jawatankuasa Usul juga bersalah kerana mengikut arahan buta tuli tapi orang yang mengarahkan itu lebih utama dipersalahkan. Siapa? Mereka lebih mengetahui.

 Sekarang hubungan PAS dengan DAP telah muktamad diputuskan. Tidak ada putus di Pulau Pinang tetapi tidak di Selangor, tidak di negeri-negeri lain. PUTUS. Tindakan Tuan Haji Mohamad Sabu dan Dato’ Dr Mujahid Yusuf adalah bertepatan dengan usul. Sekarang kita menunggu tindakan para pimpinan PAS di Pulau Pinang yang lain meletakkan jawatan. Begitu juga di Selangor.

 Perlembagaan PAS Fasal 16 (3)(b) menyatakan bahawa ahli-ahli PAS hendaklah melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus. Keputusan Muktamar Tahunan adalah yang tertinggi parti, justeru seluruh ahli wajib patuh keputusan tersebut.

ZULHAZMI SHARIFF 
08062015
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...