GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Monday, July 20, 2015

Mujahid anggap sertai GHB keputusan paling sukar dalam hidup Ahli Parlimen PAS

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganggap keputusannya melancarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) bersama pemimpin progresif lain dari parti itu awal minggu ini sebagai paling sukar dalam hidupnya.

 Titik perubahan dalam dunia politiknya itu mungkin menyaksikan beliau meninggalkan parti Islam itu dan menjadi anggota pengasas sebuah pertubuhan politik baharu bersama rakan-rakan yang "dipinggirkan".

 "Ia keputusan yang paling sukar dalam hidup saya. Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam politik PAS. Ibu saya mengandungkan saya apabila bapa saya berkempen di Perlis pada tahun 1964.

 "Apabila saya dilahirkan pada 25 Oktober tahun itu, bapa saya terpaksa mencari nama yang mencerminkan cabaran yang beliau lalui. Sebab itu saya dinamakan Mujahid, maksudnya seorang pejuang yang tidak berputus asa.

 "Saya mesti menghidupkan nama saya dengan kesukaran yang saya hadapi. Ia membentuk diri saya sekarang," katanya kepada The Malaysian Insider.

 Mujahid, 50, dan pemimpin PAS progresif lain disingkirkan kumpulan konservatif dalam pemilihan parti awal bulan lalu.

 Penyingkiran itu, katanya, membuatkan mereka sedar, parti itu tidak berpegang teguh kepada prinsip Islam dan menerima pakai kefahaman agama yang jumud, menjauhkan mereka yang ingin mengetahui Islam dengan lebih mendalam.

 "Hari ini, di dunia sekarang, Islam dianggap pengganas, agama yang mundur dan konservatif, seperti apa yang Isis (Negara Islam Syria dan Iraq) lakukan.

 "Menjadi tanggungjawab kita membetulkan persepsi dan realiti. Itulah yang kami cuba lakukan dengan Harapan Baru ini," katanya, merujuk kepada parti baharu yang beliau dan rakan-rakan progresif sedang pertimbangkan.

 Mereka berharap parti baharu itu akan menjadi parti Islam alternatif kepada PAS dan seterusnya membawa kepada penubuhan pakatan pembangkang baharu menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang terkubur selepas PAS putus hubungan dengan DAP pada muktamar lalu.

 Mujahid berkata, mereka mahu membawa imej Islam yang berlainan melalui parti baharu itu bagi menunjukkan ia agama keamanan, kasih sayang dan belas kasihan, serta meraikan kepelbagaian.

 "Ia satu perjuangan yang besar, bukan hanya mengenai sekumpulan pemimpin yang hilang kedudukan mereka. "Jika anda tanya sama ada saya akan memilih parti atau menyelamatkan Islam, maka saya memilih menyelamatkan Islam. Parti politik datang dan pergi tetapi Islam itu kekal."

 Mujahid berkata, keluarganya menyokong tindakannya kerana mereka juga melihat PAS kini berubah. "Ketika arwah bapa masih ada, dia memberitahu abang dan kakak saya supaya sentiasa menyokong saya kerana saya satu-satunya yang mengikuti jejaknya dalam politik.

 "Salah seorang kakak saya menyertai sayap Muslimat PAS... Tentunya, dia juga digulingkan pada muktamar lalu.

 "Itulah yang paling menggembirakan... mempunyai keluarga di belakang kita, mereka yang menyokong kita dan mempercayai kita. Adik-beradik saya percaya adik lelaki mereka ini tidak akan melakukan perkara yang bodoh," katanya mengenai 10 abang dan kakaknya.

 Arwah bapa Mujahid, Yusof Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yusof Rawa, merupakan bekas timbalan menteri, bekas duta ke Afghanistan, Turki dan Iran, bekas presiden PAS dan mursyidul am pertama parti itu.

 Mujahid menyertai PAS pada 1992 selepas pulang ke Pulau Pinang dari Mesir. Beliau kemudian berpindah ke Melaka, di mana beliau menjadi seorang pensyarah, dan tidak lama kemudian mula berminat secara serius dengan parti.

 Beliau meninggalkan dunia akademik untuk menjadi ahli politik sepenuh masa pada 1999, bertanding kerusi Parlimen Jasin. Beliau kalah sekali lagi pada pilihan raya umum 2004 apabila bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Tetapi, beliau berusaha sendiri dari bawah. Beliau berkata, bantuan yang diberikan ayahnya hanya dalam bentuk kata-kata nasihat – satu-satunya cara untuk naik ialah dengan membuktikan kemampuan dirinya, jangan meminta apa-apa dari parti dan serahkan segalanya kepada Tuhan.

 Mujahid tidak lama kemudian berjaya ke peringkat jawatankuasa kebangsaan Pemuda PAS sebelum men ganggotai jawatankuasa kerja PAS Pusat pada 2005 dan ditugaskan mengendalikan biro perpaduan negara. Beliau menubuhkan Kongres Penyokong bukan Islam PAS dan terus mempromosikan parti dan menggalakkan orang ramai lebih memahami Islam dalam sebuah negara berbilang kaum.

 Mujahid juga membentuk slogan "PAS Untuk Semua" bagi parti itu pada pilihan raya umum 2013, yang melembutkan imej keras parti Islam itu dan mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

 Mujahid juga dikenali dengan kerja-kerja antara agama, terutama kejayaannya berbincang dengan gereja dan orang Kristian walaupun terdapat ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam berhubung isu kalimah "Allah".

 "Parti mendapat manfaat daripada usaha itu tetapi akhirnya, PAS berhenti menghala ke jalan yang betul. "Saya cuba menggalakkan amalan yang melibatkan agama lain melalui dialog dan saling menghormati antara semua agama, tetapi bagi PAS, ia seolah-olah idea yang pelik.

 "Tidak ramai yang menyokong dan terdapat cakap-cakap yang kami menjadi sebahagian agenda Kristian, yang kami berkawan dengan musuh Allah. Semua ini teori konspirasi.9 "Ia menyukarkan kerja saya tetapi saya teruskan juga dan oleh kerana itu, saya dilabel liberal dan seorang yang pro-Kristian."

 Mujahid berkata beliau tidak akan membuat keputusan drastik menerajui GHB jika tidak ada satu pasukan pemimpin PAS yang berfikiran serupa dengannya dan ahli akar umbi yang tidak berkenan dengan apa yang terjadi dengan PAS kini.

 Jelajah seluruh negara mereka, katanya, dibincangkan di kalangan ahli PAS dan ada yang bertanya bagaimana bekas timbalan presiden parti seperti Mohamad Sabu boleh ditendang keluar selepas begitu banyak pengorbanan yang dilakukannya.

 "Di Johor, 80% daripada akar umbi bersama kami kerana mereka tidak suka dengan keadaan sekarang. Kongres Penyokong PAS, yang merupakan idea saya, akan menyertai kami. Banyak lagi akan turut serta." Di tengah-tengah perkembangan ini, Mujahid berkata, kehidupan diteruskan seperti biasa di kawasan Parlimennya, Parit Buntar, di mana pengundi lebih mementingkan sama ada beliau akan dapat meluangkan masa untuk mereka atau tidak.

 "Mereka tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku, selagi mereka lihat anda sebagai seorang yang baik dan wakil rakyat yang boleh memenuhi permintaan mereka. Mereka hanya akan risau dan sedih kalau kita tak hadir jemputan mereka untuk puasa berbuka atau kenduri."

 Seperti pemimpin progresif lain, Mujahid juga sibuk bercakap dengan orang ramai di seluruh negara mengenai Gerakan Harapan Baru dan tidak dapat mengadakan sebarang acara antara agama mutakhir ini. Katanya, selepas beliau tewas pada pemilihan parti, Biskop Pulau Pinang Sebastian Francis memberitahu beliau dalam mesej teks yang beliau akan mendoakannya dan Mujahid harus meneruskan kehidupan.

 "Hubungan (antara kami) masih aktif," katanya, sambil berjanji kerja-kerja antara agamanya akan diteruskan dan ia seharusnya menjadi lebih mudah dalam parti baru mereka itu dengan rekodnya sebelum ini bersama komuniti berlainan agama. – 19 Julai, 2015.themalaysianinsider
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...