GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, July 28, 2015

Pembangkang desak Muhyiddin dan ahli Parlimen BN tubuh kerajaan peralihan

Tanpa disertai PAS, pemimpin pembangkang dari PKR, DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) hari ini mendesak bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) supaya menubuhkan sebuah kerajaan peralihan.

 Pengerusi pro-tem GHB Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kerajaan peralihan itu dicadangkan ditubuhkan selepas Dewan Rakyat bersidang pada sesi akan datang iaitu pada Oktober.

 Katanya, ia wajar disokong dengan empat terma rujukan yang khusus, termasuk dengan melantik seorang "perdana menteri interim" daripada kalangan pemimpin terkanan dalam negara.

 Perdana menteri interim ini diharap boleh memainkan peranan bagi tempoh satu tahun sehingga pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan, kata Mat Sabu pada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini. 

"Terma kedua ialah dengan melakukan reformasi terhadap institusi-institusi penting bagi memastikan PRU14 berjalan dengan adil dan keluhuran perlembagaan dan undang-undang dikembalikan.

 "Terma ketiga ialah perlunya diadakan rombakan terhadap dasar-dasar ekonomi yang menindas rakyat.

 "Manakala terma terakhir ialah dicari penyelesaian kepada skandal-skandal utama negara termasuk syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan matlamat memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.

 Mengulas desas-desus Muhyiddin akan disingkirkan dari Kabinet seperti laporan The Malaysian Insider pagi ini, Mat Sabu yang bercakap sebelum pengumuman mengenai rombakan Kabinet dibuat perdana menteri mengatakan, bekas timbalan perdana menteri itu perlu menyokong usaha ke arah kerajaan peralihan tersebut.

 "Sudah sampai masanya beliau dan kumpulannya, serta ahli-ahli Parlimen BN yang lain, yang cintakan negara, menyokong satu usaha menubuhkan kerajaan peralihan melalui satu undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib Razak," katanya.

 Mat Sabu turut menasihatkan supaya Muhyiddin bersabar dan tenang dalam menghadapi dugaan yang dilalui serta menjemput beliau menjadi sebahagian daripada GHB.

 Sementara itu, setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua dan naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata, waktu ini ialah saat yang kritikal bagi negara ini dan kerajaan peralihan ini sangat penting untuk menyelamatkan negara. 

"Kami sedang mencari penyusunan semula baru bagi pihak kuasa-kuasa progresif, untuk menyelaraskan semula negara ini," kata Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara. – 28 Julai, 2015. ~ themalaysianinsider
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...