GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Saturday, July 04, 2015

Sumber kami kukuh, kata WSJ pertahan laporan mengenai Najib

Walaupun dinafikan perdana menteri, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) tampil mempertahankan laporannya semalam yang mendakwa berbilion ringgit dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, dengan berkata ia bersandarkan maklumat siasatan dan dokumen kukuh.

 Bercakap kepada CNBC, Ken Brown, ketua biro WSJ di Hong Kong, berkata pihaknya sangat cermat sebelum menerbitkan laporan itu memandangkan ia melibatkan seorang ketua kerajaan.

 "Kami amat berhati-hati dan kami percaya dokumen yang ada pada kami adalah kukuh dan bersumberkan siasatan yang boleh dipercayai, bukan siasatan berniat politik.

 "Ia merupakan laporan penting dan kami serius mengenainya.

 "Bila-bila ada ketua sesebuah negara... atau ada bukti menunjukkan wang dimasukkan ke akaun, akaun peribadi, dan berkait urusan kerajaan, ia menjadi penuh drama," Brown memberitahu CNBC.

 Tambahnya, dokumen yang ada padanya sudah dilihat Peguam Negara dan juga perdana menteri sendiri.

 Ditanya mengenai respons Pejabat Perdana Menteri (PMO), Brown berkata ia cuma menjawab perdana menteri tidak menggunakan sebarang dana bagi tujuan peribadi.

 "Dan mereka menuduh musuh politik mereka yang mencipta cerita ini bagi menyerangnya.

 "Begitu juga kenyataan mereka terhadap laporan kami mengenai 1MDB sebelum ini, mengenai cara dana syarikat itu digunakan oleh perdana menteri dalam kempen pilihan raya yang lepas, jadi reaksinya sama," kata Brown.

 Ditanya sama ada beliau tahu sumber dana tersebut, Brown berkata pihaknya "tahu apa yang mereka tahu", sambil menambah sebahagian dana berasal daripada sebuah unit Kementerian Kewangan, manakala sebahagian lagi menerusi sebuah bank swasta yang ada kaitan dengan Abu Dhabi, yang menurut Brown mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan menyokong bon 1MDB.

 "Ke mana perginya wang itu, kami tidak tahu. Aliran yang ada pada kami berakhir di akaun bank yang padanya ada nama perdana menteri."

 Semalam, PMO menyifatkan pendedahan WSJ itu sebagai sabotaj politik dan usaha segelintir individu mahu menghancurkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, memburuk-burukkan kerajaan dan menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

 Dalam laporan mereka semalam, WSJ dan laman Sarawak Report memetik dokumen siasatan 1MDB yang dijalankan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa Peguam Negara sedar mengenai maklumat itu.( baca di sini )

 Dokumen berkenaan menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB sebelum akhirnya masuk ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

 Ia juga menunjukkan transaksi terbesar bernilai AS$620 juta, manakala sebuah lagi akaun menerima AS$61 juta pada Mac 2013, 2 bulan sebelum pilihan raya umum dijalankan. – 4 Julai, 2015. - themalaysianinsider
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...