GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Sunday, August 09, 2015

Wang besar, kes besar, SPRM tersasar?

Oleh Azlan Sharif 

Tidak! Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tersasar, sasarannya tepat, peluru ditembak dan mengena sasaran tetapi malangnya tidak boleh diambil!

 Ada “the untouchable” yang menjaga melindungi sasaran yang ditembak mengena secara “caught-red-handed”.

 Wan Noor Hayati Wan Alias wartawan yang membongkar kes rasuah besar yang melibatkan wang besar sejak 2014 juga menerima berbagai ugutan, ancaman, tekanan, sekatan dan gangguan supaya kes rasuah besar ini tidak dilaporkan dalam media. Tidak ada apa yang mampu dilakukan wartawan untuk melaporkan hasil siasatan selanjutnya.

 Jika media menerima tekanan dan ugutan itu biasalah kerana semua maklum belum ada lagi kebebasan media di Malaysia ini. Kerajaan sendiri yang menyekat kewartawanan daripada menjadi satu profesion yang profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.

 Tetapi apabila SPRM sendiri menerima tekanan, gangguan dan ugutan, itu langsung tidak boleh diterima. Tersiratnya bermakna ada yang lebih berkuasa daripada Duli Yang di-Pertuan Agong kerana pesuruhjaya SPRM adalah diperkenankan oleh Agong.

 Salah satu contoh kes besar yang dibongkar oleh Wan Noor Hayati ialah warganegara ekspres, di mana kewarganegaraan dijual kepada warga asing dengan bayaran mencecah RM1.3 juta ringgit seorang! Bayangkanlah jika bilangannya mencecah 5 juta orang?

 Jika RM1 juta seorang bermakna mendapat RM5,000,000,000,000,000,000.00 (dengan 18 kosong).

 Jika paling murah RM10 ribu seorang, bermakna mendapat RM50,000,000,000,000.00 (dengan 13 kosong).

 Memang wang besar! Dan itu tidak termasuk lagi yang masih “haram” berjuta lagi yang berkeliaran dalam negara.9 Dan belum lagi 1.5 juta orang Bangladesh yang hendak dibawa masuk oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mulai tahun hadapan!

 Adakah ini tuduhan fitnah? Sudah tentu tidak. Mengambil contoh Sabah sahaja, seperti yang didedahkan tahun lepas dan baru-baru ini, majoriti penduduknya sekarang adalah warga asing pendatang Filipina dan Indonesia, bukan lagi Kadazan Dusun.

 Dalam satu operasi di Sabah baru-baru ini SPRM berjaya menangkap sindiket warganegara ekspres ketika sedang melakukan urus niaga. Tiga orang ditangkap berserta peralatan yang digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Pelanggan berbangsa Cina bersetuju membayar RM1.3 juta.

 Apa jadi dengan kes tersebut? Sehingga tulisan ini, ia senyap begitu sahaja. Tahanan dilepaskan, pegawai penyiasat ditukarkan, bahan bukti dan sebagainya. Sesuatu yang pelik bunyinya?

 Adakah itu kegagalan SPRM? Sudah tentu tidak tetapi tonto-tonto “the untouchable” di belakang sindiket sudah mendoktrinkan persepsi kegagalan SPRM.

 SPRM sudah berjaya melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawabnya. Peringkat terakhir untuk mendakwa di mahkamah adalah terletak di tangan peguam negara.

 Boleh kata AG negara, bolehlah. Tak boleh kata AG tak bolehlah. Sehingga kini sprm masih tidak ada kuasa untuk terus mendakwa ke mahkamah, walaupun telah diminta sekian lama.

 Warganegara ekspres ini jelas dan terbukti melibatkan rasuah wang besar. Orang awam tak tahu pun nak menyebut berapa ringgitnya yang ada 18 kosongnya. Milion? Bilion? Trilion? Zilion? Quadrimilion? Quadribilion? Entahlah!

 Tapi orang awam tahu, dengan wang besar sebanyak itu semuanya boleh dibeli. Jika diberi RM1 juta seorang kepada semua 30 juta rakyat Malaysia, baru berjumlah RM30 trilion.

 RM500 beli undi pun sudah terjual. 30 juta rakyat baru RM15,000,000,000.00 iaitu RM15 bilion.

 Wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan hilang itu sahaja sudah AS$42 bilion atau RM163,800,000,000.00 iaitu hampir RM164 bilion.

 Isu besar, kes besar, melibatkan wang besar maka lebih besarlah halangan yang dihadapi SPRM. Persepsi negatif yang didoktrinkan selama ini seperti SPRM hanya menangkap ikan bilis sahaja tetapi melepaskan jerung, berjaya diterima benar oleh masyarakat kerana mereka tidak mengetahui duduk perkara ini.

 Setelah kebenaran apa yang sebenarnya dilakukan oleh SPRM diketahui, dengan sebab musabab tindakan polis menyerbu SPRM ini, barulah pihak yang skeptikal sebelum ini seperti pembangkang menunjukkan sokongannya kepada SPRM.

 Dalam menghadapi cabaran seperti dalam contoh di atas, SPRM memerlukan sokongan daripada semua pihak terutamanya seluruh rakyat Malaysia. Apa yang dilakukan oleh SPRM adalah untuk rakyat.

 Jika rakyat tak nak, setakat itu sahajalah SPRM. Jika rakyat nak, berilah kekuatan kepada SPRM dengan menyatakan sokongan anda mendaftar di Facebook “Rakyat Bersama SPRM”. – 8 Ogos, 2015.~ themalaysianinsider
 * Penulis adalah aktivis masyarakat. 
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...