GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Monday, September 07, 2015

Isu Baiah: Apa niat presiden PAS sebenarnya?

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

Saya mendengar dan menonton rakaman video ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Had Awang mengenai isu baiah yang melibatkan Dr Mohd Hatta Ramli.

 Selepas mendengar dan mengamati beberapa kali ucapan beliau tersebut nampaknya wujud jalan keluar bagi isu kesan baiah tersebut yang mengandungi satu hukuman (Iqab) yang amat keras iaitu penceraian talak 3 ke atas pihak yang berbaiah sekali gus menghukum juga pihak ke-3 yang bukan menjadi pihak dalam baiah tersebut iaitu isteri ahli Parlimen dan sudah tentu juga dirasai kesannya oleh anak-anak beliau.

 Ada 2 perkara menarik daripada kenyataan presiden PAS tersebut yang menimbulkan tanda tanya.

 Pertamanya, beliau menukilkan pendapat ketua hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang mengatakan jatuhnya talak 3 kesan daripada baiah tersebut dan berkemungkinan Mahkamah Syariah Kelantan akan "'ligan"(kejar ) Dr Hatta untuk dibawa ke Mahkamah Syariah Kelantan. Walaupun presiden PAS tidak secara jelas menyatakan sokongan atas apa yang dikatakan oleh ketua hakim tersebut, namun sikap Hadi yang tidak sama sekali mengkritik tindakan seorang hakim yang mendahului menjatuhkan hukum sebelum pihak yang dihukum itu dibawa ke mahkamah menimbulkan persoalan adakah presiden PAS merestui kaedah dan bentuk keadilan sebegitu?

 Bukankah prinsip sub judice (tidak mendahului menjatuhkan hukum) adalah satu prinsip asas dan fundamental dalam sistem keadilan Islam yang sudah tentu presiden sebuah parti Islam yang berstatus ulama sepatutnya ke depan mempertahankan prinsip keadilan Islam itu?

 Keduanya, presiden PAS juga nampaknya bersetuju di sana wujudnya jalan keluar bagi mengelakkan kesan baiah yang keras itu iaitu dengan pihak PAS boleh membuat keputusan memecat Dr Hatta sekali gus kesan baiah tersebut tidak lagi wujud dan terpakai.

 Sudah tentu ini kaedah terbaik yang PAS patut lakukan demi menyelamatkan satu rumah tangga yang dibina sekian lama, dengan andaian baiah itu sendiri bukan baiah yang laghah.

 Sudah tentu jika baiah itu sendiri diputuskan laghah, saranan presiden Pas itu tidak lagi relevan. Mengambil kira wujudnya pelbagai pendapat tentang kesahihan baiah itu, sudah tentu mencari jalan keluar daripada masalah pertikaian tersebut (al-khuruj min khilaf ) adalah satu cara yang baik yang ulama anjurkan dalam situasi sebegitu.

 Persoalannya mengapa PAS atau presidennya enggan mengambil atau memilih jalan keluar itu demi menyelamatkan satu rumah tangga seseorang?

 Keengganan PAS atau presidennya menawarkan formula jalan keluar itu dengan memecat Dr Hatta mengundang spekulasi liar bahawa dendam menjadi asas kepada keengganan parti Islam tersebut. Di manakah Islam sebagai Rahmat yang PAS selalu canangkan selama ini?

 Bukankah Allamah Ibnu Al Qayyim menyatakan: "Syariah itu adil keseluruhannya, Rahmat keseluruhannya, hikmah ( wisdom ) keseluruhannya, maslahah keseluruhannya dan mana-mana perkara yang keluar daripada prinsip keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari maslahah kepada kerosakan dan daripada hikmah kepada sia-sia ia bukanlah syariah meskipun kita cuba masukkan ia dalam kategori syariah."

 Saya tertanya, adakah ketika mana isu baiah ini dihebohkan serata dunia , adakah kita sedang tonjolkan syariah yang sebenarnya atau bagaimana?

 * Mohamed Hanipa Maidin ialah ahli Parti Amanah Negara. ~ sumber
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Ini terjadi kepada Faiz depa tangkap dan trus hukum. Lepas tu baru tanya Rosulullah saw. Dah hukum baru tanya. Hakim ialah mentadbir keadilan bukan hukum belum siasat. Kalau dia kata ada hukum betullah. Tapi cakap hakim trus jatuh hukum dari jauh bukan hakim. Dia orang biasa nak bagi faham umum saja.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...