GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, October 20, 2015

Bank Negara ada kuasa undang-undang ambil tindakan terhadap 1MDB

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil tindakan penguatkuasaan, atau dikenali sebagai tindakan pentadbiran, terhadap pihak yang didapati melanggar atau tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.

 "Tindakan ini boleh diambil secara serentak, atau secara berasingan dan berbeza daripada prosiding jenayah yang di bawah kuasa Peguam Negara sepenuhnya."

 Bank pusat berkata demikian dalam satu kenyataan untuk menjelaskan mengenai kuasanya untuk menguatkuasa pematuhan terhadap undang-undang pengawalseliaan yang ditadbir BNM.

 Oleh itu, berasingan daripada sebarang keputusan mengenai prosiding jenayah, bank pusat itu dibenarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mengambil tindakan pentadbiran.

 "Ini akan termasuk mengenakan penalti monetari, mengeluarkan arahan pematuhan, memberi bayaran balik (restitution) kepada mana-mana individu yang tidak berpuas hati disebabkan pelanggaran terhadap akta, memberi amaran awam dan persendirian serta arahan, supaya langkah-langkah diambil untuk mengurangkan atau menyelesaikan sesuatu pelanggaran terhadap akta.

 "Ini bagi memastikan integriti, dan keyakinan terhadap sistem kewangan negara."

 Pada 9 Oktober, BNM membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan di luar negeri yang bernilai US$1.83 bilion (RM7.5 bilion).

 Dalam kenyataan berkenaan, BNM berkata ia juga mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada 1MDB untuk membawa balik ke Malaysia jumlah itu dan mengemukakan kepada BNM perancangan syarikat berkaitan perkara berkenaan. 

 Bank pusat merumuskan kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negeri adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki BNM semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.

 "Bagaimanapun, didapati maklumat yang diberikan adalah sama ada tidak tepat atau tidak lengkap".

 Kenyataan BNM itu merujuk kepada keputusan Peguam Negara yang mendapati pegawai 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak memberikan maklumat palsu dan membersihkannya daripada sebarang salah laku.

 Menurut bank itu, keputusan itu “berkait dengan pengesyoran bank pusat untuk memulakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB atas pelanggaran ECA”. – Bernama, 19 Oktober, 2015.~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...