Tuesday, October 20, 2015

KEUTAMAAN PAC IALAH PANGGIL JHO LOW, BUKAN BUANG TONY PUA

Ahli Parlimen Rompin Datuk Hassan Ariffin akhirnya dilantik mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang tiba-tiba dinaikkan pangkat menjadi timbalan menteri dalam negeri pada 28 Julai lalu ketika jawatankuasa itu sedang menjalankan tugas menyiasat 1MDB.

 Meskipun berdepan tugas berat untuk menyiasat 1MDB yang sudah agak lama tergendala, di bahu Hassan kini terletak harapan untuk merungkai segala kekusutan tentang syarikat pelaburan yang sarat dengan hutang itu.

 Harapan ramai juga ialah untuk melihat PAC di bawah kepimpinan Hassan akan meneruskan tugasnya memanggil semula semua saksi yang sudah disenaraikan sebelum ini seperti Jho Low serta CEO sekarang, Arul Kanda Kandasamy sendiri.

 Tambahan lagi, ketika Nur Jazlan mengetuai PAC, beliau sudah mengumumkan akan memanggil Jho Low untuk memberikan keterangannya berdasarkan laporan interim ketua audit negara yang dikeluarkan mengenai 1MDB. Saksi lain yang pernah disebut Nur Jazlan akan dipanggil antaranya ialah Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB Vincent Koh Beng Huat, Penasihat Undang-undang 1MDB Ivan Cheng, Lembaga Pengarah 1MDB International Holding Limited Shahrul Azral Ibrahim Helmi dan Jasme Loo Aiwan serta Pengarah Brazen Sky Azmi Tahir.

 Syarikat pengauditan 1MDB iaitu Deloitte, KPMG dan Ernst & Young juga dikatakan akan dipanggil semula memberi keterangannya bagi menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam laporan awal ketua audit negara itu.

 Maka, sudah semestinya Hassan wajib meneruskan usaha dan kerja kerasnya untuk memastikan Jho Low serta semua yang sudah disenaraikan itu dapat memberi keterangannya di hadapan PAC.

 Kegagalan Hassan bertegas mengenai keperluan memanggil mereka, khususnya Jho Low untuk memberi keterangan tentu saja akan meleburkan keyakinan orang ramai, bukan saja terhadap PAC, tetapi juga kewibawaannya sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

 Selain itu, dilaporkan juga kedudukan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam PAC mungkin tergugat berikutan kelantangannya membuat kenyataan umum mengenai 1MDB sebelum siasatan jawatankuasa itu tamat.

Ramai pihak menyifatkan tindakan beliau itu melanggar etika dan menggesa beliau digugurkan daripada PAC.

 Hassan turut mengesahkan mesyuarat PAC akan datang bakal menentukan kedudukan Pua dalam jawatankuasa itu dengan mengatakan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama yang akan dipengerusikannya nanti.

 Jika dilihat dari awal, tertangguhnya siasatan PAC terhadap 1MDB ialah kerana 4 ahli jawatankuasanya daripada BN, termasuk pengerusinya ketika itu, Nur Jazlan dilantik oleh Najib menganggotai pentadbiran kerajaan dalam rombakan Kabinetnya yang bersekali dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal kerana kelantangan mereka bersuara mempertikaikan mengenai syarikat pelaburan tersebut.

 Pelantikan itu secara langsung menjadikan PAC yang sudah mula berjalan dengan penyiasatannya terhadap 1MDB, lumpuh serta merta.

 Maka itu, seharusnya agenda mesyuarat pertama Hassan hanyalah untuk memastikan pelantikan wakil daripada BN untuk mengisi kekosongan saja dan biarlah wakil lama daripada pembangkang, termasuk Pua, dikekalkan dalam jawatankuasa itu.

 Perubahan wakil daripada pembangkang, kalau mahu dilakukan juga, hanya perlu melibatkan PAS dan Amanah saja, tetapi wakil daripada PKR dan DAP seharusnya tidak terjejas.

 Jika Hassan cuba membincangkan agenda untuk menukar Pua dengan orang lain, tentu saja yang pertama melintas di fikiran ramai ialah beliau seolah-olah cuba untuk "mengambil hati" Najib mengenainya.

 Dengan itu, keyakinan orang ramai terhadap PAC dalam mencari kebenaran mengenai 1MDB juga tidak akan bermakna lagi.

 Jika Pua didapati melanggar mana-mana etika, beliau hanya perlu diberi peringatan atau amaran saja agar tidak mengulanginya lagi masa depan dengan memintanya menumpukan segala perhatian menyoal saksi yang bakal dipanggil PAC nanti secara tertutup dan profesional, tetapi bukan dengan menggugurkannya.

 Dalam hal ini, Hassan perlu tahu keutamaannya ialah mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB kepada rakyat dan pembayar cukai, sesuai dengan pertanggungjawabannya ialah kepada Parlimen. – shahbudindotcom.blogspot. 20 Oktober, 2015.
Comments
1 Comments

1 comment :

Hidup Najib! said...

Tobat lahom..nak mampus pggil c jho low ni..nanti semua cerita kuar..itu dua ekor pengarah src smpai la ni still hilang..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...