GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Sunday, October 11, 2015

Mat Sabu: Amanah sedia tanding 3 penjuru lawan PAS jika terpaksa

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA 

 Parti Amanah Negara (Amanah) sedia untuk bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa, kata presidennya Mohamad Sabu.

 Namun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada PAS sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya tersebut.

 "Sebenarnya hal pilihan raya ni kami belum bincang lagi. Kita cuba yang terbaik untuk mengelaknya, tetapi jika terpaksa, apa boleh buat," katanya kepada The Malaysian Insider pada satu majlis di Skudai, Johor baru-baru ini.

 Mat Sabu berkata, Amanah kini memberikan tumpuan kepada pengemasan struktur parti serta mendaftar keahliannya.

 "Kami fokus kepada pembentukan kawasan dan cawangan serta penambahan keahlian sekarang ini," katanya.

 Susulan pembentukan Pakatan Harapan (PH) tanpa penyertaan PAS, parti Amanah dan DAP menghadapi risiko bertanding 3 penjuru selepas PAS menganggap Amanah dan DAP sebagai lawan mereka.

 Amanah, parti serpihan daripada PAS, dianggap pengkhianat manakala DAP pula musuh mereka selepas hubungan kedua-duanya diputuskan melalui usul tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 Jun lalu.

 Sehingga kini, PAS masih mempunyai hubungan baik dengan PKR melalui timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali.

 Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub berkata parti itu akan membuat kajian terperinci terhadap semua kerusi yang mahu ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.

 "Kita akan membuat keputusan berdasarkan kajian, bukan main terjah begitu saja. Dan kita hanya akan bertanding di kerusi yang kita rasa boleh menang," katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di Wisma Amanah, Kuala Lumpur.

 Katanya, Amanah lebih bersedia untuk bertanding sedikit kerusi saja tetapi menang, berbanding bertanding banyak kerusi tetapi tidak menang.

 Sementara itu, Ketua Amanah Kulai Hisham Md Zin berkata, parti itu mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding dengan BN dan PAS di Johor jika berlaku pertandingan 3 penjuru ekoran demografi penduduk di negeri selatan itu.

 "Di Johor, Amanah mempunyai peluang lebih cerah untuk menang berbanding PAS kalau berlaku pertandingan 3 penjuru kerana sikap pengundi Cina yang memihak kepada Pakatan Harapan.

 "Di Kelantan pula, jika berlaku pertandingan 3 penjuru, kedua-dua PAS dan Amanah akan kalah dan Umno akan menang," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Kulai.

 Amanah akan bertanding di seluruh negara namun fokus kini diberikan kepada negeri pantai barat dan selatan, khasnya Selangor dan Johor, berbanding negeri pantai timur dan utara. – 11 Oktober, 2015. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...