PENANG

PENANG
TABUNG BANJIR PENANG

Tuesday, November 24, 2015

Disiasat menghasut kerana gesaan mansuh Jakim

Polis sedang menyiasat Tawfik Ismail, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, kerana menghasut, berhubung gesaannya supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan.

 Polis sudah memulakan siasatan selepas satu laporan dibuat di Shah Alam terhadap Tawfik, susulan komennya dalam artikel The Malaysian Insider terhadap agensi hal ehwal agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri itu.

 Tawfik yang juga salah seorang ahli G25, kumpulan pesara kerajaan di kalangan Melayu, sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.

 Polis semalam mengambil keterangan daripada seorang pengarang berita dan pemberita The Malaysian Insider bagi membantu siasatan.

 Bekas ahli Parlimen Umno itu menimbulkan kontroversi dalam satu wawancara awal bulan ini apabila mengatakan Jakim perlu dimansuhkan kerana tidak mempunyai peranan dalam Perlembagaan.

 Beliau berkata Putrajaya tidak harus menentukan bagaimana umat Islam mengamalkan agama mereka, dan beberapa fungsi Jakim dapat dilaksanakan kementerian lain.

 Tawfik juga berkata peranan mempertahankan Islam boleh diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sultan, imam (ulama) dan mufti.

 Kenyataan Tawfik itu disokong pemimpin akar umbi Umno Zaharin Mohd Yasin dan pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, di mana kedua-duanya bersetuju Jakim tidak mengikut Perlembagaan.

 Kedua-duanya berkata, Perlembagaan Persekutuan menyatakan kuasa mempertahankan kesucian agama Islam terletak di tangan sultan-sultan dan Agong, dan bukannya kerajaan Persekutuan.

 Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyelar Jakim, dengan mengatakan agensi itu cuba memaksa versi Islam mereka terhadap orang lain dan ia boleh dihapuskan jika kerajaan diubah.

 Tetapi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jakim menjadi semakin relevan hari ini kerana terlibat dalam membanteras Syiah dan "Islam liberal" dan juga ancaman Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis). 

 Pada Februari lalu, peguam hak asasi manusia Eric Paulsen didakwa mengikut Akta Hasutan kerana mengkritik Jakim kerana menyebarkan ekstremisme melalui khutbah Jumaat. – 24 November, 2015. ~  themalaysianinsider 
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Apa dah nak jadi dengan kerajaan Malaysia nie semua para pemikir dilokapkan dan para pembodek punyai kuasa untuk pertahan kerakusan kuasa kerjaan tak hairanlah najib terlalu perasan dengan kekuatan dengan memteri-menteri bodoh ikut arahan kesudahan rakyat juga yang dalam kepayahan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...