JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Thursday, November 19, 2015

Husam bakal dedahkan PAS mahu bergabung dengan Umno melalui debat dengan Mustafa Ali

Persoalan sama ada benar atau tidak Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu membawa PAS bersama Umno akan diketahui dengan mendalam apabila debat antara pengarah pilihan raya parti Islam itu Datuk Mustafa Ali dan bekas naib presiden Datuk Husam Musa menjadi realiti.

 Isu yang lebih dikenali dengan nama UG atau “Unity Government” (kerajaan perpaduan) yang menjadi duri dalam daging PAS sejak selepas pilihan raya umum (PRU) 2008, dijangka akan dibedah sepenuhnya melalui debat yang akan diadakan di Kota Baru, Kelantan, negeri yang diperintah PAS.

 Debat ini dijangka akan memberikan penerangan lebih jelas berhubung isu ini apabila pihak-pihak terlibat secara langsung akan berdebat secara terbuka.

 Mustafa, selaku orang kanan dan pakar strategi bagi presiden PAS sejak sekian lama, akan berdebat dengan Husam, tokoh yang sentiasa mengungkit isu UG sejak 2008 lagi.

 Bahkan boleh dikatakan, isu UG menjadi antara sebab pecahnya PAS kepada Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipimpin bekas timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu.

 Dalam kenyataan disiarkan Harakahdaily hari ini, Mustafa berterima kasih kepada Husam kerana menyambut baik cadangannya supaya diadakan majlis bersemuka untuk meleraikan beberapa kenyataan dan tuduhan beliau terhadap pimpinan PAS sebagaimana diketahui umum.

 "Tajuknya ialah mengenai tuduhan beliau yang presiden PAS sejak PRU ke-12 pada 2008 sudah berusaha membawa PAS bersatu dan bergabung dengan Umno.

 "Tugas beliau ialah untuk membuktikan tuduhan tersebut. Tugas saya ialah sebaliknya," kata Mustafa dalam kenyataannya.

 Menurut beliau, masa akan dicari dan satu tarikh sesuai dan dipersetujui kedua-dua pihak akan ditentukan.

 Katanya, Husam perlu mencari penganjur majlis itu kerana beliau sebelum ini menolak cadangan Pemuda PAS Kelantan yang menawarkan diri menjadi penganjur.

 "Kita akan melihat cadangan dan tawaran lain yang sesuai dan boleh dipersetujui bersama.9

 "Demikian juga moderator, perlulah seorang tokoh yang boleh diterima dan dipersetujui bersama," kata Mustafa dalam kenyataan itu.

 Husam kelihatannya lebih senang sekiranya debat itu dianjurkan badan bebas yang tiada kaitan dengan PAS, termasuk pihak media.

 The Malaysian Insider juga menawarkan diri menganjurkan debat itu.

 Semalam, menyahut cabaran Mustafa untuk bersemuka, Husam berkata dalam satu kenyataan: "Saya bersetuju untuk debat terbuka dengan siapa saja, termasuk Cikgu Pa (Mustafa).

 Katanya, beliau menyerahkan kepada Mustafa untuk menentukan tarikh dan topik debat tersebut. Husam menegaskan, perjumpaan PAS-Umno yang didakwanya berlangsung pada 2008 kekal menjadi sebahagian daripada sejarah dan terpulang kepada pengundi di Selangor untuk membuat penilaian.

 "Arah perbincangan dalam perjumpaan 2008 itu berubah kerana perundingnya berjaya diubah. 

 "Tetapi, fakta adanya perundingan di saat tidak munasabah seperti itu, akan kekal sampai bila-bila," katanya. – 19 November, 2015. ~  themalaysianinsider
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Jenuh terbelit laa lidah tok pa. Akan bertambah parah keretakan dlm pas kalau debat ni berlaku. Lantak laa, ada aku kesah!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...