GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Monday, November 23, 2015

Pulau Pinang hanya iktiraf Adun PKR bawah Rashid, kata ketua menteri

Pulau Pinang hanya mengiktiraf Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PKR di bawah pimpinan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

 "Selepas pengundian dijalankan di Dewan ada 2 kumpulan dalam PKR. Satu dipimpin Datuk Mohd Rashid Hasnon bersama 2 anggota Exco, Dr Afif Bahardin dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta timbalan speaker Datuk Maktar Shapee. Lima Adun lain dipimpin Ong Chin Wen.

 "Hari ini saya rasa, ketua cabang PKR Bagan dan Pengarah Komunikasi PKR negeri Farid Arshad menyatakan sokongan kepada Rashid. Saya rasa itu penting kerana kami nak tahu (Adun) PKR mana berada di bawah pimpinan Rashid dan Ong Chin Wen.

 "Kerajaan negeri hanya mengiktiraf pimpinan di bawah Rashid kerana beliau dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

 Isu berhubung Adun PKR itu timbul berikutan 5 wakil rakyat parti itu memilih berkecuali sewaktu undian dijalankan terhadap usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Jumaat lepas (20 November).

 Lima Adun PKR yang berkecuali itu ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).

 PKR mempunyai 10 kerusi DUN. Dua lagi Adun PKR, Datuk Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana mereka adalah speaker dan timbalan speaker Dewan.

 Lim, bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR untuk menyelesaikan isu itu.

 Ditanya mengenai desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mahu beliau menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya melabel 5 Adun berkenaan memihak kepada Umno, Lim enggan mengulas isu itu. 

Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata Pulau Pinang menerima dengan hati terbuka perletakan jawatan 1,083 anggota PAS sebagai ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini.

 "Kami ucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang mereka berikan sebelum ini. Kami akan bincang perkara lain sehingga kita terima surat. Saya rasa ahli PAS yang menjadi ahli Parti Amanah Negara boleh meneruskan perkhidmatan mereka," katanya.

 Semalam, Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang mengarahkan kesemua 1,083 ahli JKKK daripada parti itu di negeri ini, meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta. – Bernama, 23 November, 2015. ~ themalaysianinsider
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...