GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, December 01, 2015

DAP kini sudah hilang 'semangat' Karpal - Shamsher

OLEH RADZUAN HASSAN
Shamser Singh Thind
Seorang wakil parti cawangan Pulau Pinang mempersoalkan pimpinan atasan DAP yang kini dianggapnya sudah tidak ada prinsip.

 Dalam beberapa keputusan penting, katanya, DAP tidak lagi mementingkan konsep prinsip yang perlu dipertahankan seperti diperjuangkan veteran DAP, mendiang Karpal Singh.

 "Karpal pernah cakap 'there is no enemy or friend in politics but there must always be permanent principles'. tetapi kini DAP tidak ada prinsip. Seperti contoh, parti anggap Pas di Pulau Pinang pembangkang tetapi prinsip itu berbeza dengan rakan pemerintah di Selangor," kata Ketua Publisiti DAP Cawangan Taman Chai Leng, Shamsher Singh Thind kepada Malaysia Gazette ketika dihubungi hari ini.

 Menurut Shamsher, apabila DAP telah memutuskan segala hubungan dengan Pas sehingga Pakatan Rakyat (PR) menjadi Pakatan Harapan antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), nampaknya DAP di Selangor masih belum dapat melupakan Pas sebagai 'kekasih lama'.

 "Ini kerana kerajaan negeri di Selangor adalah gabungan empat parti, iaitu DAP (15 kerusi), PKR (13 kerusi), Pas (13 kerusi) dan PAN (2 kerusi). Bukan itu sahaja, tiga orang exco kerajaan negeri Selangor juga dari parti Pas. Kenapa DAP masih hendak 'meniduri' Pas setelah bercerai dengannya?" ujarnya lagi.

 Menurut pensyarah undang-undang sebuah kolej swasta itu, persoalan yang sama telah dibangkitkannya semasa berucap pada Konvensyen DAP di Pulau Pinang semalam.

 Beliau berkata, jika terpaksa DAP keluar daripada kerajaan Selangor, parti itu terpaksa buat demi mempertahankan prinsip dan bukan mengutamakan kuasa semata-mata.

 Satu lagi, menurut Shamsher, sistem pemilihan ahli-ahli jawatankuasa negeri harus diubah kerana tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada akar umbi untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka seperti yang dilakukan semasa pemilihan DAPSY.

 "Sebagai contoh, majoriti wakil telah memilih saudara Gobind Singh di Selangor tetapi kenapa Tony Pua yang berada pada tangga kelapan dipilih sebagai pengerusi," ujarnya.

 Malah perkara yang sama juga berlaku di Perak.

 Menurutnya, jika pemilihan calon pengerusi negeri pun DAP tidak ikut pilihan majoriti dan prinsip mereka sepatutnya malu menggunakan isu kerajaan Barisan Nasional tidak layak memerintah kerana undi popular mereka hanya 47 peratus sedangkan PR mendapat 53 peratus sebelum ini.-- MalaysiaGazette
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...