GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Thursday, December 03, 2015

Rasa dapat gaji untuk bayar pengangkutan awam saja – rintihan pengguna LRT, KTM

Oleh Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Prabagaran A/L Balakrishnan, 34, merupakan seorang penuntut di Universiti Malaya maka beliau sering berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Demi menyara kelangsungan cita-citanya, beliau mengajar sebagai seorang pensyarah di Politeknik Ungku Omar yang terletak di Jalan Dairy, ibu negeri Perak.

 Ditemui di KL Sentral, beliau antara 10 pengguna pengangkutan awam yang disapa Free Malaysia Today dan terkesan dengan kenaikan kadar harga tambang KTM Komuter dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Gaji RM3000 pun sudah tidak memadai,” keluh Prabagaran, “Saya berhabis RM1200 hanya untuk pengangkutan awam.”

 “Kos ulang-alik RM50 sehari. Rasa amek gaji untuk bayar pengangkutan sahaja,” katanya.

 Barangkali kesibukan mengimbangi kerjaya dan pembelajarannya menyebabkan Prabagaran tidak sempat bersedia – kenaikan harga tambang menimpa bahunya secara mengejut.

“Semalam saya turun dari stesen KL sentral ke Universiti…tiket RM1.60-2.00…naik RM0.40. Sebab kita selalu amek dan terkejut bila tiba-tiba naik,” tambah beliau.

 FMT turut meninjau Stesen LRT Kelana Jaya dan stesen KTM Kuala Lumpur untuk mendengar sendiri pendapat orang awam apabila kenaikan harga tambang pengangkutan awam berkuatkuasa Rabu.

 Amar Farham Mohd Shukarno, 24, bekerja di sebuah syarikat swasta dan menggunakan dua mod pengangkutan awam iaitu LRT dan perkhidmatan bas Rapid KL untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah.

 Beliau masih belum boleh mengubah gaya hidup dengan kenaikan kadar tambang sehingga 100 peratus. “Jika dulu kos tambang pergi dan balik dari LRT dari Taman Bahagia ke Ampang adalah RM5.80 pergi dan balik. Sekarang selepas kenaikan menjadi sehingga RM12.00.

“Ini sangat membebankan bagi saya yang baru memulakan pekerjaan,” keluhnya.

 Begitu juga dengan Nicole. Gadis ini baru sahaja bekerja di Kuala Lumpur selama dua bulan, dan tidak mampu memiliki kenderaan sendiri.

“Kenaikan harga pengangkutan awam dilihat sangat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana rakyat telah terbeban dengan banyak benda seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kadar tol, minyak dan ini semua membebankan rakyat,” katanya.

 Dalam pada itu, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Suu Lin, 22, berkata sebagai seorang pelajar kenaikan itu sangat memberi kesan kepada kos pembelajaranya di universiti.

 “Ya, sangat memberi kesan lebih lagi saya tinggal di luar dari universiti dan ulang-alik menggunakan LRT untuk ke pulang ke rumah,” katanya.

 Beliau masih berharap kerajaan akan mengambil-berat nasib siswa sepertinya.

 “Saya berharap kerajaan boleh memberi diskaun untuk pelajar yang menggunakan LRT.” ~ freemalaysiatoday
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...