JERUSALEM

JERUSALEM
SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN

Thursday, December 17, 2015

Surah Tok Arab

OLEH HISHAMUDDIN RAIS
Parti United Malays National Organisation baru selesai berhimpun. Himpunan kali ini amat menarik. Najib Razak, presiden kepada parti ketuanan Melayu ini sedang digasak kiri dan kanan.

 Serangan bertubi-tubi datang awal – malah sebelum parti Ketuanan Melayu mula bersidang. Serangan datang dari dalam parti sendiri. Seperti biasa bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Muhamad terus menyerang.

 Mahathir dibantu oleh dua pimpinan parti – Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal. Dua sosok ini telah dilucutkan dari jawatan menteri tetapi masih menjawat kedudukan dalam parti.

 Mahathir bekas presiden parti ketuanan Melayu ini secara terbuka mahu Najib berundur. Mengikut bacaan politik Mahathir, jika Najib terus memimpin hingga ke PRU14, parti ketuanan Melayu dan kuncu-kuncu dalam BN akan lingkup.

 Mahathir berulang kali membaca mantera ini. Mahathir Muhamad – yang dikenali sebagai yang amat mulia Tun – kini menjadi don yang memimpin gerakan anti-Najib.

 Gerakan anti-Najib ini juga mendapat sokongan dari GKCM - Gabungan Ketua Cawangan Malaysia. Ini adalah gerakan ahli-ahli parti ketuanan Melayu dari wilayah akar umbi yang mahu Najib berundur. GKCM berpendapat Najib lebih banyak membawa bala kepada parti dan Bani Melayu.

 GKCM tidak mahu memikul biawak hidup jauh sekali memikul anak badak. Justeru, beratus-ratus ketua-ketua cawangan telah mengadakan mesyuarat dan secara terbuka mengadakan sidang akhbar menuntut Najib berundur. Gerakan ini kelihatan sebaris bersama Yang Amat Mulia Tun.

 Justeru, ketika ini GKCM sedang menjadi api dalam sekam dengan mempengaruhi ahli cawangan dan berpropaganda di peringkat bahagian. GKCM sedang menjadi api di batang rokok. Dihisap atau tidak dihisap bukan lagi soalan. Rokok telah dibakar – menunggu masa sampai ke puntung untuk membakar jari.

 Memandangkan Najib digasak kiri dan kanan, maka tema perhimpunan kali ini adalah perhimpunan selamatkan Najib. Dari awal lagi tembok dan benteng telah didirikan untuk memastikan serangan terhadap Najib dapat ditepis dan dikendurkan.

 Babak politik yang paling menarik kali ini ialah surah Tok Arab. Duit derma dari Tok Arab ini telah menjadi peluru berpandu menyerang Najib. Berdentam berdentum surah Tok Arab ini berkumandang ke seluruh alam Melayu. Tak putus-putus surah Tok Arab ini meledak menjadi tajuk induk dalam portal berita.

 Zahid Hamidi pada awalnya pernah berkata yang duit RM2.6 bilion ini datang dari seekor penderma dari benua Arab. Bila berita Tok Arab ini muncul seantero alam Melayu tertanya-tanya. Siapakah gerangan Tok Arab yang baik hati ini. Spekulasi bermacam-macam.

 Akhbar luar negara melaporkan, Putera Walid dari Arab Saudi dengan garang menafikan dirinya ialah Tok Arab yang dimaksudkan.

Spekulasi berterusan. Surah Tok Arab ini menjadi bertambah hangat. Mengikut kata Zahid Hamidi, seekor Tok Arab menjadi amat-amat gembira kerana Malaysia berjaya memperkasa mazhab Sunnah Wal Rasuah. Oppps... maaf. Sunnah Wal Jamaah.

 Tok Arab ini amat-amat gembira tanpa bantuan pil kuda atau air ketum. Si Tok Arab ini telah menderma sebanyak 700 juta dolar Amerika bersamaan 2.6 bilion ringgit. Ini Surah Tok Arab bahagian awal.

 Tiba-tiba, sebelum gerombolan ketuanan Melayu berhimpun, Najib sebagai presiden parti telah membuka mulut. Dari temubual dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris, Najib menggambarkan bahawa duit derma ini bukannya datang dari seekor Tok Arab sahaja. Ada beberapa ekor.

 Temubual Najib dengan akhbar ini sebenarnya adalah cara Najib berlangir mandi air sabun sebelum ahli parti ketuanan Melayu berhimpun. Setelah mandi air sabun ini maka Najib boleh mengaku dirinya suci dan bersih untuk terus memimpin parti Ketuanan Melayu.

 Sayangnya, lebong Najib melalui temubual ini telah memaksa Zahid bersilat lidah. Kini Zahid wajib mengubah ayatnya. Dari seekor Tok Arab kini Tok Arab telah beranak-pinak. Dari seekor Tok Arab kini telah menjadi jamak. Seekor Tok Arab telah beralih menjadi para Tok Arab.

Surah ini tidak habis di sini sahaja. Ayat dua dari surah ini secara sahih berkisah bahawa Tok Arab ini menderma kepada parti United Malays National Organisation. Maka sahlah cakap Najib bahawa duit ini tidak digunakan oleh Najib untuk membeli coli atau beg Birkin suaminya.

 Najib tidak pernah menggunakan duit rakyat. Najib pakai duit derma untuk kegunaan parti. Najib menggunakan duit derma Tok Arab ini hanya untuk kesejahteraan nusa dan bangsa. Alhamdulillah.

 Para pembaca jangan lupa – dari segi sejarah, awal wahid akhbar Wall Street Journal (WSJ) dari New York adalah yang bertanggungjawab membuka surah Tok Arab ini. Ini terjadi berbulan-bulan sebelum perhimpunan gerombolan berlangsung.

 Akhbar WSJ ini melaporkan bagaimana Najib telah menerima duit sebanyak AS$ 700 juta atau bersamaan RM2.6 bilion. Duit dolar ini dihantar dari bank luar negara masuk ke dalam akaun peribadi sosok yang bernama Muhamad Najib bin Abdul Razak di Ambank.

 Jangan lupa – apabila Surah Tok Arab didengari ramai – Si Najib marah dan mengugut mahu menyaman akbar WSJ. Dilebongkan bahawa peguam Najib telah ke hulu ke hilir – dari London ke New York – dari New York ke Masjid India – untuk mencari peguam terbaik dunia untuk menyaman WSJ. Entah ya entah tidak. 

 Pada awal wahid Najib menafikan adanya duit AS$700 juta ini masuk ke akaun peribadinya. Mengikut Najib semua itu fitnah dan tohmah. Najib marah dan bengis. Malah seorang pakar ilmu tilik dan pakar tangkap jin telah berkata bahawa tidak masuk akal duit sebanyak itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

 Mengikut pakar jin ini, Najib bukannya makhluk bodoh seperti jin yang sering ditipu masuk ke dalam botol.

 Pada awal ketika surah tok Arab ini diwahyukan, kita sering mendengar suara dari ahli kabinet Najib. Menteri jantan, menteri betina dan menteri jantan betina semuanya naik marah. Semua mengatakan akhbar WSJ ini membuat fitnah dan tohmah. Mengikut menteri bergenre Hasan Malek ini, ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib.

Dari segi sejarah salasilah ayat dari Surah Tok Arab ini sampai terputus-putus. Tiba-tiba wahyu sampai lagi. Ayat baru ini sampai ketika ahli parti sedang berhimpun. Mengikut kata Zahid Hamidi duit derma ini bukan dari beberapa ekor Tok Arab tetapi datang dari sebuah kerajaan Tok Arab yang amat gumbira kerana Malaysia negara Islam yang berjaya. Malaysia berjaya dengan Sunnah Wal Jamaah dan berjaya melawan Isis.

 Bila ayat ini sampai, satu Malaysia jadi lintang pukang. Mula-mula seekor, kemudian beranak-pinak dan kini duit derma ini datang dari kerajaan.

 Ketika satu persatu ayat Surah Tok Arab ini diturunkan, yang amat mulia Tun duduk tersenyum. Mahathir Muhamad bekas presiden parti United Malays National Organisation hanya bertanya siapakah gerangan Tok Arab ini. Bolehkah dia berkenal sapa dengan Tok Arab ini?

 Mengikut Mahathir selama 22 tahun dia menjadi perdana menteri dia belum pernah berjumpa seekor Tok Arab yang bermurah hati suka menderma. Mahathir terus membuka salasilah sejarah Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.

 Ketika universiti ini dalam perancangan untuk didirikan, Mahathir pernah cuba mencari derma dari Tok Arab dan dari negara kerajaan Arab. Hasilnya satu dinar pun tak sampai dari negara-negara Tok Arab.

 Maka timbul pertanyaan: Apakah rahsia Najib yang berjaya mendapat derma yang amat lumayan dari Tok Arab? Apakah kerana isteri Najib tinggi langsing cun dan bergetah hinggakan semua Tok Arab luruh hati dan terus menderma?

 Surah Tok Arab ini akhirnya menjadi lawak bodoh apabila yang amat mulia Tun berkata bahawa Tok Arab yang menderma sebanyak 2.6 bilion ringgit ini pastilah seorang gila. Mungkin masuk akal – kalau tidak gila macam mana boleh bermurah hati mendermakan duit yang amat banyak. Ini logik Don Mahathir.

 Di sebalik lawak bodoh Tok Arab gila ini, yang amat mulia Tun mengajukan satu pertanyaan hakiki. Ini adalah pertanyaan cepu emas untuk talian hayat Najib. Duit sebanyak RM2.6 bilion ini bukan untuk Najib tapi untuk parti United Malays National Organisation. Duit ini sampai sebelum PRU13. Ertinya duit ini telah digunakan untuk parti ketuanan Melayu berkempen untuk menang dalam PRU13.

Justeru, Don Mahathir hanya ingin melihat laporan bendahari tentang keluar masuknya duit ini. Permintaan Mahathir ini masuk akal. Malah GKCM telah membuat laporan polis untuk melihat penyatan kira-kira kewangan tahunan parti United Malays National Organisation.

 Perhimpunan selamatkan Najib telah selesai. Tapi yakinlah bahawa surah Tok Arab ini belum selesai. Pada 4 Disember yang lalu Wall Street Journal telah melaporkan bahawa siasatan kes 1MDB ini sedang berjalan di lima buah negara – Switzerland, UK, Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong dan Malaysia.

 Wajib disedari bahawa duit derma Tok Arab sebanyak RM2.6 bilion ini sebenarnya menjadi kes besar di luar negara. FBI sedang menyiasat. Peguam negara Switzerland datang ke Kuala Lumpur untuk mencari maklumat.

Tetapi di Malaysia kes ini hanyalah umpan untuk mengaburi mata orang ramai. Kes yang betul-betul disiasat oleh SPRM bukan duit Tok Arab tapi duit RM45 juta dari SRC International yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Duit dari syarikat kerajaan masuk ke dalam akaun peribadi. Ini kes pecah amanah.

 Dalam kes SRC International ini tidak wujud Tok Arab gila. Tidak wujud surat derma dari Tok Arab. Yang wujud hanyalah empat orang saksi yang telah dihilangkan. Empat orang saksi inilah yang menyimpan ayat-ayat suci yang sedang dicari oleh Bank Negara dan SPRM. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...