Tuesday, January 05, 2016

Bekas Menteri Umno akui Pendekatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya menambat hati rakyat

Saya mendapati banyak cerita tentang pendekatan kerajaan negeri yang menjijak hati rakyat dengan berbagai bantuan yang mungkin tidak diketahui atau tak dipedulikan oleh orang Umno atau Barisan Nasional (BN).

 Bantuan tetap tahunan kepada pemandu teksi, nelayan untuk tukar pukat 6 bulan sekali, ibu yang melahirkan anak dan berbagai lagi yang tidak pernah kita dengar di bawah pemerintahan Gerakan (BN) dulu.

Saya tidak merasa bangga jika diperkenalkan atau dikenali sebagai mantan menteri, tetapi segar ceria bila seseorang mengenali saya sebagai wartawan, penulis buku atau blogger.

 Kebanyakan orang tidak terus menegur saya kerana tidak pasti, tetapi bila saya tersenyum pada seseorang yang memerhatikan saya bekali-kali, maka dia akan bertanya, "Ini Zainuddin Maidin Zamkata ke?"

 Ya, kata saya, dan jawapan yang selalu saya terima, "Kami takut nak tegur, takut salah orang".

 Saya bersara sebagai menteri penerangan lebih 7 tahun tetapi saya yakin orang tidak lagi akan mengenali kalau saya tidak terus menghubungi mereka menerusi penulisan saya.

 Walaupun tidak lagi boleh menulis di Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia di bawah pemerintahan demokrasi ala Najib, saya masih boleh bernafas menerusi blog Zamkata.

 Saya tidak terkejut jika kalangan profesional, pegawai tinggi kerajaan, orang koporat dan sebagainya mengenali saya sebagai penulis tetapi saya terkejut, terharu dan berbangga bila baru-baru ini seorang penarik beca di Pulau Pinang memberitahu dia mengikuti blog saya.

 Namanya Din, tetapi katanya orang panggilnya Pak Tam, kerana dia hitam. Dia benar-benar hitam sehingga bila diambil gambarnya, saya tidak dapat mengenali wajahnya menyebabkan saya terpaksa mengulangi pengambilannya.

 Ceritanya begini: Bila saya keluar Hotel Bayview George Town untuk menyewa sebuah beca yang kelihatan di hadapan hotel itu, saya mendapati penariknya tidak ada.

 Saya bertanya mana tuannya pada seorang lain yang bila melihat saya terus mendekati saya dan bertanya, "Ini Maidin Zainuddin ke?" 

Jawab saya, "Bukan, ini Zainuddin Maidin", dan penarik beca yang tadinya tidak kelihatan muncul dari sebalik pokok besar dan berkata kepada kawannya, "Eh hang tak kenal ini Zamkata".

 Itu nama blog saya. Saya bangga dan terus bertaya, "Hang baca blog aku?"

 "Bila rehat-rehat bacalah," katanya bersahaja dan saya tersedar betapa kesilapan penilaian saya terhadap kualiti manusia berasaskan kepada kerja mereka.

 "Orang kata blog aku anti Najib?" kata saya kepadanya.

 "Tak adalah Tan Sri, saya tak rasa bagitu, saya rasa Tan Sri tak terikat dengan sesiapa, Tan Sri bebas."

 Saya semakin mengkagumi pandangan waras seorang penarik beca yang tidak terbawa sentimen.

 Selama 2 hari di Pulau Pinang, saya menggunakan penarik beca ini membawa saya melalui lorong kecil di pulau ini yang banyak bertukar rupa menjadi lorong romantik, cantik, bersih dan artistik dengan studio 3D di sana-sini, yang menampakkan kreativiti seni dan inovasi kerajaan negeri menjadikannya lebih menarik di samping mendatangkan rezeki kepada pengusaha.

 Dinding kedai lama di sani-sini dihiasi lukisan dan rekaan bentuk logam yang menarik untuk kamera para pelancong.

 Hari kedua setelah mendapat upah kecil dari saya, Pak Tam datang dengan pakaian lebih kemas dan bersih, bercermin mata hitam yang menambahkan hitamnya dan bercincin batu hitam besar.

 "Hebat Pak Din hari ini," kata saya dan dia tersenyum lebar. Saya tanya, Pak Din dah kahwin ke?

 Dia bercerita tak pernah kahwin kerana tidak pernah mempunyai pekerjaan tetap sejak muda, dari pemandu lori, menjadi pengawal dan membuat berbagai-bagai kerja lain lagi sehinggalah berakhir sebagai penarik beca.

 Saya katakan padanya, banyak orang tak kerja tetap pun tetapi kahwin juga. "Yang betulnya hang ni kaki rumbu masa muda sampai lupa nak khawin, betul tak?"

 Dia ketawa besar dan memberitahu 80% penarik beca tidak kahwin, tidak mempunyai rumah tetap, tidur di beca atau berkongsi bilik yang disewa bersama kawan.

 Pak Din biasanya tidur di atas beca sahaja tetapi jarang sekali sakit demam, tak ada darah tinggi atau kencing manis. Pencarian cukup makan.

 Di belakang becanya saya lihat tergantung berbagai-bagai bungkusan makanan yang diberi orang.

 Daripada penarik beca ini dan juga daripada seorang pembawa teksi dari Lapangan Terbang Pulau Penang ke hotel, saya mendapati banyak cerita tentang pendekatan kerajaan negeri yang menjijak hati rakyat dengan berbagai bantuan yang mungkin tidak diketahui atau tak dipedulikan oleh orang Umno atau Barisan Nasional (BN), seperti bantuan tetap tahunan kepada pemandu teksi, nelayan untuk tukar pukat 6 bulan sekali, ibu yang melahirkan anak dan berbagai lagi yang tidak pernah kita dengar di bawah pemerintahan Gerakan (BN) dulu.

 Saya bimbang kerana caranya adalah lebih berkesan daripada BR1M dan berlaku secara senyap tetapi meresap di hati rakyat biasa. 

 Ketika di Lapangan Terbang Pulau Pinang, saya bertembung dengan bapa ketua menteri Pulau Pinang, Ahli Parlimen DAP "tergantung", Lim Kit Siang, dan keluarganya, yang hendak menaiki Firefly bersama saya untuk pulang ke Kuala Lumpur.

 Lama saya tidak berjumpa dengannya. Katanya kepada saya, "Ini orang merbahaya, Najib makin kuat".

 Saya tertawa. Siapa saya?

 "Kuatnya hanya dengan sokongan padu pemimpin Umno dan tidak di kalangan rakyat. Tetapi itulah caranya memelihara perpaduan parti. Saudara lebih tahu," kata saya, dan Kit Siang nampak bersetuju kerana dia lebih maklum tentang rahsia menguasai perpaduan parti dengan caranya yang dianggap sebagai diktatorial.

 Asyik bercakap, lupa saya hendak bergambar dengan pemimpin besar pembangkang itu untuk disiarkan dalam blog saya, yang pastinya akan menjadi bahan spekulasi media sosial: 

"Konspirasi Baru Zam Lim Kit Siang" setelah konspirasi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin. – zamkata.blogspot.my, – 5 Januari, 2016. 

* Tan Sri Zainuddin Maidin ialah bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan bekas menteri penerangan. ~ sumber

Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

kerajaan islam pas kelantan ada beri bantuan mcm penang? isle, isle, tp jiwa tak mencontohi Rasulallah saw.(terutama slps pemergian TGNA). betul rumusan yg berbunyi: "Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam.”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...