Tuesday, February 02, 2016

Khairuddin buat laporan SPRM ke atas AG

 Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali esok (hari ini).

 Katanya, laporan itu bagi membolehkan SPRM membuat siasatan rapi ke atas Apandi sama ada terdapat unsur salahgunakuasa atau manipulasi fakta dalam mengendalikan kes sumbangan RM2.6 bilion serta RM42 juta wang SRC International Sdn Bhd yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

 Laporan itu akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi esok, kata Khairuddin.

 "Saya amat berharap SPRM akan menjalankan siasatan secara telus dan rapi ke atas peguam negara tanpa sebarang unsur berat sebelah,"

 "30 juta rakyat Malaysia amat mengharapkan keadilan serta meletakkan harapan yang amat tinggi kepada SPRM untuk melaksanakan tugas mereka secara jujur mahupun amanah," katanya dalam mesej melalui Whatsapp kepada Malaysiakini.

 Minggu lalu, Apandi membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak berhubung derma RM2.6 bilion yang diterimanya dan kes berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International serta mengarahkan SPRM menutup kedua-dua kes itu.

 Peguam negara itu juga mengumumkan Najib telah mengembalikan semula sebahagian wang RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi.

 Khairuddin dan peguamnya, Matthias Chang kini berdepan tuduhan cuba melakukan khianat terhadap ekonomi negara selepas membuat aduan kepada beberapa pihak berkuasa asing mengenai 1MDB.

 Beliau juga membuat aduan mengenai 1MDB di Zurich yang dipercayai mendorong pihak berkuasa Switzerland memulakan siasatan. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...