GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Saturday, February 13, 2016

‘Menjenayahkan’ fitnah usaha henti kritikan terhadap Putrajaya, kata PKR

“Menjenayahkan” fitnah terhadap kerajaan dengan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah satu penyalahgunaan undang-undang negara dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, kata ahli Parlimen PKR hari ini.

 Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran berkata, pindaan kepada akta yang dilaporkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang, hanyalah satu percubaan untuk menghalang rakyat daripada mengkritik kerajaan.

 Bagaimanapun, Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara, termasuk hak untuk mengkritik kerajaan, kata Surendran.

 "Tindakan keras ke atas dakwaan fitnah kerajaan dalam ruang siber atau portal berita serta laman web seperti dicadangkan menteri ini sudah tentu akan menyekat kebebasan bersuara di negara ini dan melemahkan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.

 Beliau berkata, tujuan undang-undang dalam sebuah negara demokrasi bukanlah untuk melindungi reputasi kerajaan atau pemimpinnya daripada fitnah, juga bukan peranan kerajaan untuk memastikan "kebenaran" dalam media sosial atau di Internet.

 Beliau berkata, rakyat harus dibenarkan menilai apa yang benar dan palsu untuk diri mereka sendiri, bukannya dengan mempunyai undang-undang untuk mengawal apa yang diperkatakan di Internet.

 Mana-mana pemimpin kerajaan yang terkilan sentiasa boleh mendakwa fitnah di Mahkamah Sivil dan bukannya mengambil jalan menjadikan ia undang-undang jenayah, katanya.

 "Sebarang usaha parti pemerintah menggunakan majoritinya dalam Parlimen bagi ‘menjenayahkan’ kritikan terhadap kerajaan, sama ada kritikan itu berasas atau tidak, adalah tidak mengikut Perlembagaan dan tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi."

 Surendran membandingkan tindakan Malaysia dengan United Kingdom, di mana kerajaan tidak mempunyai hak mendakwa individu di Mahkamah Sivil kerana fitnah.

 "Rasionalnya ialah rakyat mempunyai hak mengkritik kerajaan yang dibayar pembayar cukai, walaupun kritikan itu salah atau fitnah," katanya.

 Pada bulan lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pindaan kepada akta itu akan membolehkan kerajaan menyekat laman web daripada terus memfitnah kepimpinan negara. – 13 Februari, 2016.~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...