Friday, February 26, 2016

Menyekat akses kepada laman web The Malaysian Insider : Tindakan SKMM Semborono !

  Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana menyekat akses kepada laman web The Malaysian Insider.

Aktivis Badaruddin Ismail buat laporan polis selepas
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia arah sekatan akses
portal The Malaysian Insider atas alasan keselamatan negara. 
Aktivis Badaruddin Ismail buat laporan polis selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia arah sekatan akses portal The Malaysian Insider atas alasan keselamatan negara.

Aktivis Badaruddin Ismail, 70, membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 10.20 malam semalam, beberapa jam selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengarahkan beberapa pembekal perkhidmatan Internet menyekat akses kepada portal itu atas alasan "keselamatan negara".

 Badaruddin atau lebih dikenali sebagai Pak Din berkata tindakan itu bertentangan dengan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

 Dalam laporannya, beliau menyatakan SKMM tidak boleh menentu sahkan artikel mana dilapor siar oleh The Malaysian Insider yang berunsur menjejaskan keselamatan negara. Beliau berkata tindakan SKMM itu dibuat secara semberono dan tidak berjustifikasi, menyifatkan ia tuduhan palsu berniat jahat, dan penyalahgunaan kuasa.

 "Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan selepas membaca di laman web itu petang semalam yang ia disekat SKMM. 

 "Bagaimana SKMM boleh menentukan apa yang dianggap sebagai ancaman keselamatan negara? Itu tugas polis," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

 Badaruddin berkata sekatan yang dikenakan dikatakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu juga tidak berkenaan kerana undang-undang itu terlalu umum. ~ sumber

Sementara itu, Syahredzan Johan seorang peguam berkata melalui status di fesbuknya berkata, SKMM tidak boleh dengan sendirinya memutuskan bahawa terdapatnya kesalahan atau pelanggaran di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia' dan kemudian bertindak menyekat akses ke laman berita TMI.

  Menurutnya, seksyen tersebut tidak memberi kuasa kepada SKMM untuk menyekat mana-mana laman sesawang. Ia merupakan suatu Seksyen yang mewujudkan suatu kesalahan - penggunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan yang tidak wajar. 

  "Jika ada seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233, dia seharusnya dihadapkan ke Mahkamah. Mahkamah kemudiannya akan menentukan sama ada dia bersalah, bukannya pihak SKMM. 

" Tindakan SKMM ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan boleh dicabar atas dasar, antara lain, bahawa ianya melangkaui bidangkuasa Suruhanjaya tersebut yang telah diberikan oleh Parlimen.

 "Ia juga bermakna bahawa tindakan SKMM ini boleh dikatakan sebagai bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan." Jelasnya lagi.
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...