Sunday, February 07, 2016

Rafizi Ramli : Desak buka semula serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah melancarkan kempen maya untuk mengumpul sokongan rakyat mendesak supaya Peguam Negara membuka semula dengan serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Beliau bercadang mengumpul sejuta tandatangan rakyat melalui laman Facebook dan sejuta rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang akan diangkat kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula.

Beliau juga mengingatkan Peguam Negara supaya menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (Mutual Legal Assistance) dengan negara-negara yang sedang menyiasat 1MDB dan/atau Dato’ Seri Najib Tun Razak termasuklah Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

 Menurutnya, kertas-kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu dibuka semula mengambil kira perkembangan terbaru merujuk kepada satu laporan di dalam New York Times semalam yang memetik Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa dana yang disebut-sebut itu bukan satu derma malah satu pelaburan oleh individu warganegara Arab Saudi.

 Rafizi berkata kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu memberi dimensi baru kerana perkara-perkara berikut:

 1. Dato’ Seri Najib Tun Razak bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan. Beliau tidak mempunyai apa-apa perniagaan. Seorang warganegara Arab Saudi tidak akan memberikan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada beliau untuk dilaburkan kerana pelaburan bukanlah kepakaran beliau. Pelaburan sejumlah itu tidak mungkin diserahkan kepada seorang individu, apatah lagi yang bukan pakar pelaburan seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak.

 2. Jika dana RM2.6 bilion itu adalah bagi tujuan pelaburan, ia mesti melibatkan syarikat dan aset-aset tertentu. Warganegara Arab Saudi yang memberikan dana sebesar itu bagi tujuan pelaburan sudah tentu mahukan balasan tertentu sebagai pulangan kepada pelaburannya. Ini memungkinkan wujudnya pertelingkahan kepentingan (“conflict of interest”) memandangkan kuasa Dato’ Seri Najib Tun Razak yang besar sebagai seorang Perdana Menteri.

 3. Keterlibatan seorang warga Arab Saudi di dalam pelaburan di Malaysia yang bersabit dengan Perdana Menteri membawa kembali dakwaan bahawa dana RM2.6 bilion itu ada kena mengena dengan 1MDB kerana 1MDB sendiri sebelum ini mewar-warkan bahawa pelaburannya melibatkan individu tertentu dari Arab Saudi, sementara Dato’ Seri Najib Tun Razak pula adalah Penasihat 1MDB.

 Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu juga menyangkal kenyataan Peguam Negara kononnya dana itu adalah satu derma.

  Blog al-Husseyn menyediakan pautan untuk menandatangani petisyen tersebut di penjuru kanan blog ini. Sila klik gambar dan bersama melakukan desakan.Ayuh kita semua sertai!
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...