Monday, February 08, 2016

Rejim yang menindas suka sembunyikan maklumat mereka yang berkuasa.



 Bekas presiden Majlis Peguam Datuk Seri Ambiga Sreenevasan hari ini mengingatkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali tugasnya bukan untuk melindungi mereka yang berkuasa.

 Ia susulan peguam negara itu semalam memberi amaran undang-undang yang lebih keras di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) akan dikenakan terhadap mereka yang membocorkan rahsia rasmi. Ambiga berkata, langkah itu dilihat sama seperti apa yang akan dilakukan rejim yang menindas bagi menyembunyikan maklumat membabitkan mereka yang berkuasa.

 "Ini bukan tentang melindungi keselamatan maklumat sensitif tetapi tentang tidak membenarkan kebenaran muncul mengenai rasuah dan salah guna kuasa melibatkan mereka yang memegang kuasa di peringkat yang tinggi.

"Sebarang pindaan yang sebegitu akan menjadikan kita diktator yang sebenarnya," kata Ambiga.

 Apandi berkata kepada akhbar Sin Chew Daily semalam, beliau menimbang meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara termasuk wartawan yang melaporkan mengenainya.

 Katanya, beliau sedang memikirkan untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan ke atas pesalah dan untuk membolehkan pendakwaan ke atas wartawan yang enggan mendedahkan sumber mereka.

 Ambiga, yang mengetuai Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), berkata kebanyakan maklumat baru-baru ini mengenai dana RM2.6 bilion yang didermakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang dari peguam negara sendiri, bukannya dari rahsia yang dibocorkan.

 Beliau mengingatkan Apandi yang tugasnya adalah untuk menegakkan prinsip-prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, bukan melindungi mereka yang berkuasa daripada mengambil tanggungjawab.

 "Peguam negara perlu berhenti bersuara seperti penasihat undang-undang peribadi Najib.

 "Jika ada perkara yang sah dibangkitkan orang ramai, beliau mesti mengkaji semula keputusannya menutup kes itu," katanya, merujuk kepada keputusan Apandi memerintahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menutup siasatan derma RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib.

 "Tidak elok untuk peguam negara kedengaran seperti begitu defensif. Beliau harus bebas dan tidak terlibat dalam pertikaian tertentu.

 "Dalam erti kata lain, beliau perlu berhenti mengancam mereka yang mendedahkan maklumat dan sebaliknya perlu bertindak ke atas maklumat yang diberikan."

 Beliau menyeru rakyat Malaysia membantah sebarang percubaan mengongkong akhbar, mengatakan media merupakan salah satu daripada segelintir saluran yang mereka boleh bergantung harap untuk menyampaikan kebenaran.

 Tanpa media, orang ramai tidak akan sedar rasuah dilakukan mereka yang berkuasa, kata Ambiga. 

 "Biarkan mereka yang berkuasa tahu kita akan menentang semua cubaan untuk melemahkan demokrasi kita.

 "Dan apabila tiba masa Malaysia mendapat semula demokrasinya (dan hari itu pasti akan datang), kita akan ingat nama semua mereka yang memilih untuk memusnahkan demokrasi, bukan mempertahankannya, dan kami akan meletakkan mereka bertanggungjawab."

 Sementara itu, Institut Wartawan Malaysia (IoJ) berkata, ia tidak bersetuju dengan apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan fungsi sebenar kerajaan.

 Pada masa yang sama, ia juga menentang sebarang langkah meningkatkan langkah punitif terhadap mereka yang berusaha membongkar kebenaran dalam kes-kes berkepentingan awam.

 "Pemberi maklumat dan wartawan yang memutuskan untuk mendedahkan maklumat yang sahih selepas mengambil tindakan yang sewajarnya, tidak sepatutnya dikenakan tindakan kerana mengetengahkan isu-isu yang sepatutnya mendapat perhatian umum," katanya dalam satu kenyataan.

 IoJ berkata, wartawan juga bertanggungjawab melindungi identiti sumber sebagai sebahagian daripada etika kewartawanan yang diterima pakai secara universal, di samping mematuhi undang-undang tempatan.

 Katanya, kepentingan awam dan negara akan lebih terjamin dengan adanya akses kepada maklumat melalui satu Akta Kebebasan Maklumat bagi menggantikan OSA.

 Langkah itu, katanya, akan memastikan mereka yang memegang kuasa akan bertanggungjawab dan terikat kepada prinsip ketelusan.  ~ SUMBER
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...