Thursday, March 10, 2016

4 kempen ‘Selamatkan Malaysia’, berbeza perjuangan, satu matlamat

OLEH MD IZWAN 

 
  Deklarasi Rakyat yang dilancarkan minggu lalu cuma salah satu daripada 4 pergerakan berbeza yang kini wujud dalam negara, menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun pihak anti Najib ini tidak melihat bilangan yang ramai ini menimbulkan kekeliruan, sebaliknya membawa rahmat.

 Pergerakan ini – Muafakat Selamatkan Malaysia dipelopori gabungan pembangkang Pakatan Harapan, Gabungan Selamatkan Malaysia diterajui Mazlan Aliman, kempen Selamatkan Malaysia diketuai bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Deklarasi Rakyat diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad – wujud serentak kerana mereka berbeza dari segi apa yang mereka perjuangkan, kata pemimpinnya.

 Satu-satunya titik pertemuan mereka ialah keinginan untuk melihat Najib turun, kata mereka.

 "Saya rasa semua itu ada niat yang baik, niat pun sama, cuma kandungan tawaran masing-masing mungkin ada berbeza-beza antara satu sama lain," kata Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

 "Itu menyebabkan ada sedikit kelambatan bertemu minda itu. Cuma saya rasa dalam Deklarasi Rakyat, semua bersetuju dengan satu. Buat masa ini, itu titik pertemuannya," katanya mengulas keputusan gabungan pembangkang menyokong deklarasi yang diisytiharkan bekas perdana menteri itu pada 4 Mac lalu.

 Saifuddin menerangkan, gabungan pembangkang itu mempunyai 4 pakej iaitu pertama Najib undur, ke-2 jatuhkan Umno-Barisan Nasional (BN), ke-3 bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ke-4 reformasi menyeluruh.

 Beliau berkata gabungan pembangkang tersebut sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang bagi memastikan Najib berundur.

 "Status hari ini, Pakatan Harapan jelas akan bekerjasama dengan sesiapa, tidak kira Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Mazlan, kita bekerja dengan semua. Tetapi pakej kita masih sama.

 "Kita faham, tidak semua terima pakej kita, mungkin beransur-ansur. Cuma kita harus menerangkan kepada penyokong tegar kita, mengapa langkah ini diambil," kata beliau.

 Sementara itu, Mazlan, yang juga pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), berkata kewujudan gerakan yang banyak bukan satu isu besar kerana kepelbagaian pendapat perlu diraikan.

 "Kewujudan banyak gerakan ini sebenarnya lagi bagus, ia akan menyemarakkan lagi perjuangan kita dalam isu yang sama iaitu menyelamatkan Malaysia.

 "Lagipun kita perlu meraikan perbezaan pendapat yang pelbagai ini," katanya.

 Bagi Mazlan, mereka mempunyai nada yang sama menuntut perubahan cuma mungkin setiap kumpulan menumpukan kepada isu spesifik berbeza.

 "Bagi Anak contohnya, kita memberi fokus kepada usaha menyelamatkan Felda. Kita senada, cuma mungkin kita ada spesifik dalam isu yang kita lontarkan.

 "Satu lagi contoh, Dr Mahathir banyak menyentuh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion. Jadi, ada fokus tertentu daripada kumpulan berbeza tetapi matlamat tetap sama," terang beliau.

 Mazlan melihat deklarasi yang diisytiharkan Dr Mahathir dan dipersetujui bersama nyata memberi kesan kepada pemerintah, malah ia membantu dalam menyelaraskan program yang dianjurkan selepas ini.

 "Mereka (pemerintah) mula bimbang. Kita lihat pemimpin kerajaan banyak bercakap tentang deklarasi itu.

 "Dalam masa yang sama, gerakan-gerakan yang lain pun anjur program bersama Dr Mahathir dan Muhyiddin.9 "Saya nampak penyelarasan gerakan-gerakan ini akan mampu memberi impak yang lebih tinggi," katanya.

 Mazlan juga memberitahu terdapat beberapa program yang dirancang bersama pemimpin Umno lain selepas deklarasi tersebut, antaranya yang bakal diadakan di Johor pada 18 Mac ini.

 Zaid juga sependapat, menyifatkan kemunculan banyak gerakan tidak menimbulkan sebarang polemik kerana mereka masih menuju matlamat yang satu.

 "Kita tidak ada masalah dalam gerakan ini, asalkan matlamatnya sama," katanya. Beliau berkata, gerakan tersebut mencerminkan hasrat rakyat yang mahu melihat kumpulan itu bersatu dan supaya program yang dianjurkan selepas ini lebih berkesan. 

 "Salah satu matlamat kita ialah mengatur perancangan yang lebih teratur dan berkesan.

 "Kita bukan hendak menyekat mana-mana kumpulan, kita cuma hendak menyelaraskan mesej dan matlamat perjuangan yang sama iaitu memastikan Najib berundur," katanya. – 10 Mac, 2016.~ sumber
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Saya harapkan Malaysia baru selepas ini. Rakyat perlu faham konsep kerajaan sebenar legislatif eksekutif dan judisiari bermakna termasuk pembangkang mempunyai peranan cek dan imbang.
keselsaan kepada pelbagai pikak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...