Sunday, March 06, 2016

Hadiri majlis Deklarasi Rakyat: Apa sebenar pendirian Pas?

Oleh : ARIF ATAN 
Mustafa Ali Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 56 pemimpin dan bekas pemimpin BN, Pakatan Harapan, NGO dan aktivis semalam turut menyaksikan dua pemimpin Pas seperti tidak mematuhi pendirian parti mereka.

 Mengejutkan apabila Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali turut hadir di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) petang semalam.

 Kehadiran mereka sekaligus bercanggah dengan ketetapan Pas sebelum ini yang menolak pelawaan Mahathir untuk hadir dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri itu.

 Hal ini dilihat berbeza dengan penyertaan Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa memandangkan kedua-duanya memang dianggap sebagai “harum manis” dalam Pas kerana kerap muncul dalam program melibatkan Pakatan Harapan.

 Bahkan, Husam sebelum ini pernah cuba diheret ke lembaga disiplin parti kerana banyak membangkitkan perkara yang bercanggah dengan dasar Pas dan Islam termasuk secara terbuka mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan 3 Mac lalu mendakwa partinya mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengubah kepimpinan negara termasuk mengambil keputusan menghadap Majlis Raja-Raja.

 Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam status di laman facebook beliau yang dikemas kini semalam mendakwa kehadiran Mustafa dan Khairuddin dalam majlis itu telah mendapat 'kebenaran khas' presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Tindakan Abdul Hadi ini sekaligus mengenepikan 'deklarasi khas' Takiyuddin bahawa Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat 3 Mac lalu mengambil keputusan tidak terlibat dalam majlis semalam.

 Mustafa pula ketika ditanya pemberita menjelaskan beliau hadir atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.

 Namun Khairuddin dalam reaksinya yang kemudian tersebar di media sosial berkata, “ana (saya) hanya hadir tetapi tidak sign declaration kerana mandat dari Presiden hanya untuk hadir mendengar dan menemani Cikgu Pa…”

 Sementara itu Deklarasi Rakyat yang dibacakan Dr Mahathir menyifatkan Najib melakukan kerosakan kepada negara.

 Inti pati deklarasi banyak menyentuh tentang kontroversi syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Turut dituntut pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). ~ sumber
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

katun katun----

nampak nak menyelit

geng ni tak boleh buat kawan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...