PENANG

PENANG
TABUNG BANJIR PENANG

Wednesday, March 09, 2016

Harapan kepada Deklarasi Rakyat

Oleh A Shukur Harun


  Politik memang sesuatu yang sukar diramal, gerakan politik yang dinamik dan penuh dengan andaian.

 Oleh itu, gerakan terkini Tun Dr Mahathir Mohamad dan berikutnya, majlis perisytiharan dan menandatangani Deklarasi Rakyat di Kuala Lumpur minggu lalu adalah gerakan politik yang sukar diramal, tetapi boleh digantungkan harapan.

 Deklarasi Rakyat itu ditandatangani kira-kira 74 pelbagai tokoh – daripada bekas timbalan perdana menteri, bekas menteri besar, bekas menteri, membawalah kepada tokoh NGO dan aktivis politik.

 Namanya ialah Deklarasi Rakyat, sangat simbolis kedengarannya, mengundang simpati dan dokongan rakyat yang selama ini sangat mengharapkan perubahan.

 Selama bertahun-tahun, kehidupan rakyat semakin sukar, dengam hambatan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga barang yang melambung naik, hampir setiap hari, nilai ringgit yang terus susut, rasuah dan pembaziran semakin meluas.

 Penoreh getah semakin merasakan kesulitan hidup yang bukan kepalang, begitu juga pekebun kecil, nelayan pantai, buruh bandar dan luar bandar. Pendeknya majoriti rakyat menghadapi kesukaran yang amat sangat untuk meneruskan kehidupan, baik di bandar mahupun di luar bandar.

 Sebab itu perisytiharan Deklarasi Rakyat seperti "bunyi keramat" yang diharapkan boleh membaik pulih kehiduoan rakyat.

 Ini, saya kira, yang paling utama diberi fokas oleh semua pihak, terutama para tokoh yang menandatangani Deklarasi Rakyat itu.

 Tujuan hendak menggantikan Datuk Seri Najib Razak memang menjadi fokal point gerakan yang dipimpin Dr Mahathir dan angkatannya.

 Tetapi gerakan baru ini, terutama dengan majoriti tokoh yang hadir dan menandatangani Deklarasi Rakyat itu, bukan sekadar hendak menggantikan Najib, tetapi juga kerajaan Umno/Barisan Nasional. Inilah yang dimaksudkan perubahan.

 Oleh itu, apa yang akan berlaku selepas ini, sukar diramalkan, justeru memikirkan Najib juga dijangka akan mengambil langkah perlu untuk mempertahankan kedudukannya.

 Dengan demikian, pergolakan ini mungkin saja memakan masa lama dan berliku-liku. Oleh yang demikian rakkyat dikhuatiri akan berada lama dalam kehidupan seperti sekarang ini juga.

 Yang menghadiri dan memandatangani Deklarasi Rakyat itu, seperti yang dinyatakan, antaranya, adalah para tokoh politik negara daripada pelbagai parti, sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Ini sekali gus memberi isyarat mengenai desakan memuncak rakyat supaya dilakukan perubahan.

Mustafa Ali adalah antara yg menandatangagani Deklarasi Rakyat tersebut walaupun 
Setiausaha  Pas mendakwa hala tuju deklarasi itu tidak jelas dan Ketua Penerangannya, 
Nasruddin Hassan berkata, membenarkan mereka hadir bukan bermaksud bersetuju 
dengan deklarasi tersebut (di sini)
   Antara tokoh utama yang hadir ialah Dr Mahathir, bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, presiden Amanah Mohamad Sabu, timbalannya Salahuddin Ayub, timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, naib presiden PKR Rafizi Ramli dan Tian Chua, penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik. 

 Turut kelihatan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid, serta aktivis sosial Datuk Ambiga Sreenevasan dan tokoh penulis Datuk Abdul Kadir Jasin. 

 Dr Mahathir membacakan Deklarasi Rakyat yang antara lain menuntut Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan reformasi dilakukan dalam pentadbiran negara. Deklarasi Rakyat itu ditandatangani individu dengan 5 kumpulan.

 Beberapa tokoh Parti Amanah Negara ikut hadir di majlis tersebut, dengan hujah bahawa Amanah bersama dalam mana-mana gerakan yang menolak penyelewengan dan salah guna kuasa namun. Pada waktu yang sama Amanah mendesak agar reformasi institusi negara secara menyeluruh dapat disegerakan dengan menukar kerajaan sedia ada secara demokratik.

 Amanah, menurut kenyataan presidennya, Mohamad Sabu, dengan slogan Harapan Baru bersedia melihat kepentingan gerakan "Selamatkan Malaysia" bagi membantu cita-cita perubahan dan reformasi yang digerakkan selama ini oleh Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan serta masyarakat madani.

 Oleh itu, Amanah, katanya, akan bersama mana-mana gerakan rentas kepartian atas prinsip warganegara yang prihatin terhadap masa depan negara.

 Ada 18 perkara yang disebut dalam Deklarasi Rakyat itu, yang berpusat kepada kritikan terhadap cara Najib mengendalikan negara sekarang ini.

 Deklarasi Rakyat yang dibacakan oleh Dr Mahathir itu, antara lain, menyuarakan bahawa warga Malaysia seperti nama-nama berikut ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

 Kebanyakan rakyat sudahpun membaca Deklarasi Rakyat 18 perkara itu dan sudahpun memahaminya. Tinggal lagi rakyat mahukan tindakan dan langkah selanjutnya, apa yang akan berlaku selepas ini.

 Saya kira, rakyat mahukan perubahan terhadap negara. Kemelut yang melengkari kehidupan rakyat selama ini mestilah diakhiri segera.

 Lakonan pemimpin politik yang berlarutan selama ini perlulah dihentikan segera. Rakyat tercungap-cungap untuk menyambung kehidupan dengan harga barang yang melambung, nilai mata wang yang terus menurun, kos kehidupan yang terus naik disemua segi.

 Oleh itu apa yang diharapkan oleh rakyat dengan Deklarasi Rakyat 18 perkara itu akan menjadi "turning point" kepada perubahan kehidupan mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

 Rakyat berharap Deklarasi Rakyat itu tidak tinggal deklarasi saja, sedangkan pemimpin politik terus bercakaran tanpa kesudahan. Sedangkan matlamat pertemuan Jumaat lalu itu ialah hendak membuat perubahan kepada situasi negara ini.

 Apalah ertinya kepada rakyat jika mereka hanya menyaksikan perbalahan demi perbalahan antara yang berkuasa dengan yang menuntut perubahan.

 Dikhuatiri perbalahan itu tidak juga berkesudahan sedangkan rakyat terus menderita. Inilah yang amat dikhuatiri oleh rakyat.

 Pemimpin politik mesti melihat ini dengan pandangan jauh, justeru rakyatlah yang semestinya menjadi fokas utama.

 Maka itu rakyat sedang menanti apa yang akan berlaku sesudah perisytiharan Deklarasi Rakyat ini yang dilihat sangat penting dalam usaha untuk membuat perubahan kepada Negara.  ~ SUMBER
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Tun mahathir terus desak najib letak jawatan segera. Adakan himpunan rakyat..serentak seluruh negara...mogok seluruh negara..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...