Wednesday, March 30, 2016

Najib cuba campurtangan siasatan Bank Negara - Muhyiddin

  Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau memang ada bertemu Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang memberitahu secara lisan beberapa maklumat mengenai 1MDB.

 'Sebagai timbalan perdana menteri ketika itu saya berhak mengetahui secara terpeinci isu-isu penting negara.

 "Adalah menjadi kebiasaan ketua-ketua agensi kerajaan datang menemui saya untuk memaklumkan perkembangan sesuatu isu," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

 Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab dakwaan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi dalam Berita Harian pada 26 Mac lalu yang menuduhnya berbohong mengenai pertemuan tersebut.

 "Saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak berbohong. Tan Sri Zeti juga tidak menafikan sepenuhnya kenyataan saya.

 "Puad Zarkashi membuat andaian saya berbohong kerana dia tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

 Dalam kenyataan tersebut, Muhyiddin juga mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan campur tangan dalam siasatan Bank Negara.

 "Najib juga dikatakan cuba campur tangan dalam siasatan BNM, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

 "Jangan kita lupa bahawa BNM telah dua kali mengemukakan kertas siasatan mengenai 1MDB kepada Peguam Negara dan memperakukan tindakan undang-undang diambil atas kesalahan melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 tetapi ditolak oleh Peguam Negara.

 "Ini bermakna siasatan di peringkat BNM berpuashati bahawa terdapat salah laku di pihak 1MDB," katanya. 

 Sementara itu, Muhyiddin yang digantung tugas sebagai timbalan presiden Umno berkata, Zeti juga memberitahu yang beliau bertegas untuk meneruskan siasatan ke atas 1MDB walaupun mendapat tekanan.

 "Sebagai seorang Gabenor bank pusat yang berwibawa, saya yakin beliau telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

 "Saya yakin rakyat akan mengetahui kedudukan sebenar kes ini dan kebenaran akan terserlah jika pendakwaan dijalankan dan segala bukti yang berkaitan dikemukakan di mahkamah.~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...