PENANG

PENANG
TABUNG BANJIR PENANG

Sunday, March 06, 2016

Pengganti Najib isu lain, kata pembangkang penandatangan Deklarasi Rakyat

 OLEH JENNIFER GOMEZ

  Pembangkang yang menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya tidak pernah mencapai persetujuan siapa yang akan menggantikan beliau sebagai perdana menteri kerana perkara itu untuk dibincangkan pada waktu lain, kata mereka.

 Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tiada nama disebut mengenai siapa akan mengambil alih jawatan itu daripada Najib dalam langkah terbaru mereka pada Jumaat lalu, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 "Dipersetujui pada pertemuan kami dengan Dr Mahathir, yang fokus utama adalah untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

 "Siapa yang bakal menggantikan beliau adalah perkara lain dan tertakluk kepada perbincangan. "Kami bersetuju pada dasarnya berhubung soal menurunkan Najib dan melakukan pembaharuan dalam institusi," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 Mukhriz berkata, pembangkang bersedia menerima seorang perdana menteri baru daripada Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan Najib.

 Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berkata, kenyataan Mukhriz adalah logik dan fakta memandangkan BN masih memegang majoriti kerusi di Parlimen.

 Deklarasi Rakyat yang ditandatangani tokoh politik yang saling bermusuhan selama ini dan pemimpin masyarakat sivil pada Jumaat lalu menimbulkan perdebatan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil dan sama ada pembaharuan institusi benar-benar akan berlaku.

 Dr Mahathir, dipersalahkan kerana hakisan institusi Malaysia sepanjang tempoh 22 tahun perkhidmatannya, tidak mengakui peranannya walaupun didesak masyarakat sivil untuk berbuat demikian. 

 Tetapi terdapat juga yang mengatakan keutamaan segera ketika ini ialah penyingkiran Najib agar Malaysia dapat bergerak ke depan.

 Ahli Parlimen kanan DAP Teresa Kok berkata, jelas yang Mukhriz berasa tertekan kerana beliau masih bersama Umno.

 "Beliau perlu mengatakan demikian bagi mengelak daripada dipecat," katanya.

 Mukhriz tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi Umno, dan baru-baru ini digugurkan sebagai menteri besar Kedah.

 Beliau juga turut hadir pada sidang akhbar Deklarasi Rakyat itu.

 Tetapi, Kok berkata, pembangkang, seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, serta aktivis hak asasi manusia terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan, selama ini konsisten mengatakan lebih banyak yang diperlukan selain daripada sekadar menukar perdana menteri.

 "Tetapi, buat masa itu, memandangkan wujud tekanan yang kian memuncak untuk menukar perdana menteri, kami semua setuju menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. 

"Jangan kita lupa yang Deklarasi Rakyat juga termasuk usaha membawa pembaharuan institusi," kata Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh.

 Perenggan mengenai pembaharuan dalam deklarasi itu, yang sebahagian besarnya menumpukan kepada dakwaan salah laku Najib melibatkan 1Malaysia Development Bhd, turut menyebut mengenai "memulihkan integriti institusi yang terjejas, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara".

 Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Mukhriz tersasar apabila mengatakan pembangkang akan setuju perdana menteri berikutnya adalah dari BN, kerana Najib mewakili satu sistem yang korup dan mereka yang melindunginya. 

 "(Kenyataan beliau) tidak tepat kerana tidak ada perbincangan terperinci. Najib mewakili satu sistem yang korup dan mereka yang melindunginya.

 "Kebimbangan kami adalah penyingkiran Najib dan pembaharuan demokrasi serta institusi. Adakah anda fikir Umno-BN berani melakukannya?" soal Mujahid.

 Tetapi, ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, yang tidak menandatangani deklarasi itu berkata, walaupun beliau setuju Najib perlu meletak jawatan, deklarasi itu itu hanya membuat "rujukan sepintas lalu" mengenai pembaharuan dan tidak jelas mengenai permintaannya supaya ditubuhkan suruhanjaya pilihan raya, badan kehakiman dan media yang bebas.

 "Adakah menewaskan Najib sambil mengekalkan Umno dan institusi yang utuh benar-benar akan menyelesaikan masalah kewangan rakyat yang semakin meningkat dan masalah lain yang lebih mendesak?

 "Deklarasi ini adalah satu dokumen yang dibuat tergesa-gesa tanpa memikirkan mengenai isu yang berkaitan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. – 6 Mac, 2016. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...